Meskipun memetik ayat "apabila cinta sudah memuncak, kata-kata tidak perlu lagi", namun Syed Husin Ali tetap memberi amanatnya yang terakhir kepada perwakilan PKR, sebelum beliau berundur dari pentas Kongres Nasional PKR setelah tujuh tahun menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR.
Syed Husin Ali (gambar kanan) tidak menyanyi seperti yang dilakukan pada kongres nasional parti yang lalu, dan beliau berkata dirinya tidak akan menangis walaupun ini kali terakhirnya berucap sebagai Timbalan Presiden PKR. Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau berkata, "Saya tak rasa bersedih berundur, kerana saya tahu, seorang Syed Husin berundur, saya tahu sekarang ini seribu orang Syed Husin akan muncul!"
Kesemua perwakilan dan pimpinan PKR memberi tepukan gemuruh sambil berdiri kepada pemimpin politik veteran yang sudah berdekad-dekad berkecimpung dalam politik tanahair, sejurus selepas beliau menamatkan ucapannya yang ringkas.
Tiga perkara diingatkan
Bagaimanapun, Syed Husin Ali memberi peringatan tiga perkara kepada perwakilan partinya.
Pertama, "kenalpasti siapa kawan dan siapa lawan. Jangan sangka lawan itu kawan kita, jangan silap lawan itu kawan kita". Beliau menekankan bahawa lawan dalam perjuangan adalah jelas, iaitu kezaliman, kerakusan dan ketidakadilan pemerintahan zaman ini, yang diketuai segelintir pemimpin yang memikirkan kepentingan diri.
Kedua, "tidak bersalah orang Melayu memperjuangkan hak orang Melayu, sama juga tidak bersalah untuk kaum lain memperjuangkan hak kaumnya". Bagaimanapun, kenyataan ini tertakluk kepada dua syarat. Pertama, jangan gunakan perjuangan orang Melayu itu untuk memperjuangkan segelintir yang kaya dan berkuasa. Perjuangkanlah untuk mereka yang miskin dan tertindas. Kedua, perjuangkan hak kaum sendiri, pada masa yang sama jangan dinafikan hak kaum lain.
Ketiga, benarkan yang benar dan dustakanlah yang dusta. Perjuangan harus diteruskan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.
Menolak tawaran jawatan Canselor UNISEL
Sambil meminta maaf kepada Srikandi, Syed Husin Ali menolak sebulat-bulat cadangan supaya beliau ditawarkan jawatan Canselor UNISEL, sebaliknya mencadangkan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail untuk memegang jawatan tersebut.
Sebelum ini, pembahas wakil Srikandi, Farah Afzan Faridi mencadangkan agar Syed Husin Ali yang bakal bersara selepas Kongres Nasional PKR ini, dilantik sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) untuk menggantikan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. 【Baca: Syor Syed Husin Ali ganti Rosmah selaku Canselor UNISEL】
Sepanjang kongres ini, beberapa orang wakil merakamkan penghargaan mereka terhadap Syed Husin Ali. Naib Presiden yang baru, Tian Chua ketika berucap, memuji dan menyanjung Syed Husin Ali kerana tidak berundur daripada perjuangan walaupun tidak menang dalam pilihan raya.
"Dr. Syed Husin Ali adalah seorang tokoh, yang tetap berdiri sungguhpun banyak kali kalah dan kecewa," sambung Tian Chua, "Walaupun beliau tidak pernah menang dalam pilihan raya, tetapi prinsip untuk bersama dengan perjuangan ini tetap sama. Kalau kita berikrar untuk mengikut jejak Dr.Syed Husin Ali, kita harus ingat, kita harus tetap dengan pendirian kita dan menghadapi segala cabaran. Dan kita tidak cepat putus asa."
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Perjuangan PAS tanpa DAP dan PKR saja yang dapat memertabatkan Islam dan Ketuanan Melayu dinegara ini.