Oleh Dzulkarnain Taib
Ahli Parlimen Australia Michael  Danby menganggap perbuatan Datuk Ibrahim Ali yang menggelar beliau  peliwat sebagai "bodoh" dan "jahil"
Dalam komen beliau kepada Suara  Keadilan, anggota Parlimen daripada Parti Buruh Australia (ALP) itu  berkata tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa hanya memalukan  Perdana Menteri Najib Razak dan Umno di mata dunia.
Semasa demonstrasi di hadapan  Suruhanjaya Tinggi Australia yang dianjur bersama oleh Perkasa,  Pergerakan Pemuda Umno dan Barisan Nasional Rabu lalu, Ahli Parlimen  Pasir Mas itu mendakwa Danby sebagai "homosexual" (peliwat).
Ibrahim memetik peribahasa  Inggeris, "birds of a feather flock together" sambil berkata, "Saya  dengar Danby adalah peliwat!," pada demonstrasi tersebut.
"Menyerang secara peribadi  dengan melabelkan saya sebagai "homosexual" adalah menjijikkan dan  perbuatan hina.
"Berbeza dengan negara ini, kami  menilai seseorang di atas kekuatan peribadi dan tidak menghakimi  seseorang itu berdasarkan kepada peribadi mahupun kaum, agama ataupun  orientasi seks mereka.
"Kenyataan bodoh daripada Ahli  Parlimen yang menyokong kerajaan seperti Ibrahim Ali bukan sahaja  membuktikan pemikiran yang lemah dan jahil tetapi juga memalukan Perdana  Menteri Najib Razak dan parti pemerintah Umno.
"Kenyataan tersebut membuktikan  kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia tidak  mempunyai apa-apa asas kukuh untuk mempertahankan pertuduhan terhadap  Anwar Ibrahim melainkan menggunakan taktik melempar gelaran hina kepada  orang lain," kata Ahli Parlimen Melbourne Ports berusia 55 tahun itu.
Perkasa bersama anggota  Pergerakan Pemuda Umno dan BN berdemonstrasi di hadapan Suruhanjaya  Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng bagi membantah tindakan  sekumpulan Ahli Parlimen Australia yang mendesak pertuduhan tidak  berasas ke atas Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.
Pada 11 Februari lalu Danby  serta 50 Ahli Parlimen Australia menghantar surat rasmi kepada  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Salman Ahmad bagi  mendesak tuduhan tersebut digugurkan.
Ikuti temuramah khas Suara  Keadilan bersama Michael Danby dalam edisi cetak pada 23 Februari.
 


 
 













0 comments
Post a Comment