http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Isu mengenai dakwaan kudeta terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim oleh sekumpulan ahli parlimen PKR, dijangka menjadi topik panas dalam permukiman parti itu di Shah Alam hujung minggu ini.

Bagaimanapun, naib presiden PKR, R Sivarasa berkata, ia hanya akan dibincangkan dalam kaitannya dengan strategi parti untuk berdepan dengan pilihanraya umum akan datang.


"Seseorang mungkin membangkitkannya dan kita harus menyelesaikannya, tetapi ia perlu dalam rangka bagaimana kita akan memenangi pilihan raya akan datang," katanya.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya (kanan) pula berkata, salah satu daripada dua perkara dalam agenda permukiman tersebut ialah mengenai pentadbiran Selangor, dengan fokus khas untuk mencari jalan bagi parti menyalurkan lebih banyak input dalam dasar-dasar kerajaan negeri.

Katanya, kemungkinan hasil daripada permukiman tersebut - di mana lima kertas kerja akan dibentangkan - ialah penubuhan jawatankuasa yang akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada exco kerajaan negeri dalam membuat keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri.

Ini serupa dengan amalan di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS di Kelantan dan Kedah, di mana ahli exco negeri dipengaruhi oleh halatuju parti tersebut.

"PAS telah mentadbir Kelantan selama 20 tahun, sistem mereka sangat berkesan, dan kita harus belajar daripadanya," kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Sumber-sumber lain parti itu pula membayangkan bahawa pihak parti akan mendesak senarai baru ahli exco negeri, bagi membuka ruang kepada ahli PKR memainkan peranan dalam kerajaan negeri.

Satu lagi tuntutan yang dijangka dibuat di permukaan tersebut ialah mengenai sumber untuk membantu wakil rakyatnya di Selangor.

"Seseorang wakil rakyat hanya boleh membei khidmat di kawasan pilihan rayanya sekiranya ada sistem sokongan yang berkesan, dan ini adalah tangungjawab kerajaan negeri, dan harus dilihat sebagai satu agenda nasional," kata Yusmadi.


Beliau menambah, langkah memisahkan negeri dan parti adalah pendekatan yang cacat kerana kedua-duanya harus saling berkaitan dan harus kuat dalam menguruskan masyarakat.

Selain itu, kata ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne (kiri), parti itu juga memacu ke arah memainkan peranan lebih aktif dalam halatuju kerajaan negeri melalui penglibatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sejak dua tahun terakhir, ADUN, ahli parlimen PKR dan ahli parti menunggu untuk memberikan sumbangan tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pihak negeri tidak mahu menggunakan (khidmat) kami.

"(Tapi) pengarah GLC tidak dibayar, dan diberikan elaun berdasarkan prestasi, jadi saya dapati sukar untuk melihat bagaimana seseorang itu boleh dianggap korup di sini," katanya.

Sementara itu, perkembangan terbaru tersebut mungkin memaksa Khalid menerima desakan pengkritiknya.

Ini menimbulkan persoalan mengenai model perkongsian kuasa dalam kerajaan Selangor - satu kerjasama antara PKR dan DAP - yang mempunyai hampir sama banyak wakil rakyat dalam kerajaan negeri.

Manakala naib presiden PKR, Azmin Ali menafikan beliau menjadi ketua kudeta kumpulan 15 ahli parlimen tersebut, para pemerhati melihatnya sebagai tanda semakin buruknya hubungan beliau dengan Khalid, yang turut menjejaskan imej parti.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin terasa bahang daripada dakwaan berlakunya pergeseran dalaman parti, dengan para pemerhati menganggapnya sebagai satu kecacatan dalam kepimpinannya.

Bagaimanapun, bertentangan dengan pendapat umum, Yusmadi menegaskan bahawa parti itu "tidak berpecah", tetapi hanya berdepan dengan "isu pengurusan".

Menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk mengharapkan sebuah organisasi baru (seperti PKR) tidak mempunyai masalah seperti itu.

'Mesej saya kepada masyarakat ialah supaya bersama kami dan terus menyokong kami kerana masalah ini boleh diatasi," katanya. Berita asal

Sent from my iPad

0 comments

There was an error in this gadget