http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Terkini : PR dijangka menang tipis?

Posted by Love Perak | Sunday, May 16, 2010 | 1 comments »






Pakatan Rakyat berasa yakin pilihan raya kecil P212 Parlimen Bandar Sibu hari ini akan memihak kepadanya berdasarkan kepada sambutan rakyat yang diluar jangkaan sepanjang tempoh berkempen.


Angin perubahan yang menjadi tema kempen calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Richard Wong Ho Leng jelas diterima penduduk Sibu yang dahagakan perubahan drastik setelah berada di bawah pemerintahan SUPP-Barisan Nasional selama hampir lima puluh tahun.



Malah gelombang perubahan ternyata amat memberangsangkan terutamanya daripada masyarakat Cina pada ceramah terakhir 'grand final' yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong di sini malam tadi.



"Saya diberitahu oleh kawan-kawan saya dari Sibu mereka tidak pernah melihat seramai ini yang hadir pada ceramah politik dalam mana-mana kempen pilihan raya di Sibu," kata Ahli Dewan Negeri Padungan, Dominique Ng Kim Ho yang hadir pada ceramah perdana itu.



Tinjauan Suara Keadilan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat rata-rata melahirkan keyakinan terhadap kemenangan Richard Wong tetapi berhati-hati dalam memberi saiz kemenangan.



"Saya rasa kemenangan majoriti tipis itu boleh dicapai antara 500 hingga 1,000 undi. Ini berasaskan kepada sedikit sokongan rakyat Melayu-Melanau dan Iban di Sibu," komen Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.



Pandangan beliau dikongsi oleh Wan Zainal Abidin Wan Senusi, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak yang menyatakan peluang Pakatan Rakyat memenangi PRK Sibu hari ini adalah sekitar 49 peratus manakala Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini pula mensasarkan peluang sama rata 50:50 antara Richard Wong dan calon BN, Robert Lau Hui Yew.



"Selepas hampir 50 tahun condong kepada BN saya merasakan ada sedikit kemahuan pengundi Melayu-Melanau serta Iban untuk beralih kepada Pakatan Rakyat sekitar 35 peratus. Kelebihan BN hanya kepada undi pos yang sudah 'mencuri' 5 peratus daripada undi kepada Pakatan Rakyat tetapi saya yakin sedikit perubahan dalam undi Melayu mampu membantu kita," kata Wan Zainal Abidin.



Ahmad Thamrin melihat respons positif kepada semua ceramah dan program Pakatan Rakyat sebagai satu faktor penting dalam penilaian prestasi gagasan itu dalam PRK Sibu.



"Ceramah Pakatan Rakyat lebih mendapat sambutan daripada BN yangb terpaksa 'merasuah' pengundi untuk hadir dengan hadiah, saguhati wang dan sebagainya," jelas beliau.



Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula lebih optimistik Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan dengan majoriti selesa.



Katanya, ini berdasarkan kepada kepulangan jumlah pengundi muda yang besar ke Sibu untuk membuang undi hari ini.



"Berbanding dengan PRK Hulu Selangor, kali ini kita lihat minat yang serius yang ditunjukkan oleh pengundi muda untuk pulang bagi melakar masa depan politik Sibu. Ini satu petanda yang amat baik bagi Pakatan Rakyat," kata Shamsul Iskandar.



Beliau juga menyatakan keputusan terdesak Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan semakan semula kadar bagi premium untuk memperbaharui pajakan tanah yang berstatus perumahan, komersil dan pertanian dua hari sebelum pilihan raya kecil sebagai satu petanda BN dalam keadaan tertekan dan panik.



Sementara itu Dominique berkata kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebanyak tiga kali sepanjang kempen PRK Sibu menunjukkan kegusaran BN yang ketara berhubung peluang mereka dalam pilihan raya kecil ini.



"Kita tidak menafikan setelah berjuta-juta ringgit dicurahkan oleh BN di Sibu sudah tentunya ada segmen pengundi yang termakan tetapi pengundi di kawasan bandar sudah matang dan mereka menolak amalan politik kotor seperti ini," kata beliau.



Yang lebih penting menurut ADUN Padungan itu ialah kelompok pengundi bukan Cina yanhg merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Sibu.



"Pemerhati politik meramalkan sekiranya Pakatan Rakyat boleh mengalihkan sokongan 40 peratus ini kepadanya, ia akan mencetuskan perubahan lanskap politik dan keputusan pilihan raya negeri nanti secara drastik.



"PRK Sibu kali ini adalah peluang terbaik bagi Pakatan Rakyat untuk membuktikan peralihan segmen undi ini," ujar Dominique lagi.

1 comments

  1. Anonymous // May 16, 2010 at 1:18 PM  

    tak bau menang la.....angan2 mat jenin