http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Setelah Lama Tidoq, Dia Bangun Lagi !!!

Posted by Love Perak | Friday, July 17, 2009 | 0 comments »

Dua minggu sebelum demonstrasi besar dirancang bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mantan perdana menteri berkata kerajaan wajar "berani memansuhkannya."

Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan, lapor Bernama.

"Sebagai (bekas) menteri dalam negeri, saya telah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji semula keberkesanan serta impak ISA, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini.

"Perlu ditegaskan bahawa Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara kerana cabaran yang kita hadapi seperti ancaman keganasan yang merentasi sempadan menuntut perundangan yang membolehkan
kerajaan mengambil tindakan pencegahan," beliau dipetik berkata.

Abdullah mengulas isu ISA sewaktu berucap sempena majlis konvokesyen khas penganugerahan ijazah kehormat Doktor Falsafah Demokrasi kepadanya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.

Dicemari stigma negatif

Abdullah menambah, sama ada suka mahupun tidak, ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk
melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

Abdullah dilaporkan berkata beliau percaya "kerajaan berani melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA" sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara.

"Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Mungkin satu contoh adalah untuk menghadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja sekaligus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya seperti dilaporkan.

Pemuda Gerakan berdemo

Kelmarin, PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai demonstrasi membantah akta kontroversi untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara, 1 Ogos ini.

Parti itu juga mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

Pada 13 Julai, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi itu yang dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang disertai pembangkang dan NGO hak asasi.

Pada 22 Jun lalu, GMI secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

0 comments