Ihya' Ramadhan: RM 12 000 untuk masjid dan surau sekitar DUN Kinrara - Teresa Kok
Teresa pilih ‘masjid kontroversi’
BANDAR KINRARA – Seperti tahun sebelumnya, empat masjid dan 16 surau di bawah kawasan Dewan Negeri (DUN) Kinrara tetap menerima sumbangan bulan Ramadan daripada wakil rakyat mereka.
Namun apa yang berbezanya tahun ini, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kinrara, Teresa Kok Suh Sim memilih Masjid al Ehsan di Bandar Kinrara Lima sebagai lokasi penyerahan sumbangan berikutan digelar ‘masjid kontroversi’ gara-gara wakil rakyat itu dikatakan pernah melarang laungan azan di situ setahun lalu.
Teresa ketika ditemui berkata, beliau sehingga kini tidak percaya bahawa pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana isu larangan laungan azan yang tidak pernah dilakukan.
“Saya masih ingat lagi pada 12 September tahun lalu, saya ditahan di bawah ISA kerana dikatakan bersama beberapa penduduk menghantar petisyen ke masjid itu untuk meminta suara azan diperlahankan.
“Mengingatkan perkara itu, saya sendiri tidak tahu bagaimana tiada siasatan dijalankan sehingga menyebabkan saya ditangkap sedangkan tidak pernah mengetahui lokasi masjid atau menjejakkan kaki ke masjid itu sebelum ditahan,” katanya yang mendakwa semalam genap setahun beliau ditahan dan dibebaskan.
Teresa berkata, lebih mendukacitakan beliau ketika itu adalah selepas dibebaskan, pihaknya diberitahu penahanannya adalah berikutan khabar angin yang disebarkan.
“Memang tidak menafikan ada penduduk yang menghantar petisyen berhubung perkara itu namun ia tiada kena-mengena dengan saya kerana pembantu saya ketika itu telah meletakkan cop pusat khidmat DUN tanpa diketahui saya.
“Namun selepas dibebaskan, saya berterima kasih kepada bekas nazir masjid itu sebelum ini yang bercakap benar dan menyatakan saya tidak pernah terlibat dengan bantahan laungan azan itu,” katanya.
Dalam majlis itu, Teresa memberi sumbangan RM1,000 kepada pengerusi masjid manakala RM500 kepada pengerusi surau untuk membantu menampung perbelanjaan di rumah ibadat pada bulan Ramadan.
sumber, Sinarharian Online
[[ Peruntukan khas Ramadhan sebanyak RM 12 000 untuk surau dan masjid sekitar DUN Kinrara..
RM 1000 x 4 (masjid) = RM 4000
RM 500 x 16 (surau) = RM 8000
Tahniah ADUN Kinrara..satu permulaan yang baik oleh seorang ADUN bukan Islam..mungkin di tahun2 hadapan, boleh digandakan jumlah peruntukan itu mengikut keadaan dan keperluan...satu usaha yg mungkin tidak dilakukan atau 'terlupa' dilakukan oleh ADUN-ADUN yang beragama Islam itu sendiri..hanya mengharapkan peruntukan pusat dan sebagainya...
Apa pun, secara tidak langsungnya mampu 'mengharmonikan' kewujudan kepelbagaian kaum dan agama dlm negara ini, seterusnya mematikan dakwaan2 nakal bahawa DAP khususnya beliau sendiri anti Islam dan sebagainya..
Insyaallah, berbaik sangka dalam masa yang sama berwaspada..itu lebih baik dari selamanya berburuk sangka, perkauman dan hasad..disitulah terdapatnya unsur dakwah yang diajar Islam ketika berhadapan dengan mereka yg bukan Islam...wallahua'lam...]]
0 comments
Post a Comment