Rakyat tidak kira ideologi, agama, bangsa dan budaya mesti bersatu menyatakan bantahan dan menggesa kerajaan menghentikan usaha untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Ini kerana GST sudah pasti akan membebankan rakyat walaupun kerajaan membuat pelbagai janji manis bahawa rakyat tidak akan terbeban dengan GST ini.
Orang Umno, MCA, MIC, PAS, PKR dan apa pasti sekalipun akan terpalit dan sama-sama menanggung beban dan risiko jika GST ini diluluskan di Dewan Rakyat di mana rang undang-undang GST ini telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama.
Memang benar kerajaan BN yang memerintah kita pada hari tidak berhati perut dan tiada belas kasihan kepada rakyat. Pada saat dan ketika rakyat dihimpit dengan kesusahan dan penderitaan akibat kenaikan kos sara hidup tergamak mereka menambahkan lagi penderitaan tersebut.
Semalam rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah
Manakala bacaan kedua dan seterusnya akan dilakukan dalam sidang dewan akan datang, Mac 2010.
Husni berkata kerajaan berhasrat untuk melaksanakan GST pada pertengahan 2011, untuk memberi masa yang mencukupi kepada semua pihak untuk bersedia sebelum dilaksanakan.
Kerajaan bercadang untuk melaksanakan GST pada kadar 4 peratus dan pengecualian diberikan bagi barangan keperluan.
Antara barangan keperluan tersebut termasuklah beras, sayuran, tepung dan gula. Persoalannya adakah rakyat hanya makan beras, sayuran, tepung dan gula sahaja, bagaimana dengan barangan keperluan harian lain, sudah tentu ia akan naik harga. Begitu juga dengan perkhidmatan, sudah tentu caj perkhidmatan tertentu akan naik dan membebankan rakyat.
Saya dengan ini mengharapkan rakyat dapat memberikan beberapa cadangan kepada rakyat Malaysia supaya bangkit membantah cadangan penguatkuasaan akta GST ini, antaranya :-
i) Memberikan feedback kepada seluruh wakil rakyat di kawasan masing-masing bahawa GST ini membebankan dan rakyat menolaknya 100 %
ii) Mengutip tanda tangan membantah pelaksanaan akta ini
iii)Menghantar memo bantahan kepada Perdana Menteri bahawa rakyat tidak bersetuju dengan GST
iv) Menolak BN pada mana-mana pilihanraya akan datang.
Kerajaan sehingga hari ini gagal memberikan alasan konkrit mengapa GST ini hendak dilaksanakan. Tidak cukupkah dengan pelbagai yang sedia ada yang amat membebankan rakyat.
Ramai para pemerhati politik mengandaikan bahawa kerajaan BN sudah kesempitan wang sehingga terpaksa memperkenalkan akta ini untuk 'merompak' duit rakyat secara terhormat dan legal tanpa memikirkan penderitaan rakyat yang kian perit sekarang ini.
0 comments
Post a Comment