Setiap kali demonstrasi aman yang dilakukan oleh rakyat, pihak kerajaan terus akan mengecap ia sebagai "perhimpunan haram" sekalipun AKHIRNYA kebenaran membuktikan perjuangan rakyat itu benar dan tindakan polis serta kerajaan adalah salah.
Buktinya ialah sewaktu Datuk Hishamuddin Hussein menjadi menteri pelajaran, satu demontrasi apa yang dipanggil "Anti-PPSMI" yang diadakan pada 7 Mac lalu. Sekalipun perhimpunan itu menerima tentangan hebat dari pihak berkuasa sehingga rakyat "dihadiahkan" dengan pelbagai kezaliman polis dan keangkuhan menteri yang bertanggungjawab untuk terus tidak melayani tuntutan rakyat, namun akhirnya kerajaan mendapati perjuangan rakyat tersebut adalah benar dan langkah diambil untuk menghapuskan PPSMI.
Pengumuman Timbalan Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mengumumkan pemansuhan perlaksanaan adalah berdasarkan kepada kajian saintifik terhadap perkara itu dan beliau berkata PPSMI tidak mencapai tujuannya kerana peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar adalah sangat rendah.
Ia sekaligus menafikan kenyataan Hishamuddin yang satu ketika berkeras ingin meneruskan dasar PPSMI tersebut sekalipun telah menerima tentangan dari banyak pihak.
Kini di bawah menteri yang sama, Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri sekali lagi mencari pasal dengan rakyat dan berliau dikatakan sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi anti ISA yang akan diadakan petang ini.
Tidakkah Hishamuddin terfikir bahawa tindakannya itu bakal mengundang hal yang sama sepertimana beliau mengarahkan polis bertindak ke atas peserta demonstrasi GMP-PPSMI yang baru lalu?
Apa yang menjadi masalahnya, sekalipun akhirnya suara rakyat itu diakui benar, tetapi pihak berkuasa polis TELAH melakukan kezaliman dan kekejamannya melalui siri penggunaan FRU untuk membelasah dan menangkap rakyat yang menyertai perhimpunan tersebut dengan menjadikan diri mereka golongan binatang yang tidak kenal erti kemanusiaan, menghadiahkan rakyat dengan semburan gas pemedih mata, asid berkimia malah ada diantaranya diseret, dipukul, ditendang sesuka hati.
Jika pemansuhan PPSMI diumumkan untuk menarik perhatian pengundi di Manek Urai, apakah nanti ISA disimpan untuk dijadikan penimbal modal yang akan diumumkan untuk dimansuhkan pada plihanraya Permatang Pasir akan datang?
Yang nyata, rakyat tidak selalunya salah dan kerajaan tidak selalunya betul, tetapi tindakan polis menggunakan kekerasan dan kezaliman TETAP salah dipandang dari sudut apa sekalipun. Polis dengan mudah meletakkan rakyat sebagai bahan buruan dengan mereka meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka sendiri sehingga sanggup merancang provokasi supaya perhimpunan rakyat menjadi huru-hara dan tampak seperti satu rusuhan bagi menjustifikasikan "serangan" mereka ke atas rakyat.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan tidak ada sebab kerajaan menghalang hak kebebasan suara rakyat bagi menyampaikan hasratnya sama ada dalam bentuk protes melalui perhimpunan aman tanpa niat untuk mencetuskan huru-hara.
- Demonstrasi diadakan kerana rakyat ingin menyampaikan hasratnya. Bukan untuk mencetuskan sebarang huru-hara. Dan ia akan dilakukan dengan aman. Jadi kenapa tidak boleh?
- Sudah lama rakyat melontarkan suara hatinya dengan cara cukup berhemah supaya ISA dimansuhkan. Sama juga dengan pemansuhan PPSMI, tapi ia seolah-olah tidak ada sebarang tindak balas positif.
- Maka inilah pilihan lain terpaksa diambil mereka, ujarnya pada majlis kuliah mingguan di dataran ilmu dekat sini pagi semalam.
Nik Aziz berhujah kerajaan yang dilantik oleh rakyat melalui proses pengundian menerusi pilihan raya yang memerintah lebih daripada 50 tahun sepatutnya lebih matang dalam memahami aspirasi rakyat dalam pelbagai aspek.
"Seseorang menteri ataupun kerajaan dilantik oleh rakyat. Kalau rakyat tidak undi dia tak boleh jadi kerajaan ataupun menteri. Jadi kenapa dinafikan hak rakyat yang inginkan hak mereka," ujarnya.
Sehubungan itu beliau memberitahu undang-undang negara menggambarkan seolah-olah ingin meletakkan sesuatu kesalahan di atas bahu rakyat sambil menegaskan demikianlah yang dinamakan undang-undang sekular.
Ingat, Datuk Syed Hamid Albar telah menjadi Menteri Dalam Negeri yang sentiasa menentang suara rakyat dan rakyat telah menadah tangan ke langit agar tidak memanjangkan perkhidmatan si kuda kayu itu. Akhirnya nama Syed Hamid terpadam jua dari kabinet dengan rakyat masih tidak melupakan kezaliman yang telah dilakukannya!
OLEH ITU, polis seringkali mengeluarkan amaran kepada rakyat, KINI kita menyampaikan suara amaran dari rakyat keepada polis : JANGAN CABAR RAKYAT!!
0 comments
Post a Comment