http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Mengutamakan sasaran Pakatan Rakyat

Posted by Love Perak | Friday, December 10, 2010 | 0 comments »

04 Muharam 1431 H
Oleh:Wan Hamidi Hamid

Walau dilanda kemelut politik dalaman, Pakatan Rakyat dilihat tetap utuh dan bersatu dalam usaha menggembleng tenaga bagi mengembalikan semula semangat persaudaraan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kemelut dalaman yang tak seberapa tetapi telah digembar-gemburkan oleh media arus perdana milik langsung dan tidak langsung Umno serta BN tidak banyak menggugat hati sanubari ahli serta penyokong Pakatan.

Malah, pengembalian semangat tsunami politik 2008 dijangka memberi nafas baru kepada Pakatan, terutamanya apabila Umno dan BN menyedari mereka juga mengalami masalah yang lebih besar.

Penyakit BN

Perdana Menteri sendiri tidak dapat lagi menutup pekung politiknya apabila terpaksa membuat pengakuan terbuka dalam konvensyen BN di ibu negara pada 5 Disember lalu dengan mendedahkan empat penyakit politik yang melanda gabungan pemerintah pusat itu.

Menurut pengakuan Datuk Seri Najib Razak, penyakit khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan telah melanda BN sebagai gabungan parti-parti yang sudah terlalu lama memerintah dan gagal muhasabah kelemahan diri.

Walau pun Pakatan tidak sepatutnya mengharapkan kelemahan musuh politik dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat, ia perlu menjadi hebahan kepada para pengundi yang selama ini dibekalkan dengan berita-berita berat sebelah dari media arus perdana.

Ini adalah kerana “keikhlasan” Najib dijangka tidak akan popular di kalangan para pemimpin Umno khususnya yang tidak pernah mengakui kelemahan diri dan sentiasa mencari alasan untuk menyalahkan orang lain apabila gagal memenuhi janji kepada rakyat, khususnya kepada orang Melayu.

Kesempatan ini perlu diambil oleh para pemimpin dan penyokong Pakatan untuk menyampaikan kebenaran kepada rakyat. Apatah lagi, sewaktu konvensyen BN diadakan, pihak polis – untuk kesekian kalinya tanpa budi bicara – telah menghambur gas dan air pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan aman beribu-ribu rakyat di ibu kota yang menuntut hak air.

Kenaikan harga barang

Di sebalik janji-janji pembangunan dan projek besar untuk rakyat, kerajaan BN terus membiarkan harga petrol, gas dan diesel naik manakala gula yang menjadi keperluan harian juga melambung harganya. Alasan untuk memansuhkan subsidi sukar diterima kerana berbilion ringgit subsidi masih dikekalkan untuk membela kroni-kroni seperti syarikat-syarikat memonopoli industri-industri tertentu termasuk korporat pengeluar tenaga bebas.

Tanpa segan-silu, pucuk pimpinan BN masih mewarwarkan program ETP, GTP, PTP dan Model Ekonomi Baru yang kelihatan indah dan gah termpampang di muka-muka akhbar untuk memulihkan ekonomi negara.

Yang menjadi persoalan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama: mengapa program-program gergasi bernilai berbilion ringgit itu dicanangkan sebagai usaha pusat untuk rakyat sedangkan BN tidak mampu untuk menangani kenaikan harga barang-barang keperluan harian? Persoalan ini bukan sahaja timbul di kalangan penyokong Pakatan, malah ia menjadi tanda tanya di kalangan akar umbi di pihak Umno dan BN.

Sikap pelampau kaum

Malah, tindakan-tindakan melampau kumpulan ultra kaum yang berkait rapat dengan Umno juga menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin dan penyokong komponen BN. Walau pun pemimpin mereka takut-takut untuk bersuara, di kalangan akar umbi komponen BN, mereka semakin meluat dengan sikap perkauman yang dibiarkan oleh Umno sebagai parti tunjang.

Sedangkan di pihak Pakatan, jelas kesepakatan – walau pun belum dalam konteks kebulatan suara – semakin terserlah apabila pimpinan dengan terang menolak perkauman dan ketuanan kaum. Sekali lagi, kelebihan berada di pihak Pakatan.

Di sini Pakatan Rakyat perlu menghimpun semula segala kekuatan intelek dan fizikal yang ada untuk mendepani isu-isu semasa di samping dasar-dasar jangka pendek dan panjang.

Dua keutamaan Konvensyen Pakatan

Dua perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah:

Memahami dan menangani masalah-masalah ciptaan BN yang membebankan rakyat dengan cara yang terbaik mungkin; dan
Berusaha untuk bertaut semula di kalangan kepimpinan parti-parti komponen yang sedikit-sebanyak terjejas dek pemilihan-pemilihan parti baru-baru ini.
Sebagaimana yang dipersetujui pucuk pimpinan Pakatan pada bulan November lalu, perkara-perkara ini akan dihalusi dan dicapai kata sepakat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang kedua yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu-isu yang akan dibincangkan termasuk soal air, tol, pelaburan, masalah pekerja, tanah Felda, Felcra dan tanah adat serta isu-isu hak Sabah dan Sarawak.

Perancangan Pakatan setakat ini berjalan lancar apabila Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat pada 29 November di Selangor telah mencapai kata sepakat menerusi tema “Meneruskan Cita-Cita rakyat” dengan menggariskan usaha-usaha jelas bagi memenuhi matlamat yang ditetapkan.

Iltizam negeri-negeri Pakatan

Tanpa menggunakan bahasa yang kabur, persidangan ketua-ketua negeri Pakatan itu telah beriltizam untuk:

Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;

Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;

Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara negeri Pakatan Rakyat;

Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;

Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;

Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat negeri dan daerah;
Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak;

Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya Kerajaan Tempatan menjadi kenyataan; dan
Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Mungkin ada hikmahnya apabila Kerajaan Pusat menghadkan sumbangan kepada negeri-negeri Pakatan serta menyekat bantuan-bantuan yang biasa diberikan kepada negeri-negeri di bawah pentabdiran BN kerana ini memaksa kerajaan negeri Pakatan berhemah dan berhati-hati dalam belanjawan masing-masing.

Malah, tidak ada sebab untuk kepimpinan negeri membazir atau menyalahgunakan kuasa kerana sumber kewangan yang amat terhad.

Begitu juga, jika selama ini Pakatan Rakyat dihamburkan dengan kritikan tidak ada kejelasan perjuangan, kini komitmen yang diberikan oleh ketua-ketua negeri itu sedikit-sebanyak telah menjawab kecaman dengan mengemukakan perancangan untuk rakyat dalam masa yang terdekat ini.

Tidak mustahil komitmen itu bakal menjadi asas kepada manifesto Pakatan melalui komponen-komponennya PKR, PAS dan DAP dalam PRU akan datang. Tidak perlu menjanjikan projek-projek mega kerana rakyat lebih mudah yakin dengan perancangan dan jaminan yang pragmatik dan sederhana serta mampu dilaksanakan.

Bagi Konvensyen Pakatan Rakyat nanti, iltizam ketua-ketua negeri itu perlu diperjelaskan lagi untuk memudahkan kesinambungan kefahaman di kalangan rakyat, malah termasuk untuk mereka yang masih menyokong BN atau mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan Pakatan.

Jangan buang masa

Paling penting, konvensyen itu nanti tidak perlu membuang masa dengan amalan ritual politik lama yang penuh dengan ucapan dan perbahasan berbunga-bunga penuh jerit-pekik yang hanya mengandungi retorika politik kosong.

Masa untuk syok sendiri sudah lama berlalu apabila tsunami politik 2008 tidak lagi menjadi kayu ukur semasa. Pergolakan politik dalaman dan luaran Pakatan harus menjadi teladan kepada para pemimpin, sama ada di peringkat atas atau akar umbi, untuk kembali melihat kumpulan sasar yang sebenar, iaitu pengundi.

Pemimpin dan bakal pemimpin yang mudah jatuh cinta dengan suara dan wajah sendiri akan turut terperangkap dalam penyakit yang dialami Umno dan BN sekarang - khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan.

Sasaran utama Pakatan

Sasaran utama – pengundi - perlu menjadi keutamaan. Bukan sahaja untuk mengembalikan keyakinan pengundi yang memilih Pakatan pada 2008 tetapi juga menarik sokongan pengundi baru serta mereka yang sudah mula gusar dengan Umno dan BN.

Jika sasaran ini dipaparkan dengan jelas dalam konvensyen Pakatan nanti, ia akan menjadi petanda positif ke arah persediaan rapi untuk menghadapi PRU yang dikatakan akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.

Ini amat penting kerana Pakatan Rakyat telah giat berkempen dan berjaya mendaftarkan begitu ramai pengundi baru dalam masa tiga tahun lalu. Sebagai sasaran, pengundi memerlukan maklumat yang lengkap dan fakta yang benar untuk membuat keputusan penting dalam menentukan masa depan negara.

Harakahdaily/-

0 comments