http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Parti Tindakan Demokratik (DAP) kesal dengan pembohongan Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Abdul Jalil yang mendakwa kononnya DAP memperalatkan orang Melayu.



Shahrizat (gambar kiri) mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas itu kerana beliau sebenarnya takut melihat sambutan orang Melayu terhadap DAP, terutamanya dengan penubuhan cawangan DAP yang dipimpin oleh orang Melayu yang pertama di Selangor.



Ini adalah bukti di mana UMNO semakin bimbang kehilangan sokongan orang Melayu. Baru wujud satu sahaja cawangan DAP yang majoritinya orang Melayu di Selangor, UMNO sudah pun ketakutan.



Cawangan DAP yang mempunyai majoriti orang Melayu itu telah ditubuhkan di Kampung Lembah Kinrara minggu lalu. Menurut pengasasnya, Haron Abdul Wahab, orang Melayu di kawasan itu memilih DAP kerana yakin dengan prinsip parti yang memperjuangkan nasib semua kaum di negara ini. Mereka sedar DAP membantu rakyat tanpa memilih bulu.



Menurut satu laporan akhbar semalam, Shahrizat telah dipetik sebagai berkata bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu tetapi sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan kaum lain.



Shahrizat tidak berkata yang benar kerana dia tahu orang Melayu telah menerima DAP dan sedar DAP tidak anti-Islam dan tidak anti-Melayu, malah berjuang mempertahankan dan melindungi hak semua kaum dan agama.



Orang Melayu sudah sedar bahawa kepimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bukan sahaja menjamin hak-hak orang Melayu dan Islam, malah menggalakkan lagi perkembangan syiar Islam di negeri itu.



Walaupun tidak sampai dua tahun pentadbiran Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang, rakyat di negeri itu khususnya orang Melayu telah pun menerima sumbangan ikhlas dari prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT). Antaranya adalah pengiktirafan tinggi kepada pelajar-pelajar Melayu cemerlang, termasuk untuk para penghafal Quran atau Huffaz, dan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.



Malah kita tidak boleh lupa bagaimana Lim Guan Eng (gambar kanan) menjadi mangsa konspirasi politik sehingga beliau dimasukkan ke penjara semata-mata kerana mempertahankan hak dan maruah seorang gadis Melayu yang menjadi mangsa pencabulan.



Malah di mana sahaja DAP bergiat aktif, orang Melayu dan umat Islam tidak pernah diketepikan, malah sama-sama dibantu dengan kaum-kaum lain yang mengalami kesusahan. Semua usaha ini tidak pernah dihebahkan oleh UMNO dan media arus perdana miliknya yang hanya mahu meneruskan agenda perkauman bagi menjamin kuasa kekal di tangan mereka yang tidak bersih, rasuah dan menyalahgunakan kuasa.



Sepatutnya Shahrizat menghormati hak asasi rakyat Malaysia untuk memilih mana-mana pertubuhan politik dan berhenti dari bermain dengan isu perkauman yang boleh mencetuskan syak wasangka antara rakyat.



Sepatutnya juga, sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau perlu menumpukan kepada portfolionya untuk memastikan golongan yang memerlukan benar-benar mendapat perlindungan.



Sehingga hari ini, Shahrizat telah berdiam diri dengan isu tuduhan kes rogol yang berlaku terhadap gadis Penan di Sarawak, dan isu ancaman rogol oleh samseng-samseng UMNO terhadap Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail sewaktu majlis dialog pemindahan kuil Seksyen19 pada 5 September lalu.



Shahrizat sepatutnya berkhidmat dengan lebih gigih dan jujur untuk membuktikan perlantikannya semula sebagai Menteri adalah tidak sia-sia, setelah beliau sendiri ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum 2008.



DAP sedia menghulurkan salam persahabatan untuk membantu beliau dalam menangani mana-mana isu yang melibatkan kezaliman dan ketidakadilan terhadap wanita, keluarga dan masyarakat. Yang penting, Shahrizat mesti hentikan sikap mengapi-apikan perkauman kerana ia bukan sahaja zalim tetapi boleh menghancurkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.



*Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Senator Tunku Abdul Aziz, Naib Pengerusi DAP.

0 comments