KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan bahawa sidang kemuncak "First Ladies" bakal diadakan bermula 11 Oktober hingga 13 Oktober ini.
Menurutnya, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.
Beliau berkata, lebih daripada 20 wanita pertama dari seluruh dunia dijangka hadir untuk mewujudkan satu platform baru dalam meningkatkan kesedaran dunia global bagi menceburi bidang pelaburan, pembangunan, kebajikan dan pendidikan.
Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses Kuala Lumpur.
Rosmah berkata, sidang ini adalah satu signifikan kerana wanita-wanita pertama merupakan penyokong perubahan strategik untuk membantu pemimpin lelaki ke arah kejayaan.
"Kita telah menerima jawapan positif daripada 24 wakil negara luar yang mengesahkan kehadiran untuk bersama-sama melaksanakan program ini.
Kepimpinan wanita masa kini
"Sidang ini diadakan untuk menyakinkan umum mengenai kepimpinan wanita pada masa kini," katanya ketika sidang media di kediaman Perdana Menteri Jalan Duta di sini hari ini.
Antara ‘First Ladies’ yang terlibat adalah dari negara Afghanistan, Chile, Sri Lanka, Albania dan 20 negara lain.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sharizat Abdul Jalil yang turut hadir berkata, kementeriannya berbangga dengan inisiatif Datin Seri Rosmah yang mampu merancang sidang kemuncak seperti ini.
"Kita patut berbangga kerana Malaysia adalah negara pertama berjaya mengelolakan sidang kemuncak "Wanita Pertama" bersama lebih dari 45 negara yang akan mengambil bahagian.
"Perbincangan secara bersama ini akan dimanfaatkan oleh semua ‘Wanita Pertama’ untuk membantu kepimpinan dan pendidikan wanita lain di negara masing-masing," katanya.
Sharizat berkata, sidang kemuncak ini akan menjadi satu sejarah dunia untuk mendorong pelapis ‘Wanita Pertama’ akan datang meneruskan perjuangan kepimpinan wanita.
"Deligasi yang akan wujud hasil kemuncak ini mampu menjadikan ‘Wanita Pertama’ lebih bergerak maju mengikut peredaran semasa," katanya.
0 comments
Post a Comment