http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

52 Bekas Ahli UMNO Sertai PAS

Posted by Love Perak | Friday, August 07, 2009 | 0 comments »

MANONG – Memikirkan dasar perjuangan yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak seutuh dahulu dan banyak perubahan berlaku menyebabkan 52 bekas ahli parti Kampung Suak Petai di sini, mengambil keputusan menyertai Pas.

Keputusan mereka juga disambut baik oleh cawangan Pas Kuala Kangsar dan sijil keahlian turut diserahkan kepada ahli baru itu sebagai tanda pengesahan dan penghargaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata daripada penduduk mengharapkan dengan menyertai parti Pas dapat membawa mereka ke arah perjuangan sebenar demi kepentingan bersama.

Seorang penduduk, Ahmad Sulaiman Alang Yaakob, 70, berkata, setelah 48 tahun bersama UMNO, dia mengambil keputusan menyertai Pas kerana dasar perjuangannya semakin tersasar daripada landasan sebenar.

Menurutnya, BN dan UMNO terlalu mengutamakan suara pemimpin sehinggakan mengabaikan pendapat rakyat.

“Sudah lama saya berjuang bersama-sama BN dan sekarang saya mengambil keputusan untuk bersama Pas.

“Semakin lama saya bersama BN, semakin kendur dasar perjuangan mereka. Mereka lebih utamakan suara pemimpin berbanding kepentingan dan suara rakyat,” katanya kepada sinar Harian.

Katanya, dengan menyertai Pas diharapkan parti tersebut dapat memberi kerjasama yang baik dalam membantu masyarakat setempat.

“Saya harap kerjasama daripada Pas dapat membawa kami kepada dasar perjuangan yang sebenar untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mariati Kayak, 56, berpandangan Pas dapat memperjuangkan kehendak yang diperlukan semua masyarakat.

“Semua ahli keluarga saya menyertai Pas pada tahun ini. Saya rasa, Pas adalah sebuah parti yang boleh memperjuangkan apa yang rakyat mahukan.

“Bagi saya, BN banyak mengabaikan kemahuan kami,” katanya.

Manakala, Zaiton Nuri, 47, berkata, kebanyakan ahli BN dan UMNO bukan melakukan kerja atau tugas demi perjuangan parti tetapi hanya kepentingan diri sendiri.

“Saya juga aktif dalam perjuangan BN dan UMNO dahulu tetapi sekarang saya memilih Pas.

“Sesetengah daripada ahli UMNO bukan membuat kerja demi kepentingan masyarakat dan parti tetapi hanya untuk memenuhi kepentingan diri semata-mata.

“Dengan pejuang baru ini, walaupun saya buat kerja tanpa sebarang balasan tetapi saya ikhlas dan seronok,” katanya.

0 comments