Datuk Seri Najib Razak cuba mempertahankan kerajaan BN yang dipimpinnya daripada tumbang kerana bimbang didakwa di mahkamah, terutamanya berhubung dakwaan skandal pembabitan pembunuhan perempuan Mongolia, Altantuya Shaaribuu seperti yang didedahkan dalam laman WikiLeaks, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mempersoalkan media arus perdana yang sengaja "memadam" menyiarkan dakwaan skandal berkenaan seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks.
"Sebab apa Najib mahu mempertahankan Putrajaya (kerana) takut didakwa (di mahkamah) kemudian hari... Mengapa media padam perkara (dakwaan) ini (daripada disiarkan)," katanya ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju malam semalam.
"Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil," kata Anwar.
Dalam ceramah itu, Anwar membaca petikan laporan pendedahan dalam WikiLeaks yang mendakwa masa depan Najib dihantui dengan skandal pembunuhan Altantuya.
Berikutan laporan dalam laman web berkenaan, Anwar juga mencabar Najib mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Dalam ceramahnya juga, Anwar turut menyelar bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks bahawa pegawai perisikan Singapura dan Australia percaya beliau memang terlibat dengan perilaku dalam tuduhan liwat yang sedang dihadapinya.
Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh - dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit itu - menyifatkan perkara berkenaan sebagai "fitnah" dan mencabar pemimpin kanan itu mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu.
"Ada bukti? Saya minta peguam saya menjawab. Ada bukti?... Lee Kuan Yew (boleh) bawa ke mahkamah (dan) jadi saksi kepada Najib di mahkamah," katanya.
“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doktor, bawa ke mahkamah.
"Ini bukan soal kamu... Kita (Pakatan Rakyat yang) lawan Najib.... Jaga negara kamu, jangan sombong dan (jangan) kurang ajar sangat," katanya.
Dalam ceramah itu juga, Anwar turut membidas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa ragu-ragu bahawa beliau adalah sasaran 'perangkap seks oleh musuhnya'.
"Dia sudah umur 80 tahun, jangan gaduh dengan dia. Jangan kacau... Orang dah umur 80 tahun, (sepatutnya) istighfar sudahlah," sindir Anwar sambil mendapat sorakan daripada hadirin.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak risau dengan apa yang berlaku berhubung pendedahan dakwaan yang disiarkan dalam laman WikiLeaks.
"Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita.
"Kita ada komitmen dan keyakinan untuk membawa perubahan," katanya sambil melaungkan perkataan "reformasi dan takbir" sebanyak tiga kali yang kemudiaannya disambut oleh para hadirin.
Majlis ceramah malam semalam - yang bermula jam 9 malam - turut dihadiri antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua; ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Kerajaan Selangor Teresa Kok dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.
Tian Chua (bawah, kanan) dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal berkenaan.
“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” katanya.
Anwar mula menjelajah ke seluruh negara mulai semalam bagi menerangkan isu yang dihadapinya itu kepada rakyat. Esok, 16 Disember, beliau dijadualkan berada di Dataran Muhibbah, Kampung Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah berakhir di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.
Salam..
Hang ambik video kat sini..
http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2010/12/video-clip-ucapan-anwar-di-taman-melati.html