http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

DAP Sudah Bersuara Menentang. UMNO Bila Lagi?

Posted by Love Perak | Friday, September 10, 2010 | 0 comments »

DAP mengutuk rancangan sebuah gereja di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang mahu membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan memperingati peristiwa 11 September ketika bantahan meningkat terhadap rancangan komuniti Islam New York membina masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Komponen Pakatan Rakyat itu berpendapat tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan lebih banyak kebencian dan keganasan di kalangan orang yang berbeza kepercayaannya, bukan sahaja di AS, malah di negara-negara lain.

Ulang tahun memperingati insiden itu jatuh selang sehari umat Islam menyambut Aidilfitri esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu menentang apa jua bentuk permusuhan, jenayah, perkauman dan tindakan melampau agama sama ada ia dilakukan di tanah air sendiri mahupun antarabangsa.

“Kami memilih untuk berdialog, rundingan dan debat daripada keganasan dan pelampau.

“Justeru, kami menyeru semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama untuk mengutuk tindakan gila lagi merbahaya untuk mencemarkan naskhah kitab suci al-Quran,” kata beliau.

Laporan-laporan dari Florida menyebut Pastor Terry Jones bertegas untuk membakar al-Quran di Dove Outreach Center, Gainesville lusa, meskipun menerima tekanan daripada White House, pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat agar tidak berbuat demikian.

Setiausaha Negara Amerika Senator Hillary Clinton juga menggesa Jones agar membatalkan rancangannya itu.

Jones sambil mendakwa beliau menerima galakan daripada banyak pihak berkata beliau menerima sejumlah naskhah al-Quran menerusi pos.

Pada Julai lalu beliau berkata akan mengadakan Hari Membakar Al-Quran Sedunia bagi memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September.

Jones, 58, juga setakat ini telah menerima lebih 100 ugutan bunuh.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah, pihak berkuasa Amerika seharusnya mencegah cadangan untuk membakar kitab suci berkenaan daripada berlaku agar tidak membangkitkan sentimen di kalangan umat Islam terutama ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri.

“Paderi Terry Jones mendakwa bahawa beliau mahu menghantar mesej kepada pihak radikal Islam bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan pelakuan mereka.

“Namun begitu, beliau tersilap cara,” kata Lim.

Katanya, rancangan tidak masuk akal itu bukan sahaja akan mencetuskan kekmarahan umat Islam di seluruh dunia, malah turut menjarakkan hubungan dengan umat Islam biasa selain turut merosakkan imej agama Kristian yang mengajar pengikutnya tentang keamanan dan sikap menghormati semua kepercayaan.

Lim yang baru-baru ini menjadi sasaran serangan berhubung isu khutbah di Pulau Pinang berkata, keganasan sama ada dilakukan oleh puak fanatik keagamaan atau ditaja oleh pihak tertentu, harus dikutuk.

“... ilham untuk membakar al-Quran, kitab suci yang menjadi rujukan berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia, adalah melampau dan tidak dapat diterima,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini.

Justeru kata beliau, DAP merasakan jalan terbaik untuk memperingati ulang tahun serangan 11 September ialah “dengan menawarkan perpaduan kepada semua yang menerima kesan atas serangan berkenaan dan berdoa untuk mereka” sambil memastikan ia tidak berulang lagi.”

“Saya yakin masyarakat Kristian di samping rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan di negara ini akan mengenang mereka yang terkorban semasa tragedi 11 September dengan banyakkan berdoa agar perpaduan dan keazaman bersama ke arah keamanan, keadilan dan hormat-menghormati dalam masyarakat yang berkongsi banyak perkara.

“Kita juga harus mengukuhkan keazaman untuk membanteras pengganas dan aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama keagamaan,” kata beliau.

Lim menambah, kepada masyarakat Islam di Malaysia dan di mana jua anda berada, DAP menawarkan persahabatan yang ikhlas lagi sejati dan bersatu padu menentang apa jua bentuk serangan atas kepercayaan yang luhur.

“Semoga bulan-bulan suci iaitu Ramadan dan Syawal akan membawa bersama keamanan, kegembiraan serta rasa mencintai di kalangan kita semua,” katanya.

Dengan rancangan mahu membakar al-Quran, sambutan Aidilfitri di Amerika kali ini agar tegang dengan bantahan terhadap pelan masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu.

Presiden Barack Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya.

Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.

Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta.

Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.

Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat. 

0 comments