http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

Hulu Selangor sama-sama kritikal buat BN, PR

Posted by Love Perak | Friday, April 09, 2010 | 0 comments »

Oleh Zaid Zakaria



KUALA LUMPUR, 9 April — Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor sudah pun bermula kempennya dengan kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bakal dihadapkan dengan ujian kritikal hujung bulan ini.



Ujian bagi kedua-dua pihak menyentuh dasar dan fundamental kumpulan mereka, iaitu 1 Malaysia untuk BN dan kesepakatan bagi PR, sama ada melibatkan sesama parti komponen atau parti yang bertanding.



BN yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak awal menunjukkan kesukaran untuk melaksanakan aspirasi 1 Malaysia apabila Umno berkeras menuntut untuk bertanding walaupun telah lama ditandingi MIC.



Keghairahan Umno untuk meletakakkan calon mereka sebahagiannya didorong rasa yakin untuk menawan kembali kawasan Parlimen itu, yang hanya dimenangi PKR dengan jumlah 198 undi.



Masa ini, selepas Najib menarik kembali sokongan masyarakat India melalui pembinaan hubungan baru dengan Makkal Sakti dan jangkaan tentang perubahan sentimen masyarakat Melayu terhadap Umno sejak 8 Mac 2008, Umno berasa yakin untuk menawan kembali Hulu Selangor.



Keyakinan Umno ini terlihat apabila ramai kalangan Umno tempatan mahukan tokoh lama, Tan Sri Muhammad Muhd Taib bertanding di kerusi itu.



Desakan untuk meletakkan Muhammad telah menunjukkan keretakan dalam Umno Selangor. Bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo awal-awal lagi sudah membuat kenyataan mahukan MIC bertanding, tindakan yang menutup kemungkinan Muhammad kembali ke medan politik di negeri Selangor.



Pada masa yang sama juga, Umno melihat kekalahan calon MIC pada 2008 sebagai satu tanda kelemahan MIC kerana Umno mendapat kemenangan selesa di dua DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor.



Selepas Mac 2008 hingga hari ini, banyak perubahan telah berlaku dalam persada politik Selangor dan negara. Ini termasuklah kebangkitan sentimen Melayu terhadap pemerintahan PR yang didakwa dikuasai DAP dan PKR.



Sentimen ini mampu meredakan rasa tidak puas hati ramai penyokong Umno terhadap parti nasionalis Melayu itu dan memberi sokongan kepada BN.



Kemenangan di Hulu Selangor penting bagi BN untuk dilihat sebagai kembali bangkit selepas berturut-turut kalah kepada PR dalam pilihan raya kecil sepanjang selepas Mac 2008.



Kemenangan akan membuktikan retorik pemimpin-pemimpin Umno dan BN bahawa pakatan pembangkang semakin lemah. Masalah yang menimpa pembangkang dengan keluarnya Ahli Parlimen PKR daripada parti akan dapat disahkan lagi dengan tewasnya PR di Hulu Selangor.



Sekiranya PR menang, gabungan parti pembangkang itu akan mendapat hujah untuk mengatakan keluarnya wakil-wakil rakyat terbabit tidak menjejaskan PR.



BN juga memerlukan satu suntikan semangat ketika ia mula mengemukakan Model Ekonomi Baru kepada rakyat Malaysia, dan ketika pemerintahan Najib melepasi tempoh setahun.



Kejayaan di Hulu Selangor akan memberi sesuatu untuk disambut oleh Umno dan BN pada masa ini, tetapi sebarang masalah intra parti yang boleh timbul akibat pencalonan wakil MIC dan bukan Umno boleh menjadi duri dalam daging yang menjejaskan program BN.



Kemenangan wakil MIC di Hulu Selangor pula boleh memberi gambaran kejayaan gagasan 1 Malaysia Najib, lebih-lebih lagi sekiranya Umno menunjukkan sokongan penuh kepada wakil itu.



Di pihak PKR dan PR pula, kemenangan di negeri yang dikuasai mereka ini penting untuk menunjukkan sokongan rakyat di negeri Selangor masih kuat dan tidak terjejas dengan masalah dalaman parti.



Negeri Selangor diperintah PR dengan PKR mendapat kerusi terbanyak. Kekalahan di Hulu Selangor akan dijadikan hujah oleh Umno dan BN untuk mengkritik PR di Selangor, khususnya kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.



Undian rakyat di Hulu Selangor ialah undian kepercayaan kepada agenda PR, dan menambah kemenangan terhadap BN untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat menuju pilihan raya umum ke-13 nanti.



Bagi PKR, kemenangan di Hulu Selangor bakal menambah wakilnya di Parlimen selepas keluarnya tiga Ahli Parlimen parti itu menjadi bebas.



Dalam hal ini, PR juga memerlukan satu suntikan semangat dan sesuatu untuk diraikan ketika ketuanya di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi dakwaan liwat di mahkamah.



Kedua-dua pihak sama ada BN atau PR menghadapi ujian yang kritikal di Hulu Selangor. Kekuatan yang seimbang BN dan PR bakal menyaksikan perebutan sengit di Parlimen Hulu Selangor.

0 comments