Panas : Presiden Kontraktor Melayu mohon maaf kepada Guan Eng
Posted by Love Perak | Friday, January 07, 2011 | 3 comments »Dalam satu tindakan yang mengejutkan hari ini, pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan memohon maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng ekoran pelbagai serangan yang dibuat terhadapnya.
Mohammed Fadzill berkata, beliau telah meminta maaf di atas kenyataan kerana kontraktor Melayu mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri.
"Kami ingin memulakan era baru dan menyelesaikan masalah (antara kita)," tambahnya yang turut diiringi oleh sekumpulan wakil, ketika mengadakan pertemuan dengan Lim.
Lim (tengah), yang mengadakan sidang akhbar tergempar di Komtar hari ini
berkata, Mohammed Fadzill memohon maaf di atas kenyataan-kenyataan yang sebahagian besar dibuat dalam akhbar Melayu.
"Kenyataanya yang sebahagian besarnya dalam akhbar Melayu menyerang saya dan kerajaan negeri...," katanya sambil menegaskan bahawa mereka mahu menyelesaikan perkara itu dan memulakan hubungan baru.
"Jadi Fadzill telah menarik kenyataanya dan memohon maaf, kita menerimanya ... ini satu perkembangan yang baik," tambahnya.
Beliau merujuk kepada serangan terbaru Mohamed Fadzill yang mendakwa bulan lalu bahawa masyarakat Melayu hanya diberikan projek yang tidak signifikan nilainya.
Beliau telah dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai mencabar Lim memberikan butir-butir terperinci mengenai projek-projek terbabit.
Kerajaan negeri kemudiannya mengumumkan perangkaan yang menunjukkan kontraktor Melayu mendapat hampir kesemua projek di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Rekod kerajaan negeri menunjukkan 94 peratus kontrak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diberikan kepada kontraktor Melayu manakala kesemua kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran diberikan kepada kontraktor Melayu.
Lim mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak menyenarai-hitamkan sebarang kontraktor, tetapi memastikan mereka yang mendapat kontrak harus bertanggungjawab dan tidak menjadi kroni dari mana-mana pihak.
Dengan perkembangan terbaru itu, katanya - walaupun tiga tahun terlambat - merupakan satu kemenangan bagi kontraktor Melayu dan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri, katanya, mahu menjalinkan hubungan yang sihat dan terancang yang berdasarkan kepada fakta dan bukan emosi.
Tambahnya, ada antara kontraktor Melayu yang terbaik di negara ini kerana beliau telah menyaksikan kualiti kerja mereka.
"Hanya kontraktor Umno yang buat bising sekarang (kerana mereka tidak dapat kontrak), bukan kontraktor Melayu," tambah Lim.
GEMPAR: Bekas Pegawai Penyiasat Polis dedah konpirasi jahat pemimpin BN dan peguam negara!
Posted by Love Perak | Friday, January 07, 2011 | 0 comments »Versi Malaysiakini...
Bekas ketua CID: Bukti DNA kes liwat Anwar dipalsu
Seorang bekas pegawai penyiasat dalam kes 'mata lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bukti DNA dalam perbicaraan kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu pada 1998 telah dipalsukan.
Bekas ketua jabatan siasatan jenayah (CID) Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim menyatakan demikian sepintas lalu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun pagi ini.
Salinan surat berkenaan dihantar kepada media hari ini.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Mat Zain berkata beliau telah menjelaskan perkara itu dalam suratnya bertarikh 27 Disember tahun lalu kepada ketua polis negara.
Surat sepanjang 13 halaman itu juga telah dihantar kepada perdana menteri dan juga kepada Idrus sendiri, kata Mat Zain dalam surat berkenaan.
“Dalam surat saya itu juga, saya telah jelaskan bahawa sebarang siasatan mengenai maklumat diatas perlu merujuk kepada kertas siasatan kes mata lebam oleh kerana beberapa insiden yang berlaku adalah bertindih.

"Lebih-lebih lagi 'pemain utama' kedua-dua kes pemalsuan dalam insiden mata lebam dan pemalsuan DNA adalah sama," katanya lagi.
'Kes mata lebam' itu merujuk insiden ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang menumbuk Anwar pada 20 September 1998.
Berdasarkan keterangan dalam inkuiri oleh Suruhanjaya Diraja ke atas insiden itu, Rahim kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mat Zain berkata, tujuan utama surat berkenaan adalah untuk memberitahu Idrus bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Undang-undang Datuk Seri Mohd Nazri Aziz membuat kenyataan yang mengelirukan di Parlimen berhubung dakwaan tersebut.
"Saya percaya Datuk turut sedar bahawa pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua menteri berkenaan mengandungi fakta dan/atau maklumat mustahak yang tidak benar dan/atau mengelirukan dan/atau telah dipesongkan.
"Saya juga percaya Datuk turut sedar bahawa peguam negara sama ada sengaja atau sebaliknya, telah menyebabkan YB Hishammuddin atau YB Nazri membuat pengumuman yang mengelirukan dalam parlimen," kata Mat Zain lagi.
Versi Harakahdaily..
Lagi 'bom' dilontar oleh Mat Zain Ibrahim
KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Penyiasat Polis tragedi mata lebam, Datuk Mat Zain Ibrahim sekali lagi meletupkan 'bom' melalui surat terbukanya kepada Peguam Cara Negara.
Dalam surat terbuka kepada Datuk Idris Harun bertarikh 5 Januari 2011 itu, Mat Zain mendakwa, ujian DNA yang dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah satu pemalsuan.
Dia juga mendakwa dalam surat itu, pemalsuan juga berlaku dalam insiden mata lebam Anwar itu.
Tidak cukup dengan itu, dia juga mendakwa melalui surat terbuka itu, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein di parlimen adalah satu maklumat palsu atau penyelewengan fakta.

Semuanya berpunca dari Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dakwa Mat Zain dalam surat itu.
Bekas pegawai kanan polis itu mendakwa, satu kes prima facie boleh dibentuk terhadap Gani Patail dan orang-orang yang bersubahat dengannya berdasarkan laporan yang beliau buat pada 15.4.2009 dan 7.5.2009 itu sahaja.
"Datuk (Peguam Cara Negara) bebas memilih untuk terus melindungi perbuatan jenayah ini dan terpaksa bersedia untuk terus berbohong untuk menutup pembohongan terdahulu yang tidak akan berkesudahan, ataupun Datuk memilih untuk menyelamatkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada hari ini, supaya membolehkan Datuk dan rakan-rakan yang lain membuka tirai baru dalam membawa AG’s Chambers kezaman kecermelangannya sebelum 1998," tulis Mat Zain dalam surat itu.
p/s: Berikut adalah surat penuh Mat Zain >>
SURAT RAYUAN TERBUKA
Mat Zain bin Ibrahim 5 hb.Januari 2011
Kepada;
Yang Berbahgia Datuk Idrus Harun,
Peguam Cara Negara Malaysia,
(Solicitor General of Malaysia)
Jabatan Peguam Negara, Dengan tangan.
Block C3,Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62152 Putrajaya.
YBhg.Datuk,
Maklumat mengenai penipuan dan pemalsuan-pemalsuan yang dilakukan berkenaan ujian Deoxyribonucleic Acid (“DNA”) dalam kes berprofil tinggi 1998.
Assalamualaikum YBhg.Datuk,semoga dalam sihat walfiat.
2. Sehubungan dengan perkara tajuk,sukacita saya menjemput YBhg.Datuk menyemak semula surat saya bertarikh 27hb.Disember 2010,berkaitan isu diatas yang dialamatkan kepada YDH Tan Sri Ketua Polis Negara, dengan salinannya kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan YBhg.Datuk sendiri yang diakui telah diterima oleh masing-masing pada tarikh berkenaan juga.
2.1. Dalam Surat Rayuan Terbuka ini,saya akan tinggalkan dahulu buat sementara waktu, kandungan maklumat-maklumat berkaitan perkara tajuk,yang saya huraikan dalam Bahagian II dan Bahagian III dalam muka surat 7 hingga 20 surat tersebut.Saya berasa yakin bahawa YDH Ketua Polis Negara sedang dalam proses menyiasat kesahihan maklumat-maklumat berkaitan perkara tajuk dalam Bahagian II , manakala maklumat berkaitan “subsequent conduct” individu tertentu dalam Bahagian III surat tersebut.
2.2. Dalam surat saya bertarikh 27.12.2010 itu juga,saya telah jelaskan bahawa sebarang siasatan mengenai maklumat diatas,perlu merujuk kepada kertas siasatan kes mata-lebam oleh kerana beberapa insiden yang berlaku adalah “bertindih” (overlapping) lebih-lebih lagi “pemain utama” kedua-dua kes pemalsuan dalam insiden mata-lebam dan pemalsuan “DNA” adalah sama.
3. Fokus saya dalam Surat Rayuan Terbuka ini adalah kepada Bahagian I surat tersebut iaitu;
3.1. Berkaitan dengan “Penjelasan dan Jawapan secara bertulis kepada soalan-soalan yang tidak sempat dijawab semasa sessi penggulungan perbahasan Bajet 2011” yang diberi oleh YB Dato’Seri Hishammuddin Tun Hussein (YB Hishammuddin),Menteri Dalam Negeri,pada 2.12.2010,sebagai menjawab soalan daripada YB Tuan Lim Kit Siang dan;
3.2. Berkaitan dengan “Ministerial Statement” oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri,YB Dato’Seri Mohamed Nazri Abdul Azizi (YB Nazri)), dibawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) pada 14.12.2010,sebagai penjelasan kepada usul memotong RM10 daripada gaji Peguam Negara yang dibangkitkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang juga.Saya percaya YBhg.Datuk sedar bahawa kenyataan berkenaan adalah terbit daripada arahan khusus Jemaah Menteri kepada YB Nazri dan seorang lagi Menteri Kanan iaitu YB Dato’Seri Utama Dr.Rais Yatim (YB Rais Yatim),supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (Gani Patail) sendiri, berkaitan isu yang dibangkitkan sekembalinya Gani Patail daripada Mekah setelah menunaikan Haji musim lalu.
3.3. Saya percaya YBhg.Datuk akan bersetuju dengan saya, jika saya katakan bahawa, YB Hishammuddin dan YB Nazri mahupun YB Rais Yatim TIDAK mempunyai ekses kepada kertas siasatan Polis ataupun SPRM.Mereka juga TIDAK mempunyai sebarang kuasa penyiasatan sepertimana terdapat dalam Kanun Prosidur Jenayah (CPC), ataupun kuasa berkaitan pendakwaan atau perkara yang incidentalmengenainya,sepertimana yang dibekalkan kepada Peguam Negara,mengikut Artikel 145(3) dan 145(3A) Perlembagaan Persekutuan.Oleh hal yang demikian pengumuman yang telah dibuat oleh YB Hishammuddin dan YB Nazri secara berasingan itu, adalah semata-mata berdasarkan kepada fakta-fakta yang dibekalkan dan nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara,kerana perkara-perkara pengumuman berkenaan adalah berkaitan siasatan dan undang-undang.
4. Saya percaya YBhg.Datuk sendiri turut sedar bahawa pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua YB Menteri berkenaan mengandungi fakta-fakta dan/atau maklumat-maklumat mustahak yang tidak benar dan/atau yang mengelirukan dan/atau yang telah dipesongkan (distorted).Saya juga percaya YBhg.Datuk turut sedar dengan demikian itu, Peguam Negara sama ada secara sengaja atau sebaliknya, telah menyebabkan YB Hishammuddin dan YB Nazri membuat pengumuman yang mengelirukan dalam Parlimen atau lebih jelas lagi, jika saya katakan, mereka telah memberi maklumat palsu kepada rakyat.Akibatnya, kedua-dua YB Menteri terlibat, mungkin terdedah kepada risiko dikenakan sesuatu tindakan undang-undang.
4.1. Tindakan Peguam Negara boleh diibaratkan,sebagai “sebuah roda yang terbenam didalam lumpur yang licin.Lebih ligat roda tersebut diputarkan untuk keluar dari lumpur tersebut,lebih dalam ia akan terbenam”. Begitulah keadaannya dalam isu ini.Lebih ligat Peguam Negara memutar belitkan undang-undang,fakta dan keterangan,untuk keluar daripada masaalah penipuan dan pemalsuan yang beliau telah lakukan sendiri,lebih kuat beliau menjerut leher sendiri.Malangnya orang lain yang tidak berkenaan pula turut menjadi mangsa keadaan.
5. Bagi meleraikan kekalutan diatas,yang telah berlarutan selama 12 tahun,saya merayu YBhg.Datuk,atas sifat Peguam Cara Negara,yang boleh dalam keadaan tertentu bertindak sebagai Pendakwa Raya,mengeluarkan kenyataan resmi kepada umum, bagi mengesahkan posisi YBhg.Datuk sendiri dalam hal ini. Adalah sangat tidak wajar untuk pihak Peguam Negara mencari perlindungan di-belakang Menteri-Menteri dalam membuat kenyataan-kenyataan berkenaan perkara penyiasatan dan pendakwaan,sedangkan YBhg.Datuk sendiri yang telah berhujah menyatakan bahawa Perdana Menteri pun bukan “competent authority” untuk membuat kenyataan sedemikian bagi pihak Peguam Negara.Saya jemput YBhg.Datuk merujuk kepada kes yang diperturunkan dibawah;
5.1. Dalam Rayuan Jenayah No:43-(70)-2008,Keputusan “Decision on Revision” oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Ariff Dato’Mohamad Zabidin bin Mohd.Diah bertarikh 5.3.2009.
“Suffice for me to say I agree with learned SDPP’s submission that “it is well settled that the authority or discretion to institute a prosecution and all other powers incidental to it,is vested with the Attorney-General by virtue of Article 145(3)and 145(3A) of the Federal Constitution.Such being the case,any promise with regard to the prosecution or anything incidental to it can only be made by the Attorney-General and not the Prime Minister.Surely,the Prime Minister could not be seen to be making promise on behalf of a competent authority which is given the exclusive discretion under the Federal Constitution with regard to prosecution or any matter incidental thereto.”
5.2. Dalam premis diatas, diharap YBhg.Datuk dapat memberikan penjelasan mengenai status kenyataan YB Nazri yang beliau buat pada 14.12.2010 dan sama ada YB Menteri berkenaan merupakan “competent authority” membuat kenyataan sedemikian bagi pihak Peguam Negara.Lebih-lebih lagi kenyataan tersebut menyentuh bidang kuasa Pendakwa Raya.YBhg.Datuk juga wajar menjelaskan sama ada Jemaah Menteri merupakan “competent authority” untuk mengistiharkan perlantikkan Ahli Panel Bebas berkenaan sebagai “sah” atau sebaliknya, dan sama ada YB Menteri boleh mengistiharkan sesuatu siasatan kes jenayah itu ditutup.
6. Untuk faedah umum dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan berkaitan perkara dalam persoalan ini,saya merayu YBhg.Datuk menjelaskan persoalan-persoalan yang berikut dibawah dengan telus dan ikhlas.Semoga penjelasan YBhg.Datuk berikan kelak, akan dapat menyelesaikan kemelut ini “once and for all”.Tidak dapat tiada isu pemalsuan keterangan dalam insiden mata-lebam, akan berbangkit semula apabila siasatan menyeluruh dijalankan berkaitan maklumat sepertimana perkara tajuk.Persoalan utama adalah seperti berikut dibawah;
6.1. Benar atau tidak terdapat tiga (3) laporan perubatan yang berbeza antara satu sama lain,yang disediakan oleh Dr.Abdul Rahman Yusof.Laporan pertama disediakan pada 26.10.1998 atas arahan Gani Patail.Laporan kedua (yang akan dirujuk sebagai Ekshibit-A9) dan Laporan Ketiga masing-masing tanpa bertarikh disediakan oleh Dr.Rahman diantara 14.12.1998 hingga 21.12.1998 yang diarahkan oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham Mohtar),Peguam Negara ketika itu.
6.2. Benar atau tidak dua(2) daripada tiga(3) Laporan diatas,iaitu Laporan Pertama bertarikh 26.10.1998 dan Ekshibit-A9 telah dikemukakan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja Tersebut,dan dirakamkan dalam Laporan Suruhjaya berkenaan.
6.3. Benar atau tidak Laporan Pertama bertarikh 26.10.1998 yang penyediaannya diarahkan oleh Gani Patail,tidak terdapat dalam Laporan Suruhanjaya yang kemudiannya diperkenankan oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong.
6.4. Jika Gani Patail dan/atau Tan Sri Musa Hassan (Musa Hassan),dan/atau Dr.Rahman dan/atau ACP Mat Zain Ibrahim (ketika itu Pegawai Penyiasat kes mata-lebam),sama ada secara bersendiri atau berpakat,tidak terlibat dengan apa cara sekalipun dalam pembikinan ketiga-tiga Laporan Perubatan seperti yang tersebut diatas,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan bagaimana laporan-laporan tersebut,kesemuanya berjumlah 65 muka surat, boleh ujud dan siapa yang bertanggungjawab dalam pembikinannya.
(i) Bolehkah YBhg.Datuk turut jelaskan bagaimana laporan-laporan berkenaan boleh berada dalam kertas siasatan mata-lebam,kertas siasatan SPRM dan Laporan Suruhanjaya Di-Raja tersebut.
6.5. Berkaitan dengan kuasa Peguam Cara Negara (Solicitor General-SG) sepertimana terkandung dalam Seksyen 376 Kanun Prosidur Jenayah (CPC).
(i). Benarkah mengikut Seksyen 376 (2)CPC,kuasa SG sama dengan kuasa yang ada pada seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sahaja.Apabila SG bertindak sebagai Pendakwa Raya ketika ketiadaan Peguam Negara atau pada waktu ia tidak berupaya bertindak sebagainya,adalah untuk “administrative purposes” sahaja dan tidak melibatkan pengambilan “kuasa penuh” Pendakwa Raya. Kuasa penuh Pendakwa Raya hanya boleh dilaksanakan oleh Peguam Negara seorang sahaja yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong.
(ii) Semua DPP,dan termasuk SG,boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang ada atau yang boleh dijalankan oleh Pendakwa Raya dengan atau dibawah CPC atau mana-mana undang-undang bertulis kecuali (diulangkan)..kecuali apa-apa hak atau kuasa yang dinyatakan wajar dilakukan oleh Pendakwa Raya sendiri, iaitu;
a) Melantik DPP dibawah Seksyen 376 subseksyen (3)CPC,dibaca bersama dengan Seksyen 376 subseksyen (4).
b) Menandatangani sijil dibawah Seksyen 418A subseksyen (2) CPC iaitu untuk memindahkan perbicaraan dari Mahkamah Rendah kepada Mahkamah Tinggi.
c) Perintah menjalankan perbicaraan terhadap pengarang,tuan punya, pencetak atau penerbit sebarang buku atau surat khabar yang didaftarkan dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau dibawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986.
6.5.1. Sehubungan perkara diatas,izinkan saya merujuk sekali lagi nota prosiding Rayuan Jenayah 43-(70)-2008 mengenai “Decision on Revision” di-hadapan Hakim YA Dato’Mohamad Zabidin bin Mohd.Diah.Dalam hujah pihak Pendakwaan,YBhg.Datuk sendiri telah menekankan dengan membawa contoh-contoh case-laws bahawa hanya Pendakwa Raya sahaja yang mempunyai kuasa untuk menandatangani sijil dibawah Seksyen 418A tersebut,oleh kerana keperluan tersebut adalah “statutory requirement”,atau dalam bahasa mudah ianya adalah kehendak undang-undang.Jika demikian,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan mengapakah aplikasinya dalam perlantikkan DPP mengikut Seksyen 376 (3) CPC dibaca bersama dengan Seksyen 376(4) berbeza dengan apa yang YBhg.Datuk hujahkan di-Mahkamah,sedangkan undang-undang yang dipakai ialah CPC yang sama.
6.6. Dengan mengenepikan persoalan kesahihan perlantikkan DPP-DPP berkenaan sebagai Ahli Panel Bebas,diharap YBhg.Datuk jelaskan sama ada sekumpulan DPP yang dilantik sedemikian itu mempunyai hak dan kuasa untuk mengadili (adjudicate) perkara berkaitan kelakuan dan/atau salah-laku jenayah seorang Peguam Negara,sama sepertimana hak dan kuasa sebuah Tribunal yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.
6.7. Saya percaya YBhg.Datuk tidak akan menafikan telah menerima ketiga-tiga laporan perubatan disediakan oleh Dr.Rahman dalam persoalan ini,menerusi salinan surat-surat saya bertarikh 15.4.2009 dan 7.5.2009.Saya percaya YBhg.Datuk bukan orangnya yang akan membakul-sampahkan dokumen-dokumen tersebut, sebaliknya YBhg.Datuk telah meneliti kesahihan laporan-laporan berkaitan dengannya.
6.7.1. Oleh hal yang demikian itu,bolehkah YBhg.Datuk jelaskan,keterangan yang macam mana lagi YBhg.Datuk ingin cari.
6.7.2. Malahan dengan hanya bersandarkan laporan saya bertarikh 15.4.2009 dan 7.5.2009 itu sahaja,saya yakin YBhg.Datuk telah boleh membentuk suatu kes prima facie terhadap Gani Patail dan orang atau orang-orang yang bersubahat dengannya, kerana memalsukan keterangan ketika proses penyiasatan kes mata lebam,tanpa perlu merujuk kepada kertas siasatan kes itu sendiri ataupun kertas siasatan SPRM berkaitan.
YBhg.Datuk,
7. Saya telah menunggu sehingga hari ini 5hb.Januari 2011untuk mengedarkan maklum balas bersangkutan dengan kenyataan yang dibuat oleh YB Menteri-Menteri tersebut itu.Saya percaya YBhg.Datuk dan khasnya Gani Patail,masih ingat bahawa dua belas tahun lalu, pada 5hb.Januari 1999, Peguam Negara,Allahyarham Mohtar telah mengeluarkan Press Statement yang disediakan oleh Gani Patail berkaitan dengan Penyiasatan Polis dalam insiden mata-lebam kepada umum.Saya sendiri tidak akan lupa tarikh bersejarah ini.
7.1. Press Statement 5.1.199 inilah yang telah memusnahkan kredibiliti PDRM dan khasnya Pasukan Penyiasat insiden mata lebam ketika itu.Press Statement ini juga telah menyebabkan Jemaah Menteri terpedaya untuk mempercayai bahawa PDRM tidak berupaya untuk menangani sesuatu siasatan jika melibatkan pucuk pimpinan tertinggi sendiri,dan dalam hal ini penglibatan Ketua Polis Negara.Akibatnya Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Suruhanjaya Di-Raja pula dibentuk untuk mengambil alih siasatan daripada Polis.
7.2. Bagaimanapun PDRM akhirnya telah membuktikan bahawa ia adalah satu Pasukan yang berkecuali dan professional dan mampu menjalankan penyiasatan yang adil “without fear or favour”,sekalipun ianya adalah terhadap orang nombor satunya.Ini telah diakui oleh Ahli Suruhanjaya Di-Raja tersebut sepertimana yang dirakamkan dalam “Part Two,muka surat 69 perenggan 6.6.Laporan Suruhanjaya”,walaupun ramai yang tidak menyedarinya atau mempedulikannya.
8. Saya percaya YBhg.Datuk serta Pimpinan Tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara,turut sedar, bahawa Press Statement 5.1.1999 itu adalah merupakan bukti utama yang boleh digunakan untuk mensabitkan beberapa kesalahan jenayah terhadap Gani Patail dan orang atau orang/orang yang bersubahat dengannya,berkaitan penipuan dan pemalsuan keterangan.
8.1. Bersempena dengan ulang tahun ke-duabelas Press Statement 5.1.1999 itu pada hari ini,saya mengajak YBhg.Datuk “to come clean” untuk menyelesaikan kemelut ini.
9. YBhg.Datuk bebas memilih untuk terus melindungi perbuatan jenayah ini dan terpaksa bersedia untuk terus berbohong untuk menutup pembohongan terdahulu yang tidak akan berkesudahan, ataupun YBhg.Datuk memilih untuk menyelamatkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada hari ini,supaya membolehkan YBhg.Datuk dan rakan-rakan yang lain membuka tirai baru dalam membawa AG’s Chambers kezaman kecermelangannya sebelum 1998.
9.1. Apa pun pilihan yang akan dibuat,saya inginkan YBhg.Datuk tahu bahawa penipuan dan pemalsuan yang dilakukan sejak 1998 itu dan terus terpaksa dilakukan sehingga hari ini, adalah berputik daripada perasaan marah, dendam peribadi dan keegoan sesaorang yang mengambil kesempatan situasi tidak menentu ketika itu.
10. Akhir kata saya menuntut maaf sekiranya surat rayuan terbuka saya kepada YBhg.Datuk ini membebankan,dan saya memohon maaf juga sekiranya terdapat kata-kata saya yang terlanjur atau menyinggung perasaan.Saya pernah membuat rayuan yang serupa kepada Allayarham Tan Sri Peguam Negara ketika itu, menerusi minit saya dalam muka surat 26 hingga 29 perenggan 10,11 dan 12 bertarikh 27.1.1999,dan diharap YBhg.Datuk sudi melihatnya jika ada kelapangan.
Salam sejahtera, selamat maju jaya dan Selamat Tahun Baru.
Terima kasih.
Yang benar,
(Mat Zain bin Ibrahim)
Pencabulan konsep federalisma berhubung pelantikan jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor (SUK) sekarang akan mengakibatkan kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional, kata presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Kerajaan Umno-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.
“Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respons di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat,” kata Abdul Hadi (kiri sekali) dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan, tidak akan menjamin BN akan terus kekal sebagai pemerintah kerana dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk Umno-BN.
Sehubungan itu, menurut Abdul Hadi, krisis pelantikan jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat yang memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.
"Dalam pilihan raya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor. "Di atas asas yang sama, agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut," katanya.
Abdul Hadi berkata sikap BN melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma.
“Kita semua menyedari bahawa Umno-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya lagi.
Isu timbul berikutan pelantikan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Muhd Khusrin Munawi sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari ini.Sebelum ini, perlantikan Khusrin dilingkari beberapa 'kontroversi' dan ia dilihat pelbagai pihak sebagai tindakan yang seolah-olah ingin sabotaj kerajaan Pakatan Rakyat.
Antaranya, Khusrin pernah melobi program Umno dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan Ramadan lalu serta engkar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau juga didakwa menimbulkan kontroversi lawatan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang.
Khusrin juga 'menempa nama' dengan kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalm majlis yang turut dihadiri wakil rakyat Pakatan.
Dari seri rekod pula, Khusrin sekadar dalam gred Jusa C sebelum melangkah ke Jusa B untuk menjawat jawatan SUK yang bergred Jusa A.
TS Khalid : Sidang khas DUN Selangor hujung bulan ini.
Posted by Love Perak | Wednesday, January 05, 2011 | 2 comments »
30 Muharram 1432H.themalaysianinsider
SHAH ALAM, 4 Jan – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar akan diadakan hujung bulan ini.
Khalid berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di sini petang kelmarin.
Dalam pertemuan selama dua jam itu, Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang DUN tergempar itu.
“Walaupun secara sah SUK telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tapi kita masih belum anggap ia sah kerana belum mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar dan Exco.
“Dalam pertemuan hari ini juga kita bersetuju ia (majlis angkat sumpah) ditunda sehingga dibuat keputusan dalam sidang DUN yang akan kita adakan dalam masa terdekat dicapai.
“Kita mungkin akan buat sidang DUN dalam minggu ketiga sebelum minggu keempat bulan ini, jadi kita ada tiga minggu buat persediaan,” kata Khalid sambil berkata, sudah menyerahkan surat kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi membincangkan semula pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Saya telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan untuk membincangkan semula mengenai pelantikan SUK.
“Kita ingin perkara ini diperbetulkan dengan konsep ada beberapa kuasa dalam pelantikan jawatan tertinggi di negeri Selangor,” kata Khalid.
Sebelum ini, Khalid berkata, kerajaan negeri akan mencadangkan sidang DUN tergempar untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Pada sidang media itu juga, Khalid sekali mengulangi pendiriannya tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Khusrin di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.
“Saya telah dinasihatkan supaya tidak hadir,” katanya.
Khalid juga berkata, Khusrin boleh menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, namun tidak beroperasi sepenuhnya.
Minggu lalu Mohd Sidek mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.
Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung Khamis ini, diteruskan.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin
Pengaruh Anwar di Johor Hebat, BN Berpeluh!
Posted by Love Perak | Tuesday, January 04, 2011 | 0 comments »Di sebalik reputasi sebagai kubu kuat BN, kehadiran ketua umum PKR untuk kempen pilihan raya kecil Tenang menimbulkan peluh dingin di kalangan pemimpin BN.
Di dua ceramah malam tadi, polis terus bertindak sebaik sahaja Anwar mengambil tempatnya untuk berpidato.
Sebagai kontras, ucapan beberapa pemimpin Pakatan rakyat yang lain tidak dihiraukan dan dibiarkan berlarutan.
“Bila pemimpin lain berucap, tiada ganguan. Bila Anwar berucap, polis akan terus menganggu dan menghentikannya.
“Umno Johor cukup gusar dengan kehadiran Anwar kerana beliau cukup berpengaruh di sini, khususnya ketika menjadi timbalan perdana menteri,” kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.
Pada majlis pertama di Kampung Ayer Panas, jalan menuju ke tempat itu dibarisi kenderaan polis dan sekatan jalan raya.
Menurut orang ramai, kehadiraan polis yang ramai itu menakutkan masyarakat setempat untuk keluar menghadiri majlis berkenaan. Hanya kira-kira 300 orang hadir.
Apabila tiba giliran Anwar berucap pada jam 9.45 malam semalam, polis terus bertindak dan mengarahkan ceramah berkenaan dihentikan. Anwar akur dan bergerak menuju majlis keduanya di Felda Cempelak.
Ceramah di Felda Cempelak berjaya menarik lebih ramai hadirin - kali ini sekitar 3,000 orang, meskipun dengan kehadiran anggota polis yang tetap ramai dan diperlengkapkan dengan dua trak meriam air.
Anwar mengambil tempatnya di pentas utama pada jam 10.45 malam selepas ucapan pemimpin lain seperti ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mazlan.
Sebaik sahaja mahu mula berucap, polis naik ke pentas untuk menghentikan ketua pembangkang itu. Pihak penganjur juga gagal memujuk polis supaya membenarkan Anwar untuk berucap dan semua peralatan pembesar suara juga dirampas.Tanpa menghiraukan larangan itu, Anwar meneruskan ceramah menggunakan hailer. Namun hanya mereka yang berada berdekatan dapat mendengar.
Polis membiarkan ceramah itu berterusan selama kira-kira 40 minit sehinggalah Anwar menimbulkan isu Apco Worldwide, sebuah firma antarabangsa yang diupah oleh pentadbiran Najib.
“Apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide, polis terus mengepung kawasan itu. Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kami terpaksa menamatkan ceramah itu,” kata Mazlan yang juga timbalan pengarah kempen pilihan raya kecil PAS bagi kerusi Tenang.Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang dijadualkan pada 22 Januari ini, manakala pengundian ditetapkan pada 30 Januari jika ada pertandingan.
Gempar - Siapa Awang Selamat Sebenar Bakal Terdedah?
Posted by Love Perak | Monday, January 03, 2011 | 0 comments »
"Third Force" Diketuai Raja Petra Bantu Pakatan di Tenang
Posted by Love Perak | Saturday, January 01, 2011 | 1 comments »Oleh Debra Chong
KUALA LUMPUR, 31 Dis — Di sebalik tanggapan bahawa ‘bertegang leher’ dengan Pakatan Rakyat, Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), yang diketuai blogger berpengaruh Raja Petra Kamarudin, bersedia untuk membantu perikatan itu ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang akhir bulan depan.
Editor Malaysia Today yang lantang ini, yang kelihatan berselisih dengan kepimpinan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini, mula mengetepikan perbezaan ideologi mereka untuk memfokus pada perjuangan bersama - menghalang Barisan Nasional (BN) daripada merekodkan satu lagi kemenangan pada 30 Januari ini.
BN menang dua pilihan raya kecil serentak awal bulan lepas.
“Majlis Perwakilan PAS UK & Eire, Friends of Pakatan Rakyat dan MCLM akan berganding untuk mengutip dana bagi (membiayai kempen) pilihan raya kecil Tenang.
“MCLM juga akan berkempen pada pilihan raya kecil,” kata Raja Petra yang mengetuai gerakan yang berpejabat di London itu menerusi ruangan beliau “No Holds Barred” hari ini.
Raja Petra yang turut dikenali sebagai “RPK” menambah, kempen gerakan itu akan diterajui blogger Bernard Khoo.
MCLM didaftar di London dua bulan lalu dianggap sebagai ‘Third Force’, yang turut menimbulkan kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon PAS di Tenang. Bagaimanapun Raja Petra membisu sama ada dua calonnya yang dinamakan setakat ini untuk diturunkan pada pilihan raya umum ke-13 iaitu Malik Imtiaz Sarwar dan Sreekant Pillai akan turun berkempen di Tenang.
Malik memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak disertakan dalam barisan kempen dan tiada sebarang rancangan untuk muncul di Tenang bagi membantu calon Pakatan Rakyat.
“Saya tidak dalam MCLM. Saya fikir MCLM boleh menguruskannya,” kata peguam dan aktivis hak asasi manusia ini. Pun begitu beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai kempen itu kelak.
“Ada kemungkinan (untuk sertai bersama),” kata Malik. Khoo yang menguruskan laman Zorro Unmasked menolak tanggapan bahawa ketegangan antara kumpulannya dan perikatan tiga parti itu akan muncul ketika kempen lapan hari nanti.
“Sekian lama, kami sentiasa cenderung kepada Pakatan. Kami sentiasa mengatakan bahawa kami akan menyokong mereka dan kami akan lakukan apa yang kami katakan sejak dari dahulu lagi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Katanya, apa yang penting ialah memperkukuhkan usaha ke arah pilihan raya umum ke-13.
“Apabila tiba masa kelak, kami akan bercakap mengenainya,” kata Khoo apabila ditanya sama ada MCLM mampu untuk meyakinkan pengundi-pengundi Tenang bahawa calon Pakatan Rakyat adalah yang terbaik untuk mewakili mereka berbanding calon bakal diturunkan BN.
Sehubungan itu kata beliau, adalah “sangat penting untuk menunjukkan bilangan (penyokong) pada hari penamaan calon” jika Pakatan Rakyat mahu bertapak di Tenang.
Khoo berkata, pasukan kempennya akan terdiri daripada 10 orang buat masa ini dan akan memfokus usaha memikat pengundi masyarakat Cina menerusi pendekatan lawatan rumah ke rumah.
“Ia seperti (kempen) ketika (pilihan raya kecil) Kuala Terengganu (awal tahun lalu),” kata Khoo sambil menambah, kebanyakan ahli MCLM, yang kebanyakannya anggota komuniti berita alternatif online akan membawa berita-berita tempatan sebaik sahaja calon yang bakal bertanding diumumkan.
Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang merupakan yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008.
Penamaan calon pilihan raya kecil Tenang akan diadakan 22 Januari ini dan jika ada pertandingan pengundian diadakan pada 30 Januari.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha. Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.
Terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih biasa, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.
Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (5,766), India (1,780), Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171) dan 11 lagi dalam kategori lain-lain.
















