Akibat ketakutan yang teramat sangat kepada pengaruh internet sebagai wadah perjuangan dan penyebar maklumat alaf baru era globalisasi, maka hari ini Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menjelaskan bahawa penjawat awam dilarang menggunakan kemudahan modem untuk membuat capaian terus ke Internet kerana ia melanggar Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di agensi-agensi kerajaan. Menurut Najib, garis panduan itu yang dikeluarkan pada 2003, adalah sebagai panduan kepada penjawat awam dalam penggunaan Internet, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Aktiviti lain yang melanggar tatacara pengguna Internet di pejabat kerajaan termasuk menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan gambar, lagu atau teks yang bercorak penentangan yang boleh membawa keadaan huru-hara dan menakutkan pengguna Internet yang lain, katanya. Malah beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam secara dalam talian seperti newsgroup dan bulletin board, menggunakan kemudahan “chatting” melalui internet, menggunakan kemudahan Internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersil dan politik. Najib berkata, kerajaan juga sudah menyekat beberapa laman web dan blog yang berunsur lucah serta berunsur hasutan manakala beberapa laman web dan blog yang sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi masih belum dikenakan tindakan larangan melayari. Beliau berkata, sehingga kini sembilan orang sudah dikenakan tindakan iaitu lapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan satu oleh PDRM.
[Dengan penjelasan Najib ini, ia bermakna penjawat awam kini berhadapan dengan risiko sekiranya mereka menggunakan modem untuk capaian internet biarpun menggunakan komputer riba masing-masing. Ini juga bagi membelenggu jiwa dan minda mereka agar terus terkongkong dan takut untuk mendapat serta menyebarkan maklumat baru yang mereka terima menerusi internet. Bukankah ini sesuatu yang tidak adil dan tidak harus berlaku dalam "dunia tanpa sempadan" hari ini. Apalah guna teknologi jika ia terus disekat dan penggunaannya tidak dibuat secara menyeluruh. Langkah menghalang penjawat awam ini jelas bertentangan dengan etika kebebasan hak untuk bersuara sebenarnya. Sudahlah mereka dihalang dengan berbagai akta yang mengarut, kini mereka juga disekat untuk itu. Kerajaan mahu penjawat awam hanya menggunakan kemudahan internet menerusi komputer jabatan yang telah dipantau sebenarnya. Dengan cara ini ia memudahkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang engkar dengan arahan tersebut].
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment