Oleh Fazy Sahir
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Senator Mohamad Ezam Mohd Noor mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap tidak jujur dalam memperjuangkan isu rasuah malah ahli parlimen Permatang Pauh itu dikatakan bertindak dengan mempolitikkan isu tersebut.
Ezam yang ditemui ketika pelancaran bukunya yang bertajuk ‘Islam dan Persoalan Rasuah’ sebaliknya berkata isu rasuah ini merupakan isu negara dan masyarakat.
Malah perkara itu, katanya tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pemimpin politik.
"Sejarah negara kita ada orang politik dalam kerajaan tiada rasuah, keluar kerajaan kata ada rasuah. Perkara ini timbul kerana isu itu cuba dipolitikkan.
"Rasuah isu negara dan masyarakat sesiapa yang rasuah mesti dihukum. Saya tiada niat untuk merujuk mana-mana individu tetapi saya menggarap sedikit pengalaman dan memperlihatkan unsur oleh individu yang melawan rasuah tetapi tidak berjuang dengan jujur.
"Jadi rasuah tidak seharusnya jdi isu politik. Tapi ketua pembangkang dan beberapa pemimpin politik lain mempolitikkan perkara-perkara seperti isu ini," katanya yang juga bekas pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi Malaysia (Gerak).
Ezam berkata buku yang mendapat hasil kerjasama dengan penulis Indonesia, Sapto Waluyo itu bakal diterjemahkan dalam bahasa inggeris serta bahasa-bahasa utama dunia.
Majlis yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang digantung dewan serta bersikap biadap ketika sesi dewan rakyat Khamis lalu, beliau berkata tindakan mereka disifatkan sebagai meraih publisiti murahan.
‘Perbuatan tidak bertamadun’
Ini menurut beliau, pihak pembangkang cuba mengalihkan isu utama berhubung pembohongan mereka dalam parlimen seperti Apco dan pendedahan laman web antarabangsa, Wikileads.
"Agenda mereka untuk menarik peminat dan publisiti seluruh dunia seupaya tidak timbul isu-isu utama seperti Apco yang diputarbelitkan dan pendedahan wikileads. Inilah isu utama yang perlu dijawab dan dibahaskan dengan tertib tapi mereka tenggelamkan dan peralatkan parlimen.
"Mereka bawa poster dan menggelar mahkamah kangaroo…sebenarnya mereka yang pegang poster itu merekalah kangaroonya.Perbuatan mereka tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab itu harus ditentang keras," katanya.
Pada 16 Disember lalu, dewan rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.
Turut digantung Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) di atas beberapa kesalahan.
Karpal dan Sivarasa didakwa telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).
Azmin, pula, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) didakwa telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010.
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment