Pemimpin veteran di peringkat bahagian digesa supaya memberi peluang kepada pemimpin muda, memegang jawatan utama seperti setiausaha perhubungan, ketua penerangan atau ahli jawatankuasa bahagian.
Gesaan itu dibuat oleh Pemuda Umno bahagian Padang Terap supaya tiada lagi berlaku tindakan sesetangah pemimpin veteran monopoli jawatan utama di bahagian .sehingga mengakibatkan anak-anak muda beralih kepada Pakatan Rakyat.
"Ruang dan peluang kurang diberikan kepada anak-anak muda untuk memimpin Umno di peringkat bahagian," kat kata Ketua Pemuda Padang Terap, Badrul Hisham Hashim.
"Masih terdapat pemimpin veteran dalam Umno yang monopoli di bahagian menyebabkan anak-anak muda beralih arah kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Walaupun penggal pemilihan Umno telah berlalu, umumnya semua bahagian di Kedah hanya diwakili oleh kira-kira 20 peratus pemimpin muda.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar jumlahnya ditambah menjadi 40 peratus, termasuk dari kalangan pemimpin Wanita dan Puteri Umno.
Badrul juga mencadangkan agar pemimpin muda yang berkelayakan, diberi peluang mengetuai biro-biro yang diwujudkan di peringkat bahagian.
Veteran monopoli jawatan
Ditanya mengenai peluang langsung untuk pemimpin muda memegang jawatan di peringkat bahagian, beliau mengakui peluang dan ruang ada tetapi "terlalu sedikit".
"Saya minta pucuk pimpinan Pemuda dan pimpinan tertinggi melihat perkara ini dengan lebih serius agar pemimpin muda terbabit sama dalam penggubalan dasar parti, dan menjadi penghubung dengan anak muda akar umbi di peringkat bahagian," katanya.
Menurut Badrul, di bahagiannya, hanya 30 peratus atau enam orang pemimpin muda yang mengganggotai kepimpinan di peringkat bahagian.
Ditanya mengapa pemimpin veteran enggan memberi peluang kepada pemimpin muda, Badrul Hisham berkata, ia mungkin disebabkan mereka "sayang kepada jawatan yang dipegang dan tidak yakin dengan Pemuda" untuk memimpin bahagian.
Katanya, pekembangan politik semasa, umumnya anak muda mahukan perubahan yang mahukan pemimpin bahagian dipilih dari kalangan Pemuda.
"Trend anak muda sekarang mahukan perubahan, mereka nakkan orang muda memimpin bahagian. Ada pemimpin yang empat, lima penggal atau 20, 30 tahun masih nak lagi pimpin bahagian.
"Politik sekarang nakkan perubahan, jadi kita kena bertindak dan menangani masalah mengikut peredaran masa," katanya.
'Kena ikut keadaan'
Badrul berpendapat, 50 hingga 60 peratus kemenangan Umno dalam pilihanraya akan datang akan ditentukan oleh faktor calon yang lebih muda dan selebihnya bergantung kepada kekuatan jentera parti.
"Dulu orang tak kisah, letak calon bendera dacing, orang sokong. Sekarang tak boleh. Kena ambil kira latar belakang calon juga. Kena berubah mengikut keadaan," katanya.
Ditanya mengenai halatuju yang dibawanya untuk mengukuhkan Pemuda Padang Terap bagi membantu merampas semula Kedah daripada Pakatan, Badrul berkata, pemuda Umno harus menghayati prinsip perjuangan parti untuk membela bangsa, agama dan negara.
"Kita kena yakin bahawa Umno menjadi wadah untuk berjuang dan meneruskan kesinambungan dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Kita mesti ubah pendekatan kita, dan saya nak pemimpin semua peringkat agar turun ke bawah dan tidak duduk di atas sahaja. Nanti rakyat rasa kecewa.
"Pemimpin Umno bahagian dan cawangan kena ada pendekatan untuk turun ke bawah menyelami perasaan dan kehendak anak muda serta menerangkan perjuangan dan kefahaman tentang Umno," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pucuk pimpinan peringkat bahagian, negeri dan pusat akur bahawa pengundi muda kini amat penting dan oleh itu mereka harus diberi perhatian dan keutamaan.
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment