http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Betapa Takutnya UMNO Kepada Anwar Ibrahim

Posted by Love Perak | Thursday, November 12, 2009 | 0 comments »

BELUM apa-apa Umno nampaknya sudah kelam kabut dan beberapa soldadunya terpaksa melepaskan peluru sebelum pihak Anwar Ibrahim dan PKR memulakan perang. Baru saja terdengar PKR menyusun rancangan untuk menyerang Perdana Menteri, soldadu kelas tiga Umno sudah pun membedil. Kenapa begitu sekali? PKR belum pun lagi memulakan hanya baru berbincang mengatur strategi dalam mesyuarat. Entahkan betul ataupun tidak strategi itu.

Bila Umno bertindak sebelum wisel dibunyikan menampakkan Umno dalam keresahan dan kegelabahan. Keresahan ini menjukkan kurang cerdiknya parti berkenaan dan sekaligus menggembarkan betapa berbisanya Anwar Ibrahim. Biasanya pihak yang merasakan dirinya kuat tidak mudah panik.

Tindakan beberapa orang pemimpin parti itu yang mengecam Anwar bolehlah dianggap bedilan dari soldadu kelas tiga menggunakan peluru getah. Antara mereka yang sudah mengecam Anwar ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan, Noh Omar dan ketua puteri Umno, Rosnah Rashid Shirin.

Kata Mat Hassan, langkah PKR hendak serang Perdana Menteri itu menunjukkan parti itu sudah berpecah dan hilang tumpuan. Tindakan itu juga menurut Mat Hassan kerana Anwar ingin mengalihkan perhatian terhadap isu pendakwaanya di mahkamah.

Manakala Noh Omar pula Anwar terpaksa berbuat begitu kerana sudah merasai dengan dengan perubahan dibawa Najib. Kata Noh, rakyat sudah menerima kepimpinan Najib dan rakyat sudah mengenali Anwar Ibrahim?

Benarkah apa yang digambarkan kedua soldadu kelas tiga ini? Bahawa pentadbiran Najib diterima rakyat? Najib dapat memulihkan keadaan ekonomi negara dan dasar dan polisi Najib diterima rakyat?

Kalau apa yang mereka katakan itu benar kenapa harus rungsing dengan strategi yang diaturkan itu? Rakyat tidak akan termakan dengan apa yang akan dilambungkan oleh Anwar terhadap Najib. Kalau rakyat sudah memerut dengan Najib, Anwar bilang apa pun rakyat tidak akan peduli.

Bimbangnya, apa yang Mat Hassan dan Noh Omar katakan itu hanya bayangan dan ilusi mereka saja. Ia tidak lebih daripada satu perasmian acara untuk membodek pemimpin atasan di mana di sebaliknya membawa niat tertentu. Mereka perlu mengatakan yang indah-indah kepada bos mereka untuk selamatkan diri. Umum orang tahu apa yang berlaku di sekitar Noh Omar dan Mat Hassan waktu ini.

Kedua pemimpin ini sedang diperhati oleh Najib. Indeks KPI mereka sedang dinilai. Jadi mungkin kerana nilai indeks mereka rendah maka ia perlu ditambah dengan acara bodek dan pujipuja kepada Najib?

Rakyat kini sudah cerdik dan bijaksana membuat penilaian. Baik terhadap apa yang akan Anwar dedahkan ataupun melihat apa yang Najib lakukan. Keduanya sedang diadili oleh rakyat dengan penuh prihatin. Rakyat juga bukan jenis soldadu kelas tiga. Mereka akan tetap memilih intan dari kaca.

Misalnya dakwaan Najib kini berjaya memulihkan keadaan ekonomi negara. Ia bukan saja boleh diucap tetapi rakyat mahu melihat realitinya. Mungkin Noh tidak perasaan hari ini boleh dikatakan setiap hari ada perniagaan ditutup? Kalau ekonomi pulih perniagaan tidak akan ditutup. Ukuran rakyat tersangatlah mudah.

Rakyat pula diberikan subsidi beras RM30 dibawah skim Raskin - beras untuk orang miskin. Apakah erti skim itu kalau bukan kerana negara ini berada di tahap membimbangkan? Seumur hidup belum ada skim sebegini tetapi ia diwujudkan di zaman Najib. Apakah ini melambangkan negara maju ataupun negara susah.

Begitu juga dengan ketelusan dan intergriti Najib sebagai seorang pemimpin. Iltizam dan slogan 1 Malaysia yang diuar-uarkan Najib bukan saja didengar dan diterima rakyat, tetapi ianya dinilai rakyat dari semua sudut. Rakyat mengcongak apakah slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan itu dipraktikan ataupun hanya retorik semata-mata. Bukan itu saja natijah kepada slogan itu juga sedang dikaji apakah ia menguntungkan nasib bangsa dan negara.

Diluar mungkin indah dan menarik slogan berkenaan. Tetapi dari dalam, di kalangan nasionalis, ahli akademik dan pejuang bangsa merasakan amat pahit untuk menghayati slogan itu apa lagi menelannya. Slogan ini sedang memakan diri Umno dan Najib. Ia umpama racun yang membunuh konsep awal dijana Umno.

Yang nyatanya dalam konteks ini slogan Najib itu masih boleh dipertikaikan. Masih ada sudut-sudut yang jelas, Najib belum merealisasikan. Beliau lebih mendahulukan Umno daripada rakyat. Maknanya masih ada diskriminasi yang diwarisi oleh Najib dari dasar aparteid Umno.

Apa yang berlaku di Kelantan dengan wang royalti minyak yang ditukarkan kepada wang ehsan, menampakkan akan kecanggungan dan kemungkaran ini slogan Najib.

Di sini bukan persoalan royalti ditukar kepada wang ehsan, tetapi apakah wang itu kelak terjamin akan sampai dan dinikmati rakyat Kelantan seluruhnya? Seperkara lagi, sekiranya Najib telus sepatutnya beliau bukan saja memberi wang ehsan kepada rakyat Kelantan tetapi menyerahkan kepada kerajaan untuk menguruskannya. Inilah baru tepat slogan rakyat didahulukan.

Najib sering kali mengkhabarkan dia terbuka dan akan berlaku adil. Tetapi dalam isu royalti minyak Kelantan ini nampak beliau tidak dapat melaksanakan keadilan seperti mana diharapkan.

Mungkin orang akan melihat cara Najib melayan Pas berbeza berbanding dengan perdana menteri lain sekiranya beliau tidak kedekut dengan menyerahkan semua wang ehsan (royalti) itu kepada kerajaan Kelantan. Kalau Najib tidak bersedia berbuat begitu bermakna beliau juga dua kali lima saja dengan bekas PM terdahulu.

Tetapi apakah Najib rela dan ikhlas berbuat demikian? Inilah yang sedang diperhati dan dinilai oleh rakyat.

Sekiranya serangan peribadi yang hendak dimulakan Anwar seperti mana didakwa itu, Umno tidak dapat mempertahankan Najib. Sebab jelas dan nyata Najib tidak berbuat seperti mana yang dikatakan. Khusus bagi rakyat Kelantan pula akan melihat apakah Najib ikhlas dengan mengunakan wang royalti minyak itu untuk rakyat atau untuk Umno.
Perilaku Najib terhadap ini merupakan ujian pertama buatnya setidak-tidaknya oleh rakyat di Kelantan. Lulus atau gagal slogan Najib itu juga terjawab di sini. [wm.kl. 7: 30 12/11/09]

Mohd Sayuti Omar

0 comments