http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

(Bahasa Melayu) Cerita Ezam dan Anuar Shaari - Raja Petra Kamaruddin

Posted by Love Perak | Thursday, February 18, 2010 | 0 comments »

Anuar Shaari dan George Soros

Pada 2 September 2004, saya bertemu dengan salah seorang peguam Anwar, Pawanchik Merican di Istana Kehakiman di Putrajaya. "Awak tahu tak yang Ezam dan Anuar Shaari sedang galak mengutip derma atas nama Kempen Bebaskan Anwar (Free Anwar Campaign)?" Pawanchik menyoal saya.

THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin

"Anuar Shaari, bekas pegawai Kementerian Kewangan yang bekerja untuk Anwar antara 1996 dan 1998, tiba di pejabat polis daerah Melaka Tengah sekitar jam 10 pagi pada Khamis dan menghabiskan sekitar 30 minit dengan OCPD ACP Salehhudin Abdul Rahman bagi menyampaikan maklumat itu," akhbar The Star melaporkan.

Sebenarnya, laporan ni tak menceritakan segala-galanya. Ia tidak menjelaskan hakikat bahawa Anuar Shaari terus bekerja untuk Anwar hingga tahun 2004 ataupun mungkin lebih lama daripada tu. Dia adalah salah seorang 'pengendali' utama Parti Keadilan Nasional, iaitu sejak parti tu dilancarkan pada 14 April 1999 hinggalah ke saat pelancaran Free Anwar Campaign pada Ogos 2000, dan seterusnya.

Pada sekitar tahun 2003, Anuar Shaari, Ezam Mohd Nor dan dua orang lain yang telah meninggalkan parti pembangkang pergi ke Amerika Syarikat. Saya hanya mengetahui tentangnya apabila saya ditelefon seseorang dari Amerika Syarikat. Dia ingin saya mengesahkan identiti keempat-empat orang berkenaan dan bahawa mereka adalah sebahagian dari Free Anwar Campaign.

Saya terkedu dan tak tahu apa yang harus saya jawab. Saya berbohong dan berkata bahawa saya sedang bermesyuarat dan meminta untuk menelefonnya kemudian. Saya kemudiannya menghubungi seseorang yang pasti tahu tentang apa yang sedang berlaku, lalu bertanya mengenai perkara tu.

Orang tu terkejut kerana saya mengetahui tentangnya.

Pada masa tu, saya memang resah. Ini kerana hanya saya yang terlibat dalam Free Anwar Campaign. Saya menjalankan Free Anwar Campaign secara sendirian. Tak ada orang lain yang terlibat dalam Free Anwar Campaign. Jadi, macam mana pula sekarang ni ada empat orang di AS yang kononnya ke sana atas urusan yang berkaitan dengan Free Anwar Campaign?

Orang yang berhubung dengan saya tu menerangkan tentang tujuan mereka (‘empat sekawan’) ke AS. Dia kemudiannya meminta saya untuk menelefon kembali orang hubungan saya di AS dan mengesahkan identiti empat sekawan tu. Saya melakukan seperti yang diminta, tetapi hanya selepas saya melepaskan geram saya kepada orang tu dan menyatakan pendirian bahawa saya tidak menyenangi akan perkara yang sedang berlaku. Namun demikian, demi perjuangan, saya mematuhi arahan tu.

Saya kemudiannya menelefon orang hubungan saya di AS bagi mengesahkan identiti empat sekawan tu. Saya juga memberitahunya nama keempat-empat orang individu itu dan orang hubung saya di AS mengesahkannya.

Menurutnya, adalah penting bagi saya mengesahkan bahawa empat sekawan tu dibenarkan untuk bertindak atas nama Free Anwar Campaign. Selepas tu, dia mengajukan pertanyaan lain kepada saya, "Benarkah pembangkang amat kekurangan wang dan jika mereka mempunyai beberapa juta ringgit, maka mereka mempunyai peluang yang lebih baik bagi memenangi pilihanraya umum yang seterusnya?"

"Ya," saya menjawab.

"Okey," ujarnya. “Kalau begitu, kami akan dapatkan sejumlah wang untuk mereka. Setakat sepuluh ataupun dua puluh juta ringgit, tu tak jadi masalah bagi kami. Kami boleh mendapatkannya."

Ini berlaku sejurus sebelum pilihanraya umum Mac 2004. Tapi dana pilihan raya puluhan juta ringgit tu tak pernah pun dihantar ke Malaysia. Sebaliknya, ia disalurkan ke Hong Kong dan pilihanraya umum Mac 2004 berlangsung sebelum wang tu sempat disalurkan dari Hong Kong ke Malaysia. Sehingga kini, duit tu ghaib entah ke mana. Tak lama selepas tu, Ezam dan gengnya, termasuklah Anuar Shaari meninggalkan pembangkang dan menyertai UMNO. Ada juga yang meninggalkan pembangkang sejurus sebelum pilihanraya 2004.

Saya kemudiannya diberitahu oleh seorang pemimpin kanan parti bahawa wang itu diberikan oleh George Soros (dapatkan maklumat lanjut mengenai George Soros di sini: http://www.georgesoros.com/). Malah empat sekawan tu bertemu dengan Soros secara peribadi di pejabatnya. Saya juga diberitahu tentang individu yang menetapkan pertemuan tu dan penyaluran wang yang berkenaan.

Pada 2 September 2004, saya bertemu dengan salah seorang peguam Anwar, Pawanchik Merican di Istana Kehakiman di Putrajaya. "Awak tahu tak yang Ezam dan Anuar Shaari sedang galak mengutip derma atas nama Kempen Bebaskan Anwar (Free Anwar Campaign)?" Pawanchik menyoal saya.

"Ya, saya tahu," jawab saya.

"Awak ada dapat duit daripada mereka?” soal Pawanchik.

"Satu sen pun tak ada," jawab saya.

"Mmm… dah agak dah,” kata Pawanchik. "Saya diberitahu bahawa mereka menggunakan nama awak untuk mengutip jutaan ringgit dan bahawa mereka tidak memberikan satu sen pun kepada awak. Kenapa awak tak tutup saja Free Anwar Campaign? Kalau dibiarkan, puak-puak ni akan memperalatkannya bagi mengutip derma."

Isteri saya yang berada di situ sependapat dengan Pawanchik. "Saya dah lama suruh tapi dia ni degil sangat,” isteri saya menambah.

"Saya takkan meninggalkan Anwar separuh jalan," kata saya kepada Pawanchik. "Saya akan tutup Free Anwar Campaign apabila Anwar dibebaskan.”

"Bagaimana jika dia tak dibebaskan? Bagaimana kalau dia meringkuk selama 15 tahun di penjara? Awak nak ke teruskan Free Anwar Campaign untuk lagi sembilan tahun tanpa dibayar gaji dan terus membiarkan mereka memperalatkannya bagi mengumpul kekayaan?”

"Yelah kot," jawab saya. "Tapi hari ni, Anwar akan dibebaskan. Jadi, saya boleh tutup Free Anwar Campaign hari ni juga.”

"Tak ada seorang peguam pun yang sependapat dengan awak,” kata Pawanchik. Saya hanya mengangkat bahu saya. Dua jam kemudian, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dan saya pulang ke rumah untuk membuat entri terakhir saya, ‘Alhamdulillah, Anwar is now free’ (Alhamdulillah, Anwar kini bebas) dan seterusnya menutup Free Anwar Campaign.

Ya, itulah cerita tentang Ezam Mohd Nor dan Anuar Shaari dan ya… saya juga tahu identiti dua orang lain yang juga pergi ke AS serta ‘orang kelima’, iaitu lelaki yang saya telefon. Saya juga tahu nama pemimpin kanan parti yang memberitahu saya bahawa puluhan juta ringgit tu datang daripada Soros. Selain tu, saya juga semestinya tahu nama orang hubungan saya di AS yang menguruskan segala hal yang berkaitan dengan penyaluran wang tu. Tapi selagi mereka tak kacau saya, maka saya takkan bocorkan rahsia mereka. Tetapi kalau mereka sengaja cari fasal dengan saya, maka saya akan dedahkan nama mereka.

0 comments