http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Speaker Kedah vs SPR

Posted by Love Perak | Friday, October 30, 2009 | 0 comments »

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai ADUN Kota Siputeh.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan permohonan semakan kehakiman itu tidak bercanggah dan terdapat isu serius yang perlu dibicarakan.

Beliau juga memerintahkan Dr Abdul Isa, yang hadir di mahkamah dan diwakili peguam Sulaiman Abdullah, memfailkan permohonan itu dalam tempoh tiga hari bagi membolehkan kes didengar sebelum 17 Nov.

Terdahulu, Sulaiman meminta mahkamah mendengar permohonan itu sebelum sidang DUN akan datang, dijadualkan selama tiga hari bermula 17 Nov.

Sulaiman, dalam hujahnya hari ini, berkata Abu Hassan telah gagal menghadiri dua persidangan DUN Kedah secara berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini.

"Perkara 51, Perlembagaan Negeri Kedah menetapkan jika mana-mana ADUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran speaker bagi dua mesyuarat berturut-turut, kerusinya akan menjadi kosong.

"Prima facie, mengikut Perkara 51 dalam kes ini adalah memuaskan," katanya.

Dr Abdul Isa memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada 1 Okt, menamakan Abu Hassan dari BN dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi Kota Siputeh ekoran kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 Sept, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih wakil rakyatnya.

Kes itu akan disebut semula pada 6 Nov.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR manakala Dr Abu Hassan tidak diwakili. BERNAMA

0 comments