http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com


Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Ramai juga yang minta komen saya tentang pendirian Anwar memilih untuk membela dirinya melalui keterangan tidak bersumpah. Saya rasa elok juga saya berkongsi pendapat mengenai pendirian Anwar tersebut.

Saya akui awalnya saya juga agak terkejut dengan pendirian Anwar tersebut. Namun setelah mengikuti keterangannya tersebut saya harus akui bahawa tindakan Anwar amat amat bijak. Saya percaya pendirian itu dibuat dengan perkiraan yang mendalam dengan mengambil kira sejak awal lagi perbicaraan Anwar dilihat melanggar norma-norma atau piawaian perbicaraan yang adil . Memberi keterangan dengan tidak bersumpah sudah tentu merupakan opsyen yang terbaik untuk Anwar dalam kondisi sebegitu.

Musuh Anwar memulakan serangan di atas pendirian Anwar tersebut . Dengan nada sinis mereka memperli kononnya Anwar takut untuk disoal balas oleh pendakwaraya. Musuh beliau menyatakan Saiful lebih berani dari Anwar kerana beliau memberikan keterangan dengan bersumpah dan rela disoal balas oleh Karpal Singh. Ya, ia satu hujah yang menarik tapi malangnya hujah tersebut bertolak dari qiyas atau analogi yang tidak betul atau dalam bahasa arabnya dipanggil qiyas ma'al fariq. Mengapa?

Isu Saiful berani memberi keterangan bersumpah tidak timbul kerana sebagai saksi pendakwa , undang-undang mewajibkan beliau memberi keterangan bersumpah. Makna mudahnya Saiful tidak ada pilihan kecuali wajib memberi keterangan bersumpah. Terpaksa memberi keterangan secara bersumpah bukan indikator keberanian seseorang.

Kedudukan Anwar sebagai pihak yang dituduh berbeza dengan kedudukan Saiful. Tidak seperti Saiful undang-undang memberi Anwar tiga pilihan yang sah untuk membela diri iaitu sama ada memberi keterangan dengan sumpah ( yang boleh disoal balas ) atau memberi keterangan dengan tidak bersumpah ( yang tidak boleh disoal balas ) atau hanya berdiam diri. Hatta jika Anwar memilih untuk berdiam diri hakim tidak boleh secara automatik membuat kesimpulan bahawa Anwar bersalah kerana seorang hakim masih perlu meneliti semula keterangan pendakwa sebelum membuat keputusan.

Musuh Anwar juga berhujah bukankah keterangan bersumpah lebih kuat nilainya dan jika Anwar benar-benar tidak bersalah kenapa beliau takut untuk memberi keterangan bersumpah dan boleh disoal balas oleh pendakwa.

Sekali lagi ia hujah yang menarik tetapi malangnya hujah tersebut gagal melihat keseluruhan proses perbicaraan Anwar . Melihat pendirian Anwar yang memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah secara terpisah dengan keseluruhan proses perbicaraan Anwar bukan sahaja tidak wajar malahan secara jelas ia satu hujah yang dangkal.

Hakikatnya bagi saya kerana kepercayaan bahawa dirinya tidak bersalah mendorong Anwar mengambil pendirian tersebut. Mana-mana tertuduh yang tidak bersalah dengan mudah dijatuhkan hukuman bersalah dalam perbicaraan yang tidak adil.

Jika perbicaaraan Anwar memang dari awal mengikut piawaian perbicaraan yang adil hujah musuh Anwar itu mungkin ada keabsahannya. Namun dengan pelbagai perkara pelik dan tidak masuk akal berlaku dalam kes Anwar pendirian Anwar bukan sahaja wajar malahan amat tepat. Mari kita ambil satu contoh kepelikan dari siri-siri kepelikan yang berlaku dalam kes Anwar iaitu isu tawaran saksi saksi pendakwa kepada pasukan peguambela Anwar.

Bukankah pendakwa raya telah menawarkan kepada pihak peguambela Anwar beberapa orang saksi mereka seperti Najib , Rosmah, Musa Hassan dan beberapa orang lain. Berdasarkan prinsip undang-undang jenayah dan piawaian perbicaraan yang adil saksi-saksi pendakwa ini sewajarnya bersedia dipanggil oleh pihak pembela dan mereka juga wajar menjawab soalan-soalan peguambela apabila dipanggil untuk temubual.

Peliknya dalam kes Anwar ini saksi saksi yang ditawar oleh pendakwa ini boleh memilih untuk tidak ingin menjadi saksi pihak pembela dan tidak mahu menjawab soalan-soalan peguambela Anwar semasa sessi temubual.

Tindakan pelik saksi saksi ini malangnya timbul dari keputusan pelik Hakim yang menyatakan bahawa saksi saksi seperti Najib dan Rosmah ini boleh memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan peguambela Anwar.
.
Keputusan Hakim tersebut menyebabkan tawaran saksi- saksi pendakwa seperti Najib dan Rosmah kepada pasukan peguambela Anwar tidak ada apa apa nilai dan hanya sia-sia dan membuang masa. Apa gunanya pendakwaraya menawar saksi-saksi mereka yang enggan bersuara dan apa gunanya pula untuk peguambela Anwar memanggil saksi-saksi yang enggan bersuara ( baca kecut untuk bersuara ).

Hakikatnya bukan Anwar yang tidak berani memberi keterangan bersumpah sebaliknya Najib, Rosmah , Musa Hassan dan Rodwan yang takut untuk memberi keterangan sama ada secara tidak bersumpah di luar mahkamah iaitu dalam sessi temubual atau secara bersumpah di dalam kandang saksi di mahkamah. Malangnnya musuh Anwar tidak nampak ironi ini. Mereka tidak habis habis 'menyalak' supaya perbicaraan disegerakan sedangkan tindakan Najib, Rosmah, Musa Hasan dan Rodwan ini antara penyumbang besar kepada kelengahan perbicaraan
.
Seperkara lagi Anwar sudah punya pengalaman memberi keterangan bersumpah sebanyak dua kali sebelum ini dan beliau amat arif permainan kotor musuhnya. Memberi keterangan bersumpah akan dikawal oleh mantra 'tidak relevan' yang akan kita dengar berulang-ulang kali seperti dua perbicaraan beliau yang terdahulu. Bayangkan jika keluar dari mulut Anwar misalnya 'ada konspirasi nak aibkan saya...tidak relevan..' macam mana TV3 boleh ada siri khas tentang Saiful' ..tidak relevan.. begitulah yang saya percaya ada di dalam pemikiran Anwar.

Memberi keterangan secara tidak bersumpah tidak boleh dikawal oleh mantra 'tidak relevan'. Anwar bebas menentukan rentak dan iramanya tanpa diganggu gendang 'tidak relevan'. Hakikatnya apa yag Anwar katakan tersebut itulah yang paling ditakuti oleh musuh-musuhnya .

Malang sungguh musuh Anwar kerana penantian mereka bahawa Anwar akan terperangkap dalam jerat mereka tidak berlaku. Yang berlaku adalah Anwar yang kini menjerat mereka dan sehingga artikel ini ditulis seluruh manusia di seantero alam kini mula menghakimi sistem kehakiman negara ini dan para aktor -aktor yang terlibat dalam perbicaraan Anwar.

Syabas Anwar !


Posted by hanipamaidin, Peguampas

Keajaiban dalam daftar pemilih undi semakin menjadi-jadi dengan penemuan 21 orang pengundi berlainan kaum tinggal di sebuah kedai, seorang askar dengan dua isteri yang nama mereka sama, seorang askar berumur 111 tahun yang masih lagi berkhidmat dalam tentera dan seorang wanita yang lahir dua kali pada abad yang lepas.

Keganjilan yang bersifat penyelewengan dan penipuan ini telah didedahkan oleh  Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, DAP telah menemui 21 nama daripada beberapa keluarga Cina dan India yang berdaftar sebagai tinggal di sebuah kedai yang dijadikan pusat khidmat tidak rasmi seorang pemimpin MCA di Negeri Sembilan.


Kedai itu yang beralamat di A11-2 Metrix Medan Jalan Manikawasagan, Seremban mempunyai 10 pengundi Cina dan 11 India.

“Ini membuktikan satu penipuan yang jelas kerana tidak munasabah sebuah kedai, dan bukannya rumah, boleh mempunyai begitu ramai pengundi daripada keluarga yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, satu lagi keganjilan yang ditemui ialah nama seorang pengundi di kem tentera Jalan Rasah, iaitu Nor Hisham bin Md Darus dengan kad pengenalan tentera T1091492.

“Apa yang pelik di sini ialah Nor Hisham ini mempunyai seorang isteri bernama Khadijah Binti Husin yang mempunyai dua kad pengenalan, iaitu 79022011518 dan 700220115182.

“Adakah Nor Hisham ini mempunyai dua isteri dengan nama yang sama dan ejaan nama yang sama?” katanya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, ini adalah tidak mungkin kerana Khadijah membuat pendaftaran baru sementara Khadijah ‘yang kedua’ baru sahaja mendaftar sebagai pengundi.

Dalam masa sama juga, beliau mempertikaikan bagaimana seorang anggota tentera bernama Hisni Bin Isnain yang bernombor tentera T1102918 dan lahir pada 24 Julai 1900, masih berkhidmat di kem tentera Sunggala, Bagan Pinang.

“Hebat sekali anggota tentera kita. Sudah berumur lebih 100 tahun pun masih berkhidmat,” ujarnya.


Loke yang juga Adun Lobak berkata, DAP juga menemui dalam daftar pemilih nama  seorang pengundi Swee Lan @ Chia Swee Lan yang lahir pada 17 September 1918 yang mempunyai kad pengenalan baru dan lama bernombor 410917055006 dan 1559230.

Daripada maklumat dua kad pengenalan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Swee Lan telah dilahirkan dua kali, iaitu pada 1918 dan 1941.

“Ini hanya di kawasan Parlimen dan DUN saya sahaja, dan hanya beberapa kes sahaja yang dapat kami kesan, kerana bukannya mudah untuk mengesan pengundi-pengundi misteri ini,” kata Loke.

Justeru, beliau berkata, walau pun penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) adalah satu langkah yang boleh diterima, tidak ada gunanya jika masalah pelik yang boleh menimbulkan keraguan dalam sistem pilihan raya negara gagal diatasi.

“Begitu juga kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang angkuh kerana mengatakan  mereka boleh menolak apa-apa keputusan PSC. Maksudnya, masalah-masalah ini tidak akan selesai,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata DAP bersama PAS dan PKR akan terus mengutarakan perkara berhubung pengundi hantu, penipuan daftar pemilih dan ketidakadilan pengundian pos agar setiap rakyat Malaysia sedar betapa kotornya sistem pilihan raya yang sedia ada.

Katanya, Pakatan Rakyat akan sentiasa mendesak reformasi menyeluruh berhubung masalah senarai pengundi yang kian meruncing.

“Kita melihat serius perkara ini dan ianya makin meningkat dari hari ke hari.

“Oleh itu kita sentiasa mendesak supaya ada iltizam politik oleh Perdana Menteri untuk reformasi dalam pilihan raya umum, dan ia bukan masalah remeh seperti yang dikatakan Pengerusi SPR bahawa tidak perlu digembar-gembur dalam media,” tambahnya.

Bukti-bukti penyelewengan dalam senarai SPR itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak bersedia untuk melaksanakan reformasi sistem pilihan raya secara serius.  – Roketkini

There was an error in this gadget