http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

DARI PEJABAT PENASIHAT EKONOMI SELANGOR

Posted by Love Perak | Tuesday, August 10, 2010 | | 0 comments »

“SEMINAR PERSPEKTIF MUDA”:

MENGANGKAT PERSPEKTIF MUDA KE ARUS PERDANA


Jumlah penduduk Malaysia di dalam kategori umur 15 hingga 39 tahun adalah seramai 11.65 juta dan pada peratusan 40.5% daripada keseluruhan penduduk, merupakan kumpulan terbesar di negara ini. Mereka sering dirujuk sebagai golongan belia/muda dan semestinya perspektif mereka mengenai isu-isu nasional akan mempunyai kesan yang mendalam kepada halatuju negara.

Oleh sebab itu, golongan muda mempunyai hak yang besar dalam menentukan perkembangan isu-isu yang mempengaruhi pembinaan bangsa dan negara.

Mereka juga adalah golongan yang paling terkesan dengan kelembapan ekonomi negara. Contohnya, perubahan harga rumah atau kenaikan harga bahan api dan barangan asas baru-baru ini meninggalkan kesan yang lebih besar kepada golongan ini kerana mereka membentuk golongan buruh dan pekerja bawahan yang terbesar di dalam masyarakat ini.

Pandangan mereka mengenai isu urus tadbir, kecekapan pentadbiran awam dan perpaduan nasional akan mencorakkan bentuk negara Malaysia di dekad akan datang.

Maka, pandangan golongan belia/muda perlu dipupuk, didengar dan diambil kira secara berterusan dan jujur dengan mengangkatnya ke arus perdana.

Menghayati semangat ini, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor akan menganjurkan Seminar Perspektif Muda pada 14 Ogos 2010 ini, sebagai sebahagian dari usaha berterusan kerajaan Selangor menambahbaik dasar dan pelaksanaannya dengan mengambil kira suara orang muda.

Seminar ini dijangka akan mengumpulkan lebih 200 professional muda dan aktivis dari pelbagai latar belakang yang akan berpeluang untuk mengenengahkan pandangan, cadangan dan kritikan mereka terhadap pelbagai isu. Mereka juga akan turut disertai oleh wakil rakyat muda yang berada di dalam lingkungan umur mereka yang diberi amanah untuk berbincang dan memahami pandangan-pandangan ini; yang seterusnya akan diangkat dan dijaguhi oleh wakil-wakil rakyat muda di arus perdana serta di bawa ke perhatian YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Peserta seminar akan dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan akan memberikan fokus kepada bidang yang khusus iaitu ekonomi, pendidikan dan pendemokrasian pentadbiran. Pada setiap sesi, peserta akan diberi peluang untuk bertukar kumpulan supaya pandangan yang luas dari semua peserta dapat digarabkan bersama.

Seminar ini akan dirasmikan oleh YB Elizabeth Wong, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Beliau merupakan seorang bekas perenang kebangsaan dan aktivis sosial/hak asasi manusia yang terkenal sebelum menceburkan diri di dalam politik.

Sepanjang seminar ini, peserta akan berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan wakil-wakil rakyat dari Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri secara bersantai.

Seminar Perspektif Muda akan ditutup secara rasmi dengan ucaptama dan dialog bersama-sama YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor.

Kami menjemput rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menyertai seminar ini bagi memastikan pandangan-pandangan yang bakal diangkat mewakili pandangan terbanyak rakyat Malaysia.

Pendaftaran masih lagi dibuka dan mereka yang berminat diminta mendaftar di laman web beralamat http://bit.ly/osea14.


PEJABAT PENASIHAT EKONOMI SELANGOR
10 Ogos 2010

0 comments