Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.
Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.
"Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi.
"selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini."
Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.
"Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN," katanya.
Mengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.
Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.
"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.
Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.
"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.
Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.
0 comments
Post a Comment