Pelabur risau datang kerana rasuah
KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS memandang serius apabila Tan Sri Azman Hashim menyebut kos tinggi rasuah adalah penyumbang kepada sebab pelabur risau datang ke negara ini.
“Jika selama ini pihak pemimpin Umno BN hanya menganggap adalah fitnah pembangkang semata-mata, sekarang kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang peniaga yang terkenal di negara ini adalah bukti mengapa keadaan ekonomi negara kita dipandang serong oleh pelabur,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Justeru, katanya PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah berusaha untuk menunjukkan prestasi yang baik dengan memerangi rasuah dan salah urus tadbir di negara ini.
“Maka tidak hairan kepada kita pelabur begitu yakin untuk datang walaupun berlainan ideologi dengan kerajaan Pusat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Pelabur, katanya tidak kira apa pegangan ideologi kepada sebuah kerajaan, asalkan iklim pelaburan yang aman daripada rasuah.
Menurutnya, masalah rasuah jika tidak diatasi segera ia akan menjadi barah kepada ekonomi negara ini.
Maka sebab itulah, katanya rakyat mesti memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah peringkat Pusat, berdasarkan pencapaian cemerlang dan berjaya meyakinkan pelabur kerana tidak ada rasuah dan tumbuk rusuk.
Beliau menambah, PAS juga bersetuju dengan kenyataan Azman supaya menghentikan mempolitik bangsa dan agama kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan pelabur.
Azman selaku Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana pada Forum CEO yang dianjurkan oleh yayasan itu menarik minat 400 peserta dari industri berkenaan.
Selain mempolitikkan bangsa dan agama, Azman berkata cabaran kritikal terhadap Wawasan 2020 adalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah akibat “polisi yang kerap-kali ditukar” dan “kos tinggi rasuah”.
Idris berkata, PAS sebagai sebuah parti yang mendahulukan keamanan dan kedamaian mengesa semua pihak untuk mengambil nasihat yang dikemukakan oleh tokoh veteran bank di negara ini supaya negara ini berada di atas landasan yang baik.
“Usahlah bermain dengan politik perkauman, yang dianggap tidak sesuai lagi,” katanya.
PAS, tegasnya tetap memperjuangkan konsep yang universal seperti yang diajar oleh ajaran Islam tanpa perlu adanya diskriminasi dengan membantu mereka yang wajib dibantu walaupun berlainan bangsa, ideologi dan agama.
“Inilah politik keharmonian yang dipraktikkan oleh PAS,” ujarnya lagi.
Begitu juga, tambahnya dengan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang berpunca daripada dasar yang berubah-ubah dan kegagalan kerajaan BN yang mengatur dengan baik.
Menurutnya, apabila dasar yang dibuat lebih kepada untuk memenuhi tembolok kroni akhirnya wang rakyat hangus hampir RM5 bilion apabila pelaksanaan mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris gagal.
“Inilah akibat hanya mendengar pemimpin Umno yang zero IQ dari segi pendidikan tanpa mengambil kiran bantahan daripada tokoh pendidikan di negara ini,” ujarnya.
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment