Oleh : Mohamed Hanipa Maidin 
Ramai juga yang minta komen saya tentang pendirian Anwar memilih  untuk membela dirinya melalui keterangan tidak bersumpah. Saya rasa elok  juga saya berkongsi pendapat mengenai pendirian Anwar tersebut. 
Saya akui awalnya saya juga agak terkejut dengan pendirian Anwar  tersebut. Namun setelah mengikuti keterangannya tersebut saya harus akui  bahawa tindakan Anwar amat amat bijak. Saya percaya pendirian itu  dibuat dengan perkiraan yang mendalam dengan mengambil kira sejak awal  lagi perbicaraan Anwar dilihat melanggar norma-norma atau piawaian  perbicaraan yang adil . Memberi keterangan dengan tidak bersumpah sudah  tentu merupakan opsyen yang terbaik untuk Anwar dalam kondisi sebegitu. 
Musuh Anwar memulakan serangan di atas pendirian Anwar tersebut .  Dengan nada sinis mereka memperli kononnya Anwar takut untuk disoal  balas oleh pendakwaraya. Musuh beliau menyatakan Saiful lebih berani  dari Anwar kerana beliau memberikan keterangan dengan bersumpah dan rela  disoal balas oleh Karpal Singh. Ya, ia satu hujah yang menarik tapi  malangnya hujah tersebut bertolak dari qiyas atau analogi yang tidak  betul atau dalam bahasa arabnya dipanggil qiyas ma'al fariq. Mengapa? 
Isu Saiful berani memberi keterangan bersumpah tidak timbul kerana  sebagai saksi pendakwa , undang-undang mewajibkan beliau memberi  keterangan bersumpah. Makna mudahnya Saiful tidak ada pilihan kecuali  wajib memberi keterangan bersumpah. Terpaksa memberi keterangan secara  bersumpah bukan indikator keberanian seseorang. 
Kedudukan Anwar sebagai pihak yang dituduh berbeza dengan kedudukan  Saiful. Tidak seperti Saiful undang-undang memberi Anwar tiga pilihan  yang sah untuk membela diri iaitu sama ada memberi keterangan dengan  sumpah ( yang boleh disoal balas ) atau memberi keterangan dengan tidak  bersumpah ( yang tidak boleh disoal balas ) atau hanya berdiam diri.  Hatta jika Anwar memilih untuk berdiam diri hakim tidak boleh secara  automatik membuat kesimpulan bahawa Anwar bersalah kerana seorang hakim  masih perlu meneliti semula keterangan pendakwa sebelum membuat  keputusan. 
Musuh Anwar juga berhujah bukankah keterangan bersumpah lebih kuat  nilainya dan jika Anwar benar-benar tidak bersalah kenapa beliau takut  untuk memberi keterangan bersumpah dan boleh disoal balas oleh pendakwa. 
Sekali lagi ia hujah yang menarik tetapi malangnya hujah tersebut  gagal melihat keseluruhan proses perbicaraan Anwar . Melihat pendirian  Anwar yang memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah secara  terpisah dengan keseluruhan proses perbicaraan Anwar bukan sahaja tidak  wajar malahan secara jelas ia satu hujah yang dangkal. 
Hakikatnya bagi saya kerana kepercayaan bahawa dirinya tidak  bersalah mendorong Anwar mengambil pendirian tersebut. Mana-mana  tertuduh yang tidak bersalah dengan mudah dijatuhkan hukuman bersalah  dalam perbicaraan yang tidak adil. 
Jika perbicaaraan Anwar memang dari awal mengikut piawaian  perbicaraan yang adil hujah musuh Anwar itu mungkin ada keabsahannya.  Namun dengan pelbagai perkara pelik dan tidak masuk akal berlaku dalam  kes Anwar pendirian Anwar bukan sahaja wajar malahan amat tepat. Mari  kita ambil satu contoh kepelikan dari siri-siri kepelikan yang berlaku  dalam kes Anwar iaitu isu tawaran saksi saksi pendakwa kepada pasukan  peguambela Anwar. 
Bukankah pendakwa raya telah menawarkan kepada pihak peguambela  Anwar beberapa orang saksi mereka seperti Najib , Rosmah, Musa Hassan  dan beberapa orang lain. Berdasarkan prinsip undang-undang jenayah dan  piawaian perbicaraan yang adil saksi-saksi pendakwa ini sewajarnya  bersedia dipanggil oleh pihak pembela dan mereka juga wajar menjawab  soalan-soalan peguambela apabila dipanggil untuk temubual. 
Peliknya dalam kes Anwar ini saksi saksi yang ditawar oleh pendakwa  ini boleh memilih untuk tidak ingin menjadi saksi pihak pembela dan  tidak mahu menjawab soalan-soalan peguambela Anwar semasa sessi  temubual. 
Tindakan pelik saksi saksi ini malangnya timbul dari keputusan pelik  Hakim yang menyatakan bahawa saksi saksi seperti Najib dan Rosmah ini  boleh memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan peguambela Anwar. 
. 
Keputusan Hakim tersebut menyebabkan tawaran saksi- saksi pendakwa  seperti Najib dan Rosmah kepada pasukan peguambela Anwar tidak ada apa  apa nilai dan hanya sia-sia dan membuang masa. Apa gunanya pendakwaraya  menawar saksi-saksi mereka yang enggan bersuara dan apa gunanya pula  untuk peguambela Anwar memanggil saksi-saksi yang enggan bersuara ( baca  kecut untuk bersuara ). 
Hakikatnya bukan Anwar yang tidak berani memberi keterangan  bersumpah sebaliknya Najib, Rosmah , Musa Hassan dan Rodwan yang takut  untuk memberi keterangan sama ada secara tidak bersumpah di luar  mahkamah iaitu dalam sessi temubual atau secara bersumpah di dalam  kandang saksi di mahkamah. Malangnnya musuh Anwar tidak nampak ironi  ini. Mereka tidak habis habis 'menyalak' supaya perbicaraan disegerakan  sedangkan tindakan Najib, Rosmah, Musa Hasan dan Rodwan ini antara  penyumbang besar kepada kelengahan perbicaraan 
. 
Seperkara lagi Anwar sudah punya pengalaman memberi keterangan  bersumpah sebanyak dua kali sebelum ini dan beliau amat arif permainan  kotor musuhnya. Memberi keterangan bersumpah akan dikawal oleh mantra  'tidak relevan' yang akan kita dengar berulang-ulang kali seperti dua  perbicaraan beliau yang terdahulu. Bayangkan jika keluar dari mulut  Anwar misalnya 'ada konspirasi nak aibkan saya...tidak relevan..' macam  mana TV3 boleh ada siri khas tentang Saiful' ..tidak relevan.. begitulah  yang saya percaya ada di dalam pemikiran Anwar. 
Memberi keterangan secara tidak bersumpah tidak boleh dikawal oleh  mantra 'tidak relevan'. Anwar bebas menentukan rentak dan iramanya tanpa  diganggu gendang 'tidak relevan'. Hakikatnya apa yag Anwar katakan  tersebut itulah yang paling ditakuti oleh musuh-musuhnya . 
Malang sungguh musuh Anwar kerana penantian mereka bahawa Anwar akan  terperangkap dalam jerat mereka tidak berlaku. Yang berlaku adalah  Anwar yang kini menjerat mereka dan sehingga artikel ini ditulis seluruh  manusia di seantero alam kini mula menghakimi sistem kehakiman negara  ini dan para aktor -aktor yang terlibat dalam perbicaraan Anwar. 
Syabas Anwar ! 
Posted by hanipamaidin, Peguampas
¡Hola mundo!
9 years ago














