Setelah dibantai berkali-kali, belum pecah berdarah lagi belakang si unta. Si unta masih diam membisu. Barangkali sakitnya masih mampu ditanggung, dia belum naik angin.
Perlantikan orang-orang yang menurutnya mempunyai perangai yang keji di dalam kabinet dan selepas itu dilantik pula Ratu AP dan orang yang disifatkannya sebagai pak lawak yang terpalit dengan tuduhan rasuah di dalam Majlis Tertinggi Umno barangkali masih belum begitu menyakitkan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia melibas, tetapi tidaklah dilihat mencederakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menampakkan lagi betapa si unta dibantai dengan lebih keras di atas belakangnya, Najib menyatakan keazamannya untuk membangunkan Wilapah Pembangunan Iskandar (WPI). Dia diam.
Selepas itu diumumklan pula ura-ura pembinaan jambatan ketiga ke Singapura. Pembinaan jambatan ketiga membunuh cita-cita pembinaan jambatan bengkok, yang dilihat oleh Dr Mahathir sangat penting untuk mengajar Singapura. Belakang unta semakin sakit akibat dibantai. Tidak juga ia melengking.
Nah, ambik lagi dua liang. Dibantai lagi. Omar Ong dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula hendak dilantik sebagai Pengerusi Petronas. Apabila penyokong kuatnya yang juga kawan saya, The "thirteen million plus Ringgit" guy bagaikan merayu Omar, adakah si unta sudah menunjukkan tanda-tanda ia tak tahan lagi dipukul bantai dengan begitu brutal berulang-ulang kali? Tetapi, dia tetap tak bersuara.
Sambil teringat judul filem KL Menjerit, saya tanya seorang lagi kawan saya yang juga penyokong tegar Dr Mahathir. "Aku menunggu Tun menjerit," kata saya.
"Engkau suka sangatlah tu," katanya. Kawan itu seterusnya memahamkan kepada saya, kalau Najib pun dibelasahnya juga, orang akan fikir Dr Mahathir berlagak seolah-olah dia seorang yang pandai. Hanya dia yang tahu. Orang lain semua bodoh belaka. Naiklah siapa pun menjadi Perdana Menteri, semua tak kena di matanya.
Dari seorang yang berani, Dr Mahathir kini dituduh berubah menjadi penakut. Dia takut dituduh sebagai orang tua perasan - seolah-olah dia seorang sahaja yang pandai dan orang lain semua bodoh.
Orang akan terus bertanya, adakah Najib dan Dr Mahathir sudah bercerai? Atau akan bercerai? Apa pun, Najib ada kira-kira 16 bulan lagi. Bantai, balun jangan tak balun!
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment