http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

PRK Galas : Apa Pendirian Tengku Razaleigh?

Posted by Love Perak | Wednesday, September 29, 2010 | 0 comments »

Oleh : Mohd Sayuti Omar

PEMERGIAN Che Hashim Sulaima semalam tidak dapat tidak ada hikmah dan rahmat di sebaliknya. Disebalik Tuhan menyanyangi Allahyarham, mungkin Ianya juga ingin memuliakan hamba-Nya yang lain. Kerja Tuhan tidak dapat diteka dan ditebak oleh sesiapa. Penuh rahsia bagi yang buta tetapi terang ternyata bagi yang makrifat dengan-Nya.

Dalam konteks pilihan raya dan demokrasi, pilihan raya kecil di kerusi berkenaan tidak dapat dielakkan. Apabila pilihan raya kecil diadakan di Dun Galas sedikit sebanyak ia akan meletakkan semula Tengku Razaleigh Hamzah di atas takhta politik. Tentu nama Tengku Razaleigh akan menjadi penting dan diingat dengan tiba-tiba sebaik saja SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Ini kerana Gua Musang dikenali sebagai kubu kuatnya. Adun Galas adalah satu daripada tiga Adun yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang yang dikuasai Tengku Razalegih Hamzah sejak 36 tahun lalu. Dalam hierarki Umno pula beliau masih ketua bahagian Umno Gua Musang.

Pengaruh Tengku Razaleigh sudah berakar umbi di situ. Tengku Razaleigh menguasai parlimen berkenaan sejak tahun 1974 dengan menenanginya tanpa bertanding. Malahan di Kelantan beliau adalah satu-satu ahli parlimen yang paling lama.

Sebagai orang berpengaruh dan berakar umbi di situ sudah tentu pengundi di Galas masih setia kepada beliau. Mulutnya masih masin di Galas dari kalangan penduduknya terutamanya ahli Umno. Orang Asli sudah pasti menjadi penyokong utamanya. Selamanya mereka berajakan kepadanya.

Apakah Tengku Razaleigh yang sebelum ini sudah dilupakan dan dibiarkan Umno dan BN akan didatangi kembali? Beliau akan diingatkan semula dan tenaga dan baktinya diperlukan oleh Umno untuk merampas kerusi Galas itu?

Jika Umno tidak ada maruah mereka akan mendekati Tengku Razaleigh. Akan memujuk dan merayu Tengku Razaleigh agar berkempen untuknya. Tetapi apakah Tengku Razaleigh bersedia berpatah balik, membantu Umno yang sudah melupainya? Mungkin itu akan diperhitungkan semula oleh Tengku Razaleigh. Sekiranya beliau ingat apa yang Umno lakukan kepadanya tidak mudah untuk Tengku Razaleigh mencemar duli bagi membantu Umno dan BN.

Tengku Razaleigh sudah lama dipermainkan oleh Umno. Baik di zaman Mahathir Mohamad menjadi presiden terbawa kepada Abdullah Badawi jadi presiden hingga ke Najib Razak menjadi presiden. Tengku Razaleigh tidak diberi peranan penting sesuai dengan pengaruh dan kebolehannya. Beliau dilupakan dan dianggap sebagai Quran buruk dalam Umno.

Kalau Tengku Razaleigh mengenangkan segala perbuatan Umno itu beliau tidak akan bersedia untuk membantu Umno. Pun begitu sukar untuk diramalkan. Tengku Razaleigh terkenal sebagai seorang pemimpin yang berakhlak dan begitu menghormati kepada perjuangan Umno. Beliau membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno kerana beliau sayang kepada Umno. Malangnya pengorbanan itu tidak dinilai sewajarnya oleh Umno. Akhirnya beliau jadi ulat bulu saja dalam Umno.

Apakah bagi memastikan Tengku Razaleigh membantu BN dalam pilihan raya itu nanti tiba-tiba Tengku Razaleigh akan diberi peranan besar. Ataupun Umno akan memberi boat penyelamat buatnya bagi memulihkan cita-cita politiknya? Rasanya sangat mustahil.

Tetapi kalau beliau merasakan sudah cukup dia memperhambakan diri kepada Umno sedangkan pengorbanan itu tidak dibalas setimpal, Tengku Razaleigh akan mengambil sikap mendiamkan diri kalau pun tidak berhasrat untuk mengajar Umno pada pilihan raya berkenaan.

Namun melihat kepada hati budi dan kelembutan hati seorang anak raja ini, tidak mungkin beliau hanya akan menjadi pemerhati saja di pilihan raya itu, apa lagi akan bersama Pas. Beliau akan turun juga berkempen untuk Umno. Dan kalau itu terjadi peluang Umno memenanginya cerah tetapi Tengku Razaleigh sendiri pula akan menjadi ular air kehabisan lumpur untuk melindungi warna politiknya kalau beliau sedia membantu Umno.

Dari sisi lain kalau Tengku Razaleigh sedia melupai perbuatan Umno kepadanya apakah beliau sedia untuk menafi balik kata-kata dan pendiriannya berhubung dengan royalti minyak? Sebelum ini Tengku Razaleigh dilihat senada dengan rakyat Kelantan dalam menuntut royalti minyak yang dinafikan oleh Umno. Beliau pernah duduk bersama pemimpin kerajaan Kelantan atas pentas dalam memperjuangkan itu.

Sudah pasti tape ucapan dan video majlis beliau ketika menyatakan pendirian berhubung royalti minyak itu akan ditayang di semua pos pilihan raya kecil Galas nanti. Apakah Tengku Razaleigh sendiri menafikan semula kata-kata itu kerana ingin membantu Umno? Tegasnya pilihan raya Galas sedikit sebanyak menjadi Tengku Razaleigh serba salah. Bagaimana beliau menghadapi situasi itu sama-samalah kita tunggu. Politik itu serba mungkin dan janji dan ikrar dalam politik tidak boleh dipercayai. Apakah Tengku Razaleigh juga memilik warna macam pelangi, bermacam-macam.

0 comments