http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Hanya Anwar Ibrahim Layak Jadi PM - ZAID

Posted by Love Perak | Tuesday, November 17, 2009 | 0 comments »

“Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti.”

Demikian jelas Datuk Zaid Ibrahim (gambar) sambil meminta para penyokong dan peminat Anwar agar tidak bimbang dengan pandangannya baru-baru ini bahawa Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat wajar diberi peluang mengetuai PR apabila didaftarkan secara rasmi kelak.

“Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang.

“Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan. “Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham,” tulis Zaid dalam blognya hari ini.

PR dijadual mengadakan konvensyen khas 19 Disember ini.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini menambah, premis utama syornya ialah “kita perlu kepada seorang spiritual leader sama saperti Mahatma Gandhi sewaktu zaman India memperjuangkan kemerdekaan dahulu.”

Beliau kini bercuti selama enam bulan daripada Biro Politik PKR.

“Kita tahu pemimpin seperti itu diperlukan untuk menerajui gerakan Pakatan. Pemimpin politik biasa, walau bagaimana hebat dan handal sekali pun, tidak akan cukup kuat untuk melawan gergasi Barisan Nasional.

“Yang saya maksudkan sebagai pemimpin spiritual ini adalah seorang pemimpin yang tidak ada cita-cita nak jadi Perdana Menteri atau apa-apa jawatan besar,” kata beliau sambil menambah, personaliti yang sesuai dilihat ialah Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Jadi bila saya toleh kiri dan kanan dan saya lihat hanya Tok Guru Nik Aziz ada kelayakan tersebut.

“Beliau diterima oleh semua kaum dan agama. Maka saya terus mencadangkannya kerana saya berpendapat hanya apabila kita letak pertarungan Pakatan melawan BN atas perjuangan spiritual melawan kuasa yang rakus dan rasuah, barulah rakyat akan bersemangat dan bangkit bersuara untuk memihak kepada kita,” katanya.

Jelas Zaid, soal jawatan Perdana Menteri terserah kepada wakil-wakil rakyat PR apabila mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Justeru, katanya, ia akan menjadi perkara mudah kerana Nik Aziz pun tahu dan bersedia menerima orang lain yang lebih sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.

“Cadangan saya ini juga sama seperti dengan kedudukan Pengerusi Parti Buruh atau Konservatif di United Kingdom yang tidak pernah pun menjadi Perdana Menteri. Tugas mereka adalah menjaga perpaduan dan kekukuhan parti.

“Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti. Jadi penyokong dan peminat Anwar Ibrahim tak usahlah bimbang,” katanya lagi.

0 comments