Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.
Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia. Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya.
Jelas, ini kes politik
Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan. Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.
Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi. Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai "pengadu". Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.
Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini. Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.
Buktikan liwat tanpa tusukan?
Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna. Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan. Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan.
Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini? Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan" rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.
Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.
Politik menabur dendam
Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem.
Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya. Ia amat berbeza dengan persaingan politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an. Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.
Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad. Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis... Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi" - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi...
Bebas dari politik dubur
Untuk hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan otak Mahathir. Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini. Dan ia hanya berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk berfikir menggunakan dubur.
Dan bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan? Dan kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan?
Sebagai warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN.
Malah, saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu, sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang.
Saya tidak sampai hati melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai. Saya tidak sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur bekas pembantunya.
Sememangnya, politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui - bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.
Dan yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada politik dubur. Rakyat Malaysia harus membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan. Malaysia wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan. Saya doakan agar ia masih belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan dijirus arus globalisasi.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
0 comments
Post a Comment