http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas Raya?

Posted by Love Perak | Sunday, September 13, 2009 | 0 comments »

Pemimpinan PAS kurang yakin Adun PKR Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah akan melepaskan jawatan sebagai Adun selepas raya nanti sepertimana yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri baru-baru ini.


Yang Dipertua PAS kawasan Klang, Haji Ismail Arsat berkata tiada sebarang tanda-tanda yang kelas Adun PKR Pelabuhan Klang ini akan melepaskan jawatan secara sukarela melainkan ada isu besar membabitkan Adun ini.



“PAS kawasan yang merupakan rakan terbesar gabungan Pakatan Rakyat di kawasan ini tidak nampak sebarang sikap dari Adun ini yang mahu melepaskan jawatan bagi mengadakan pilihan raya kecil,” katanya.



Walaupun beliau mengakui tiada sebarang aktiviti dan program yang nyata dari Adun ini sepanjang hampir dua tahun memegang jawatan namun keselesaaan kuasa dan faktor kewangan menyukarkan Badrul Hisham melepaskan jawatan.



Pelbagai isu dan krisis yang melanda Adun PKR Pelabuhan Klang, Badrul Hisham telah menimbulkan persoalan samada beliau bakal mengosongkan atau tidak kerusi DUN selepas raya ini.



Selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 2 September lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu media bahawa tugas Adun Pelabuhan Klang kini dibantu oleh Adun lain.



Khalid berkata, status Badrul Hisham sebagai Adun akan ditentukan selepas hari raya.



“Kita akan umumkan status Badrul selepas hari raya ini kerana tidak boleh sakitkan hati semasa Ramadan,” kata Khalid.



Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Badrul Hisham telah menewaskan calon Barisan Nasional, Roselinda Abd Jamil dan calon bebas dengan majoriti 4,407 undi. Badrul Hisham dari PKR telah memperoleh 12,397 undi, Roselinda memperoleh 7,990 undi sementara calon bebas, Nasir Mansor 580 undi. Undi rosak pula adalah 485.



Dun Pelabuhan Klang mempunyai 55.2 peratus pengundi Melayu, Cina 27.1 peratus dan India pula 17.4 peratus.



Yang Dipertua PAS kawasan ini juga memberitahu kewibawaan Pakatan Rakyat di kawasan Parlimen Klang ini turut terjejas ekoran pelbagai isu yang melanda Adun Pelabuhan Klang ini.



“Sedikit sebanyak kami menerima tempias dari isu terbabit. Pelbagai aktiviti dan program yang kami anjurkan terutamanya di bulan Ramadan ini adalah lebih kerjasama antara kepimpinan PAS bersama DAP,” katanya.



Haji Ismail memberitahu, pelbagai aktiviti bulan Ramadan telah diadakan bersama Ahli Parlimen dan Exco dari DAP. “Misalnya akviti Ramadan seperti pemberian sagu hati dan derma di Kampung Raja Uda adalah kerjasama erat dari Exco DAP”.



Beliau juga akui masih belum melihat peranan beberapa Adun lain yang bakal membantu aktiviti Dun Pelabuhan Klang.



“Mungkin ia masih baru diumumkan dan akan ada rancangan untuk membantu menggerakkan pelbagai akvititi di Dun ini,” katanya lagi.



Mengenai kemungkinan Adun terbabit lompat parti, Haji Ismail enggan mengulas lebih lanjut.



“Ia terpulang kepada Badrul Hisham sendiri samada mahu menyertai parti lain atau kekal bersama PKR,” tambah beliau.

0 comments