http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Adun Pakatan Perak Sebulat Suara Hadir Sidang DUN

Posted by Love Perak | Saturday, July 10, 2010 | , , | 0 comments »

Nizar berkata Adun Pakatan akan menghadiri persidangan tersebut walaupun tidak menerima sebarang usul atau agenda. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Ahli Dewan Undangan (Adun) Pakatan Rakyat Perak akan tetap menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri itu walaupun notis yang diterima mereka tidak melampirkan sebarang agenda.

Difahamkan notis bertarikh 2 Julai yang dihantar kepada Adun Pakatan Rakyat melalui setiausaha dewan hanya menyebut bahawa mesyuarat kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Perak yang ke-12 akan bermula pada 3 Ogos ini.

Selain itu, notis tersebut meminta supaya wakil rakyat mengemukakan soalan bertulis serta lisan dan diserahkan kepada setiausaha dewan selewat-lewatnya 16 Julai ini.

Menurut Adun Pasir Panjang (PAS) Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Adun Pakatan Rakyat sebulat suara untuk menghadiri persidangan itu walaupun notis yang diterima mereka tidak melampirkan sebarang agenda ataupun usul untuk dibahaskan.

“Dalam mesyuarat malam tadi kita membuat keputusan untuk hadir kerana sebagai wakil rakyat sudah menjadi kewajiban untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Namun apa yang menjadi persoalan adalah dalam notis yang diterima hanya melampirkan tarikh persidangan tanpa sebarang agenda dan usul untuk dibahaskan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata walaupun tiada agenda Adun Pakatan Rakyat akan tetap menyediakan soalan untuk diserahkan kepada Dewan Undangan Negeri seperti biasa.

“Soalan akan dibuat seperti biasa iaitu lima soalan bertulis dan tiga soalan lisan tapi kita harap ketika persidangan nanti mereka (kerajaan negeri) akan jawab soalan-soalan yang dikemukakan nanti.

“Walaupun tidak tahu apa usul yang akan dibentangkan tapi kita akan tetap bersedia untuk menghadapinya,” katanya.

Adun Sungkai (DAP) A. Sivanesan berkata notis 14 hari yang diberikan untuk membuat soalan tidak cukup kerana terlalu singkat.

“Kita tetap akan hadir dan sekarang Adun Pakatan Rakyat sedang sibuk untuk membuat soalan-soalan yang akan diberikan kepada DUN.

“Hendak atau tidak kita tetap kena terima memandang tiada pilihan lain lagi.

“Lagipun kita bertanggungjawab kepada rakyat, jadi kita perlu menjalankan tugas yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata tindakan Dewan Undangan Negeri menghantar notis tanpa agenda seolah-olah tidak mahu Adun Pakatan Rakyat tahu apa-apa.

“Ini kali pertama persidangan yang mahu diadakan tiada agenda, kerajaan negeri perlu malu.

“Bagaimana masa depan negeri akan ditentukan tanpa agenda?” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi The Malaysian Insider Adun Kuala Sepetang (PKR) Tai Sing Ng berkata beliau masih dalam proses untuk membuat soalan-soalan yang akan diserahkan kepada Dewan Undangan Negeri.

“Soalan masih belum siap, masih sedang buat. Adun Pakatan Rakyat akan tetap hadir ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada 3 Ogos depan.

“Soalan-soalan ini akan diajukan ketika persidangan jadi kita harap ia akan dijawab,” katanya.

Pakatan Rakyat Perak mempunyai 27 kerusi daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri. Barisan Nasional pula mempunyai 28 kerusi dan menerima sokongan empat Adun Bebas.

0 comments