Oleh Idris Samad
KETIKA semua media massa arus perdana ‘menembak’ Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu-isu yang mengambarkan kononnya berlaku rasuah dan amalan nepostime, timbul pula cadangan supaya Mursyidul Am Pas dilantik mengetuai Pakatan Rakyat.
Cadangan datangnya dari bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim disambut baik oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali.
Serentak dengan itu, orang-orang Umno jadi mengelabah tidak tentu arah! Pergerakan Pemuda Umno Negeri Kelantan yang diketuai Anuar Safian mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbuat sesuatu kepada Menteri Besar Kelantan dan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman kononnya ada berlaku rasuah.
Pergerakan Pemuda Umno Kelantan tidak nampak apa-apa isu mengenai PKFZ dan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan tidak pernah risau dengan isu wang ihsan menggantikan royalti dari kerajaan Pusat kepada rakyat Kelantan.
Pelbagai usaha sebenarnya dibuat, sejak berpuluh tahun dahulu untuk membunuh karektor TG Nik Abdul Aziz namun ia gagal.
Malahan, semenjak TG Nik Aziz menjadi MB Kelantan, Umno sudah banyak kali bertukar ketua di peringkat negeri. Antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Mustapa Mohamed dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Namun, hebat-hebat mereka ini, baik Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh, Mustapa dan Annuar, akhirnya satu demi satu menuju ke zaman politik yang gerhana.
Malahan, suatu ketika apabila Mustapa menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden ketika mengetuai Umno Kelantan, perwakilan Umno mengejeknya dengan kata-kata, “Nak jadi Naib Presiden macam mana, Kelantan pun tak boleh selesai!”
Begitu juga, setahun yang lalu, ketika Annuar menawarkan diri untuk bertanding kerusi Naib Presiden, bukan sahaja tidak mendapat sokongan dari bahagian-bahagian di seluruh negara, malahan dari Kelantan sendiri, mereka nyata tidak menyokong hasrat Annuar itu.
Dr. Mahathir sudah menjadi ‘Quran buruk’ dalam Umno. Tegurannya sudah dianggap sebagai ‘mengacau dan merosakkan’.
Tengku Razaleigh sudah menuju zaman gerhana kerana hasratnya untuk bertanding kerusi Presiden Umno hanya menjadi bahan gurauan sahaja hinggakan tiada satu pun bahagian kecuali Gua Musang yang sanggup mencalonkannya.
Nampaknya, ketika tiada pemimpin Umno Kelantan yang boleh diangkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam Umno, masing-masing terkejut dengan cadangan Zaid Ibrahim yang mahu melihat Pakatan Rakyat yang jika diluluskan pendaftarannya – gabungan antara Pas, KKR dan DAP – diterajui TG Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Di kalangan orang-orang Umno, di peringkat pertengahan dan bawahan, memang mengkagumi TG Nik Abdul Aziz. Mereka bukan tidak membaca media massa arus perdana tetapi mereka enggan mempercayainya.
Inilah yang merisaukan kepimpinan Umno. Ketika pucuk pimpinan mereka menyerang TG Nik Aziz, pengikut-pengikutnya di bawah, tidak tergamak berbuat demikian. Malahan, seorang Naib Ketua Umno bahagian dari Johor membisikkan ke telinga penulis dengan kata-kata…kenapa isu TG Nik Aziz mahu ke Makkah dijadikan isu besar dengan campur tangan SPRM sedangkan rakyat mahu mengetahui perkembangan PKFZ dan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara.
“Yang mana keutamaan SPRM sebenarnya,” tanya Naib Ketua Umno bahagian ini resah.
Bagi pemimpin Umno, mereka merasakan mustahil Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dapat memberi laluan mudah kepada TG Nik Abdul Aziz.
Namun, jika ia berlaku, Umno dan kepimpinan BN sudah dapat merasakan jangka hayat Umno dan BN sudah sampai ke penghujung jalan.
Ketika masing-masing (pemimpin Umno) mengharapkan cadangan Zaid Ibrahim ini tidak berlaku, namun masing-masing kerisauan yang amat sangat. Mereka semuanya tahu bahawa TG Nik Abdul Aziz adalah ikon yang mempunyai ramai peminat dan pengikut.
Malahan, foto dan potret TG Nik Aziz sudah menjadi objek penting di mana-mana sahaja, sama ada sebagai pelekat kereta, lencana di dada dan gambar di dinding – yang tidak keterlaluan jika dikatakan mengatasi sempadan negeri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri seperti tidak yakin ketiga-tiga parti pembangkang Pas, PKR dan DAP boleh bergabung dan bersetuju menggunakan satu lambang dengan matlamat perjuangan politik yang satu.
Namun, jika ia berlaku bukan kerana peranan Dr. Mahathir sebaliknya disebabkan tahap pengorbanan antara satu parti dengan satu parti yang lain dalam Pakatan Pembangkang cukup tinggi.
Ini semua kerana sikap Dr. Mahathir yang terlalu keras ketika menjadi Perdana Menteri menyebabkan parti-parti pembangkang yang suatu ketika dahulu pernah terikat dengan Angkatan Perpaduan Ummah – pernah wujud kerana menentang kepimpinannya.
Walaupun ia tidak berjaya, tetapi selepas tsunami politik Umno 1998, Umno benar-benar tergugat dengan lahirnya PKR (KeADILan) di bawah pimpinan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.
0 comments
Post a Comment