http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Dr Asri Perlu Sertai UMNO Untuk Mendapat Perlindungan?

Posted by Love Perak | Wednesday, June 23, 2010 | 1 comments »

Ketika Dr Mohd Asri Zainul Abidin masih berteka-teki berhubung ura-ura penyertaannya dalam parti politik, ada pihak pula melihat tindakan bekas mufti Perlis itu untuk menyertai Umno adalah perlu bagi mendapatkan 'perlindungan' politik.

Difahamkan, selepas penahanan 12 warga asing yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi – aliran yang sentiasa dikaitkan dengan Dr Asri - di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) di Gombak Januari lalu, pilihan untuk menyertai Umno mulai dibincangkan di kalangan pengikut-pengikutnya.

Malahan, menurut sumber-sumber, serangan berterusan daripada ulama yang anti-Wahabi daripada beberapa agensi agama kerajaan menyebabkan kumpulan tersebut terdesak mengambil tindakan drastik itu.

Tambahan lagi, laporan laman Umno Online berhubung 'hasrat' Dr Asri itu yang dibuat seminggu selepas beliau tampil di muktamar PAS di Kota Bharu mengejutkan banyak pihak.

Di sudut yang lain pula, Umno dilihat amat memerlukan penyertaan golongan agama, terutamanya tokoh yang cukup popular seperti Dr Asri bagi memulihkan imej agamanya yang kini 'tercalar', antaranya berikutan kontroversi lesen judi sukan baru-baru ini.

Isu ini disemarakan lagi dengan pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada minggu lalu bahawa seramai 10 warga asing ditahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing sejak awal tahun ini kerana disyaki menjalankan operasi Jemaah Islamiah (JI) -- yang dikaitkan dengan terorisme.

'Lingkaran' Dr Asri, Wahabi, JI

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan di Bukit Aman malam Isnin lalu yang melibatkan pegawai tertingginya diberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi, JI dan beberapa lagi pemimpin politik negara.

Difahamkan juga Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin didakwa memberikan penjelasan itu kepada pegawai yang hadir.

Menurut sumber, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya mufti Perlis Dr Juanda Jaya, mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan).

Bagaimanapun, difahamkan pembentangan Zamihan itu turut mengundang rasa gelisah di kalangan pegawai yang hadir.

"Kami tidak mahu perkara ini bertukar kepada usaha pemburuan (pihak tertentu)," kata sumber yang hadir dalam program penerangan tersebut.

Difahamkan pada majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu, polis cuba menjelaskan ancaman JI terhadap Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Lagi pertemuan Umno-ulama

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan difahamkan Umno, diketuai setiausaha kerjanya Datuk Ab Rauf Yusoh sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Dr Asri petang Isnin lalu di sebuah tempat yang tidak dinamakan di Lembah Klang.

Seorang ulama yang hadir pada pertemuan itu memberitahu, pertemuan dengan Ab Rauf dengan kira-kira 20 ulama itu bertujuan membincangkan mengenai pendirian mereka untuk menyertai Umno.

Bagaimanapun, tambahnya, setakat ini ramai yang masih lagi belum membuat keputusan sama ada untuk memasuki Umno ataupun tidak.

“Dalam perbincangan itu, Dr Asri memerlukan masa bagi berfikir untuk menyertai Umno," katanya.

Sumber berkenaan bagaimanapun menafikan mereka mahu mendapatkan 'perlindungan' dengan menyertai parti Melayu itu agar tidak dikaitkan dengan JI.

"Kalau masuk Umno untuk selamatkan diri, (tetapi) orang yang langgar undang-undang, (pasti) kena juga (tindakan udang-undang)," katanya.

Menurut sumber itu, tindakan mengaitkan Wahabi dengan JI adalah isu yang lama. Justeru, beliau tidak faham kenapa ia ditimbulkan kembali.

1 comments

  1. Anonymous // June 23, 2010 at 12:57 PM  

    Antara mereka2 yang akan mengikuti jejak Dr Asri menganggotai UMNo ialah Datok Sri Shaidan Kassim.

    ha...ha...ha...