http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Kita akan kerja keras - Salahudin Ayub

Posted by Love Perak | Tuesday, February 09, 2010 | 0 comments »

Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berputus asa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.


Sebaliknya Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, PR akan bekerja keras untuk menawan Perak pada pilihan raya umum yang akan datang.



"Kita sudah jangka keputusan mahkamah tidak akan berpihak kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sejak dari awal lagi.



"Berdasarkan rekod kes-kes besar sebelum ini, keputusan mahkamah memang tidak memihak kepada PR. Sebab itu kita tidak kecewa dengan keputusan hari ini,” katanya kepada mStar Online hari ini.



Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.



Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff bersetuju sebulat suara bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar adalah mengikut Perlembagaan.



Mahkamah memutuskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah bertindak menggunakan bidang kuasa yang ada untuk melantik Zambry bagi menggantikan Nizar setelah berpuas hati bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu tidak lagi mempunyai kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.



Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, apa yang berlaku di Perak akan menguatkan lagi sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.



"Rakyat akan bersimpati terhadap apa yang berlaku kepada Nizar. PR perlu terus berusaha dan kekalkan sokongan yang sedia ada bagi memastikan kemenangan mutlak mereka di Perak pada pilihan raya umum akan datang," katanya.



Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata rakyat Perak amat kecewa dengan keputusan mahkamah itu.



"Ramai yang kecewa dengan keputusan hari ini. Mereka berharap sistem perundangan di negara ini dapat memberi keputusan yang sebaliknya kerana kes ini tertangguh agak lama," katanya.



Oleh itu, beliau berkata pihak polis wajar membenarkan rakyat mengadakan perarakan secara aman sebagai tanda protes mereka.



"Cara terbaik untuk selesaikan masalah ini adalah dengan membubarkan DUN Perak. Biar rakyat buat keputusan dan pilih siapa pemimpin yang layak menjadi pemerintah," ujarnya.

0 comments