HULU SELANGOR, 4 Jun - Masih ramai rakyat negeri Selangor khususnya dalam kawasan pedalaman dan ladang, memperolehi pendapatan dalam paras kemiskinan, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar.
Malah ada antara mereka yang masih menetap di Rancangan Felda Sungai Tengi, memperolehi pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 sebulan.
Beliau yang mengadakan lawatan di beberapa buah rumah penduduk di tanah rancangan itu hari ini, mendapati keadaan rumah mereka sangat daif dan memerlukan bantuan segera.
Kebanyakkan mereka adalah peneroka asal dan ibu tunggal yang sudah uzur serta tidak mampu lagi menguruskan ladang masing-masing.
Kebanyakan ladang mereka kini diuruskan oleh orang lain, termasuk warga asing.
“Pegawai-pegawai kami pergi ke rumah penduduk terbabit selepas mendapat maklumat daripada pejabat daerah dan hasil tinjauan serta penilaian yang dibuat terhadap latar belakang keluarga, tanggungan dan pekerjaan, kami mendapati pendapatan mereka tidak sampai RM500 sebulan.
“Malah ada yang memperolehi RM400 atau RM300 sebulan. Justeru kami memutuskan untuk membina rumah-rumah baru untuk mereka kerana mendapati rumah yang didiami sudah uzur dan tidak lagi sesuai,” katanya.
Dr. Xavier berkata, tahun lalu kerajaan pakatan rakyat membelanjakan lebih RM6 juta untuk membina hampir 250 rumah baru penduduk termiskin dan membaiki kira-kira 300 rumah lagi yang mengalami kerosakan, khususnya bumbung bocor dan dinding yang dimakan anai-anai.
Pada lawatan itu, Dr. Xavier turut menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada sembilan buah keluarga yang dikunjungi.
Beliau turut dimaklumkan bahawa ada 85 ibu tunggal dalam kawasan itu, kini menjalankan perusahaan membuat kerepek dan kuih-muih secara kecil-kecilan dalam koperasi.
Menurutnya, kerajaan negeri sedia membantu mereka dengan menyediakan mesin pembungkusan yang sesuai dan menarik bagi memudahkan produk yang mereka hasilkan, berupaya menyaingi pasaran tempatan. - M. SAHRULNIZAM ZAIN
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment