http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Prestasi PR Memuaskan Meskipun Diserang Hebat : Wan Azizah

Posted by Love Perak | Friday, November 05, 2010 | 0 comments »


KUALA LUMPUR 5 NOV : Pakatan Rakyat tetap mencatatkan keputusan yang memuaskan meskipun terpaksa berhadapan dengan sogokan pengundi, demikian tegas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu tambah beliau penyalahgunaan jentera dan dana kerajaan, dan serangan bertubi-tubi media arus perdana antara pendekatan yang tidak bertanggungjawab digunakan pemerintah.

Keputusan semalam, katanya menyaksikan undi golongan muda kepada Pakatan Rakyat meningkat di kedua-dua kerusi Batu Sapi dan Galas.

Ini juga, ujar Presiden PKR itu yang diperlihatkan secara konsisten dalam tujuh kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri-siri pilihan raya kecil usai 2008 lagi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat jentera pilihan raya yang begitu komited dan bertungkus-lumus bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat.

“Tewas bukan bererti kita harus akur pada situasi semasa, hakikatnya ia menjadi satu ruang untuk kita memperkemaskan jentera dan juga mengenal pasti kekurangan yang perlu ditambah baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekalung tahniah buat para petugas PKR khususnya dan Pakatan Rakyat amnya di Batu Sapi dan Galas, katanya.

Tambahnya, kepada rakyat yang memberikan undi kepada PKR di Batu Sapi, sokongan mereka dihargai sepenuhnya.

Menurutnya, ia jelas membuktikan bahawa Sabah, meskipun disebut sebagai ‘fixed deposit’ bagi Barisan Nasional, bukan lagi tapak selesa bagi mereka.

“Insya Allah kita lunaskan dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya yakin.

Analisis Prof Aziz Bari

Posted by Love Perak | Friday, November 05, 2010 | 2 comments »

Penganalisis: Kuasai Galas, Batu Sapi bukan petanda sebenar BN ‘kian kuat’Oleh Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 5 Nov — Penganalisis politik Profesor A. Aziz Bari berpendapat walaupun Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan berganda pada pilihan raya kecil serentak semalam, tetapi ia bukan petanda pentadbiran Najib sudah kembali diterima rakyat sepenuhnya.

“Kenyataan ialah Barisan baru menang lima daripada 13 pilihan raya kecil yang diadakan sejak Ogos 2008.

“Jika Barisan benar-benar kuat, ia sepatutnya menang di kesemua 13 pilihan raya yang telah diadakan dan tidak di kawasan pedalaman sahaja,” kata penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa ini.


Oleh itu kata beliau, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan satu aras tanda perikatan itu kian kuat.

“Tiada yang hebat dalam kemenangan di Batu Sapi dan Galas ini.

“Kedua-dua kerusi ini adalah kerusi mereka, sebagaimana di Batang Ai, Bagan Pinang dan Hulu Selangor,” ujar beliau lagi.

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Muhyiddin berkata, walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.

“Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.

BN merampas kembali kerusi DUN Galas di Kelantan dengan majoriti undi 1,190 selain mengekal kerusinya di Parlimen Batu Sapi, Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.

Bagaimanapun A. Aziz (gambar) mengakui kemenangan Umno sepatutnya memberi isyarat penting kepada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

“Satu signal yang penting untuk pentadbiran negeri Kelantan.

“Jangan terlalu selesa walaupun telah melepasi tempoh 20 tahun memegang kuasa,” kata beliau.

Jelas beliau, Umno yang dikatakan kuat itu masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil seterusnya.

“Kita tengok apakah Barisan bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di (Parlimen) Batu atau dua kerusi DUN di Kedah.

“Kita tahu Barisan terkial-kial untuk mengelak pilihan raya kecil di situ,” katanya.

“Malangnya ini disahkan oleh mahkamah. Walaupun kita tidak mengatakan mahkamah bersekongkol tetapi sebagaimana dalam kes-kes lain keputusan memihak kepada Barisan meskipun di sisi undang-undang ia sukar dipertahankan,” ujarnya.

Sambil tidak menolak bahawa terdapat beberapa kelemahan pada perjenteraan PAS, A. Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, kemenangan BN kali ini seakan disebabkan salah guna jentera kerajaan pusat sendiri.

“Pada PRU (pilihan raya umum) tidak mudah untuk Barisan (Nasional) menggunakan agensi kerajaan seperti JHEOA umpamanya,” ujarnya.

Bercakap soal trend pengundian yang di luar jangkaan semua pihak, beliau mempunyai pandangan tersendiri.

“Dan, mungkin pengundi sengaja tidak mahu memprovokasi Barisan kerana kalau ia tewas kemungkinan ia jadi lebih ‘ganas’, itu memang ada dan agensi seperti SPR dan polis akan lebih berat sebelah,” dakwa beliau.

Disebabkan itu, beliau berkata kedua-dua pilihan raya kali ini tidaklah memberi impak berantai pada landskap politik Malaysia.

“Dalam konteks Malaysia pilihan raya kecil adalah sesuatu yang sepatutnya dimenangi oleh BN yang turut dibantu oleh SPR dan sistem yang tidak adil.

“Ini tidak semestinya memberi gambaran positif bagi pilihan raya kecil.

“Dalam pilihan raya kecil ini tidak ada perubahan, siapa pun menang kerajaan negeri dan pusat tetap sama,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman mengemukakan persoalan “apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini.”

“Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?

“Berselindung di sebalik jentera kerajaan untuk berdepan dengan jentera parti Pakatan Rakyat, adil dan beranikah BN?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, bagi Pakatan Rakyat, kekalahan semalam memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi bakal kembali dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok dua tahun lalu.

“Kerana pilihan raya kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Apa Hal Dr Asri ni?

Posted by Love Perak | Friday, November 05, 2010 | 1 comments »

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Seorang lagi pemimpin senior Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan mempertikaikan motif beliau menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik.

“Persoalannya sekarang, kenapa beliau diminta berundur,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Dr Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, Asri (gambar) sepatutnya menasihatkan kepemimpinan Umno BN yang memerintah kerajaan persekutuan terlebih dahulu.

Ini kerana kata Muhammad Nur Manuty, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak berupaya mengangkat martabat rakyat serta menangani kemiskinan tegar rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut dianggapnya gagal menangani masalah rasuah yang semakin membarah, gejala sosial, belanjawan negara yang defisit - yang umumnya menjejaskan imej negara di mata dunia serta tidak menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Asri juga menjadi sasaran kecaman pemimpin-pemimpin PKR muda kelmarin dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang bukan realistik dan menegaskan kepimpinan Anwar masih diperlukan.

Mereka juga mendakwa kenyataan itu bertujuan melindungi ‘nyawa politik’ dinosaur-dinosaur Umno-BN.

Bagaimanapun respons Asri kelmarin menegaskan bahawa beliau turut mengaku bahawa beliau pernah menasihatkan ‘dinosaur politik’ dalam Umno supaya bersara daripada ‘politik’.

“Pandangan saya yang tajam dan terbuka kepada Umno (dan) BN itu sebenarnya lebih banyak, saya pernah minta dinosaur politik dalam Umno supaya bersara awal untuk memberi laluan kepada muka-muka baru,” kata Asri dalam kenyataan balasnya itu.

Nasihat Asri turut dianggap seakan menafikan aspirasi rakyat, iaitu Anwar merupakan pemimpin de facto bagi Pakatan Rakyat yang mampu menggantikan Umno BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Namun menurut Asri sendiri, konotasi ‘bersara’ yang ditujukan kepada Anwar bukan bermakna mahu Anwar wajar meninggalkan perjuangan rakyat serta Pakatan Rakyat sepenuhnya.

Beliau turut menafikan dakwaan umum bahawa nasihatnya kepada Anwar ekoran Anwar disabitkan meliwat bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekarang.

Tuntas dari tindakan Asri itu, Muhammad Nur menyuarakan rasa bimbang bahawa rakyat akan menolak ketokohan Asri kelak.

“Seruan Dr Asri pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat,” kata beliau.

“Sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat,” tambah beliau.

Menurut Muhammad Nur, pendirian Asri menerusi artikel blog bertajuk “Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru” tidak sedikitpun memeranjatkan dirinya.

“Serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan,” ujar Muhammad Nur.

Muhammad Nur juga menambah, Asri bertindak demikian seakan bertujuan untuk mempertahan status quonya sebagai pensyarah USM.

“Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau,” ujarnya.

Malah kenyataan Asri itu, menurut beliau, mungkin disebabkan umum melihat keupayaan Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR mampu membawa perubahan di tanah air.

“Hal ini berlaku kerana beliau (Anwar) dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara.

“Adalah jelas bahawa Datuk Seri Anwar mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini,” ujarnya lagi.

Muhammad Nur juga berkata kayu ukur yang digunakan oleh Asri sebenarnya turut boleh dipertikaikan.

Katanya, keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata.

“Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal,” ujarnya.

Perwatakan Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat, menurut Muhammad Nur, menyebabkan Anwar diiktiraf dan dihormati oleh kawan mahupun lawan di dalam dan luar negara.

Tambahnya lagi, Anwar wajar terus memimpin Pakatan Rakyat kerana kepemimpinan Anwar sejak zaman beliau lagi terserlah komitmed memperjuangkan hak rakyat. - TheMalaysianInsider

Najib Dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur

Posted by Love Perak | Friday, November 05, 2010 | 0 comments »

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik," kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi.

Terima Kasih PAS - Tengku Razaleigh

Posted by Love Perak | Thursday, November 04, 2010 | 2 comments »

Pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas Tengku Razaleigh merakamkan penghargaannya kepada PAS kerana "tidak menimbulkan banyak masalah" kepadanya sepanjang 10 hari berkempen.

"Saya juga telah menasihatkan pemimpin BN supaya tidak menyentuh peribadi pemimpin lawan mereka demi menjaga pemuafakatan dalam membela hak rakyat," katanya dalam sidang media di kediamannya di Bukit Cekati selepas pengumuman kemenangan BN malam ini.

Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak merasakan PAS telah melancarkan serangan peribadi terhadapnya sepanjang tempoh kempen tersebut.

"Kalau dia nak tuduh saya, biar dia tuduh. Saya tidak perlu jawab kerana tidak benar," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya sekiranya kemenangan ini menandakan sokongan masyarakat mula berubah kepada BN selepas penolakan dalam pilihan raya umum 2008.

"Tak tahulah ini boleh jadi ukuran sama ada rakyat boleh terima kita balik," katanya.

Namun, katanya, ia tetap menunjukkan sokongan hebat masyarakat tempatan yang mahukan "perubahan."

"Ramai golongan muda beri sokongan kepada kita, menampakkan mereka mahu kepada perubahan, mereka mahukan pembangunan yang memberi makna kepada mereka seperti peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Menurutnya lagi, cara lama dengan menggunakan media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan, tidak lagi berkesan dalam kempen pilihan raya.

Sebaliknya pendekatan melalui media baru yang lebih bebas sepatutnya digunakan bagi memikat hati rakyat, tambahnya.

"Saya ingin pergi lebih jauh dari sini dan tidak lagi gunakan cara tradisi.

"Masa sudah sampai untuk kita bebaskan media supaya tidak dikawal begitu ketat.

"Memang wajar pertimbangkan supaya media dibebaskan supaya tidak begitu dikawal.

"Kita tengok ancaman keselamatan pun dah berkurangan," katanya dan menambah, masyarakat sekarang lebih banyak memilih media alternatif," katanya lagi.

Hujan di Gua Musang

Posted by Love Perak | Thursday, November 04, 2010 | 0 comments »

Sejak Maghrib tadi hujan turun membasahi bumi Gua Musang dalam keadaan semua petugas telah berkumpul untuk mendapatkan keputusan rasmi PRK Galas pada hari ini. sesekali terdengar guruh dilangit berserta dengan kilat.

Inilah gambaran yang saya lihat sebagai gambaran kesedihan apabila secara tidak rasmi calon PAS, Dr. Zul kalah dengan majoriti 1069 undi.

SPR Pencacai - Bila Nak Komen Ni????

Posted by Love Perak | Thursday, November 04, 2010 | 0 comments »

Kira-kira 12.30 tengah hari tadi, orang ramai kelihatan mendaftar di kaunter di bilik operasi BN di Bukit Cekati, Gua Musang, sebelum masuk ke dalam sebuah bilik secara bergilir.



Mereka kemudian kelihatan memegang sepucuk sampul coklat. Semakan mendapati jumlahnya bernilai RM250.

Pengarah Pilihan Raya BN Tengku Razaleigh Hamzah bagaimanapun ketika ditemui pemberita enggan memberikan sebarang komen tentang apa sebenarnya yang berlaku. - MalaysiaKini

Komen Dr Asri Isu Nik Aziz "Tangan Syaitan"

Posted by Love Perak | Thursday, November 04, 2010 | 0 comments »

Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat:

"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan...dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan.

Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat mengingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim.

Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai 'perasaan dalamannya' yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi SAW yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut: "Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan.

Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut: "Selemah-lemah hujah mereka (ahli bidaah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: 'Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini, buat ini1'."

Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasauf. Di kalangan mereka ada yang berkata: 'Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini. Dan memerintah aku sebegini'. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan"(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Janji Anwar

Posted by Love Perak | Thursday, November 04, 2010 | 0 comments »

Oleh Dzulkarnain Taib
DSC_0839SANDAKAN 3 Nov - Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim berkata sekiranya Pakatan Rakyat diamanahkan untuk menubuhkan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13, beliau berjanji untuk menurunkan harga minyak keesokkan harinya.

Anwar menegaskan ini bukan janji manis atau cakap kerana sebagai bekas Menteri Kewangan yang memegang jawatan itu selama lapan tahun, beliau tahu keuntungan hasil pendapatan mampu menampung keputusan yang bakal dilaksanakan itu.

"Saya tahu di mana wang disimpan, keuntungan Petronas sahaja melebihi RM70 bilion setahun, malah royalti minyak Sabah mencecah RM1.2 bilion tetapi harga minyak tetap dinaikkan tanpa ada belas kasihan kepada rakyat bawahan. Minyak banyak tapi harga naik.

"Adalah mustahil Umno-BN mengatakan tidak ada peruntukan untuk membantu rakyat miskin sampai jeti dan jambatan roboh di Batu Sapi. Kita berjanji sekiranya kita tubuh kerajaan di Putrajaya kita merubah semuanya ini dalam tempoh dua tahun," tegas Anwar di hadapan lebih 1,000 penduduk Kampung Bahagia yang merupakan kubu kuat BN.

Atas dasar ini Anwar berkata beliau terus melawan Umno-BN yang mengabaikan derita rakyat serta mengkayakan kroni dan kaum kerabat mereka.

Beliau memberitahu hadirin jentera umno sedang membuat lawatan sambil mengedarkan 'hadiah' menjelang pembuangan pada 4 November.

"Itulah Umno, dia datang terhegeh-hegeh beri hadiah dan duit, kemudian minta mengundi kita mereka. Apa dia ingat kita kuli, hamba dia? Kita rakyat merdeka.

"Bila mereka (umno) datang beri beras, ambil! Dia beri zink satu, minta sepuluh! Dia bagi wang, ambil! Bila masa mengundi nanti, ingat, pangkah KEADILAN!" kata beliau diikuti sorakan hangat dari penduduk.

Menegaskan pendirian beliau, Anwar berkata Umno-BN melalui jentera kerajaan telah mencuba sedaya-upaya untuk menghalang perjuangan beliau.

"Umno-BN takut dengan saya kerana perjuangan saya membela rakyat. Dia mahu tangkap, biar dia tangkap. Dia pukul, memang dia pukul saya. Dia telanjang, biar! Dia penjarakan saya, tak apa tetapi bila saya keluar penjara, lawan tetap lawan!" tegas beliau diikuti sorakan meriah.

Ceramah Anwar diteruskan dengan lawatan ke Kampung Bokara dengan sambutan kira-kira 200 penduduk menunggu di sebuah rumah penduduk tempatan.

"Jika kita berjaya menang Putrajaya, insya Allah dalam masa dua tahun kita akan rubah Sabah," tegas beliau lagi.

Hanya 12 orang hadir ceramah Puteri UMNO?

Posted by Love Perak | Wednesday, November 03, 2010 | 0 comments »

 


Kesiannyalah dengan Puteri UMNO semasa kempen PRK Galas semalam. Hanya 12 orang sahaja yang turut serta di dalam majlis ceramah mereka, itupun kerana termasuk tuan rumah yang menyediakan tempat berceramah. Mereka terdiri daripada 6 orang Puteri UMNO dan selebihnya pihak tuan rumah. Walaupun mereka mengatakan kononnya lebih 50 orang yang hadir mendengar ceramah Puteri UMNO, gambar ini menyangkal dakwaan itu. Anda boleh lihat sendiri gambar di atas diambil saat ceramah sedang dijalankan, berapa orang sahaja yang hadir menunjukkan sokongan kepada UMNO!