Wakil pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor yang gagal mengikut arahan Speaker menerima padah akibat kedegilannya dengan hukuman sehari tidak dapat menyertai mesyuarat penggal ketiga sidang Dun kedua belas yang bermula hari ini hingga 16 Julai.
Ahli Dewan Negeri BN Kuang, Abdul Shukur Idrus terus membuat bising selepas Speaker, Teng Chang Khim tidak membenarkan beliau mengemukakan soalan yang telah ditolak dalam mesyuarat Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan pada 24 Jun 2010.
Dalam sesi soal jawab sekitar dua jam tiga puluh lima minit, kerajaan sempat menjawab enam soalan sahaja yang dikemukakan oleh Haniza Mohamed Talha (Taman Medan), Lau Weng San (Kampung Tunku), Saari Sungib (Hulu Kelang), Lee Kim Sin (Kajang), Datuk Subahan Kamal (Taman Templer) dan Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong) manakala urutan soalan Shukur terletak di nombor 140.
Sebelum itu, dalam jawapan untuk soalan nombor enam mengenai kecurian pasir, dewan telah mendengar penjelasan panjang lebar yang dijawab oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) yang mengatakan bahawa sepanjang dua tahun di bawah kerajaan baharu, pendapatan pasir bertambah kepada RM7 juta pada 2008 berbanding RM4.37 juta (2006) dan RM4.2 juta (2007).
"Kerajaan negeri akan mengeluarkan senarai semua mereka yang mendapat projek pasir ini dengan mengemukakan siapa pemilik dan ahli lembaga pengarahnya kerana kita mendapati ada 80% di kalangan mereka yang langsung tidak pernah mengenal jentera tetapi mendapat projek pasir.
"Isu ini telah berlaku puluhan tahun tetapi tidak diberitakan. Ramai yang terlibat seperti ketua kampung, pegawai kerajaan, pemandu lori termasuk gengster. Setakat ini sebanyak 78 keping tanah telah diambil oleh kerajaan kerana pemiliknya tidak membayar royalti atau membiarkan pasirnya dicuri," tegasnya.
Mengakhiri jawapannya, Tan Sri Khalid menegaskan, tiada lagi era ada orang menjual lesen untuk mencuri pasir dan kerajaan negeri akan senaraikan semua mereka yang terlibat sebelum 2008 supaya semua pihak dapat belajar dari apa yang telah berlaku termasuk sebagai satu pengajran baru kepada BN.
Sebaik selesai sesi menjawab soalan mulut, Speaker terus meminta Exco Pertanian, Dr Yaakob Sapari untuk mengemukakan usul tertentu, Abdul Shukur tidak semena-mena bangun dengan menyebutkan peraturan 35 (1) dan terus menyoal tentang penolakan soalannya.
Speaker berkata, peraturan itu menyatakan; mana-mana ahli hendaklah bangun minta izin jika hendak bercakap, tetapi sebelum menyuarakan apa-apa, seseorang ahli mesti menyatakan di bawah peraturan mana pula untuk bercakap tentang sesuatu isu, berlakulah pertikaman lidah sekitar 10 minit.
Shukur mengubah menggunakan peraturan 34(1) pula namun speaker menyatakan peraturan itu berkisar tentang keinginan ahli dewan ingin menarik balik soalannya, lalu Teng bertanya, adakah wakil pembangkang itu ingin menarik balik soalan.
Dalam asakannya, Shukur menyatakan isu kerugian pendapatan pasir yang hilang dalam jumlah puluhan juta ringgit yang hendak dibincangkan di dalam dewan menerusi soalan beliau itu sangat penting kepada kewangan negeri dan kebajikan rakyat Negeri Selangor seluruhnya.
Speaker di dalam penjelasannya berkata, tidak timbul masalah isu yang hendak dibangkitkannya itu tetapi wakil pembangkang itu tidak tahu untuk menggunakan peraturan dewan bagi membolehkan beliau dibenarkan menyuarakan bantahan itu.
"Jika tahu baru menjadi wakil rakyat, dengarlah speaker hendak bagi tahu. Saya harap yang berhormat boleh berjumpa dengan setiausaha dewan untuk mengetahui peraturan. Sini dewan, bukan kelas untuk mengajar peraturan," tegas Teng lantas menggunakan peraturan 44 yang mengenakan hukuman penggantungan selama satu hari.
Kalangan wartawan dan petugas media bertepuk tangan mendengar keputusan yang dikenakan kepada Shukur, ekoran itu semua wakil BN beramai-ramai keluar dewan.
Di luar dewan, kelihatan beberapa wakil pembangkang bercakap kepada wartawan mengenai soalan yang dibangkit tanpa menyatakan peraturan dewan yang mana hendak digunakan sebagai sandaran kuat untuk berhujah.
0 comments
Post a Comment