KUALA LUMPUR, 9 Sept — Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri, yang kini berusia dua setengah tahun, akan berusaha untuk memartabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu dalam memiliki dinamik, Kepakaran dan usahawanan.
Dalam perutusan Aidilfitri dikeluarkan hari ini, Lim berkata sebarang perbezaan fahaman politik boleh dibincang atau dibahaskan, bukannya dibenci atau dihina dan bukannya dikenakan tindakan undang-undang atau didiskriminasikan oleh mereka yang berkuasa.
“Kata-kata perkauman yang menghina maruah dan harga diri warga Malaysia perlu dihentikan serta-merta.
“Tuduh-menuduh antara kaum dan agama tidak akan dapat merapatkan hubungan kita sebagai rakyat yang cintakan Malaysia.
Lim (gambar) berkata, beliau sedih kerana sepanjang bulan Ramadan yang berakhir hari ini, masih ada anasir-anasir yang sanggup mencemarkan kesucian bulan puasa dengan fitnah dan pembohongan perkauman dan agama di mana beliau sendiri sekali lagi menjadi mangsanya.
“Sedih sungguh apabila kemurnian Ramadan dikotorkan oleh segelintir manusia yang gelap hati mereka,” katanya.
Sehubungan itu kata Lim, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pusat yang telah berjanji untuk menangani masalah perkauman supaya benar-benar berani melaksanakan langkah-langkah tegas.
“Tidak boleh ada pilih kasih. Yang bersalah, sama ada dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya atau pun dari kalangan penganut apa-apa agama, perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang atas prinsip keadilan.
“Memerangi masalah perkauman dan amalan agama yang ekstrem bukan sekadar soal politik kepartian.
“Ia adalah isu nasional yang harus ditangani bersama oleh setiap warga yang prihatin kepada keadilan dan demokrasi,” katanya.
Lim juga berkata di negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu memiliki daya dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan.
“Peruntukan untuk hal ehwal Islam telah bertambah daripada RM12.5 juta pada 2008 kepada RM24.3 juta pada 2010,” katanya.
Di antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri adalah mengadakan tender terbuka di mana kontraktor Melayu biasa menunjukkan kebolehan berdaya saing dengan kontraktor lain dengan kontraktor Melayu biasa memenangi kebanyakan tender.
“Jelas hanya kontraktor Umno yang tidak dapat berdaya saing,” katanya lagi.
Kata beliau, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Majlis Sains Pulau Pinang yang menggalakkan pelajar pintar dan menubuhkan Penang Tech Center yang menonjolkan pencapaian industri di sini agar menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemeralangan sains dan teknologi.
Selain itu menurut beliau kerajaan negeri juga akan memberikan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru kafa dan mengiktiraf para huffaz.
Lim menambah, pihaknya juga akan menubuhkan Hab Pendidikan Pulau Pinang untuk menggalakkan universiti terkemuka dunia termasuk dalam Islam untuk mendirikan kampus cawangan dan memberikan bantuan mikrokredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50 peratus.
¡Hola mundo!
8 years ago
0 comments
Post a Comment