KUALA LUMPUR, 27 Mac — Perkasa,  pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang disifatkan sebagai paling besar  setakat ini, mengadakan mesyuarat agung tahunan sulungnya dengan membuat  13 laporan polis terhadap dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). 
Dua pemimpin terbabit ialah Penasihatnya  Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution  Ismail.
Laporan polis terhadap Anwar, yang juga  ketua pembangkang dibuat berrhubung isu rancangan 16 September yang  didakwa menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong kononnya sudah memberi  perkenan bagi mendapatkan sokongan politik.
Ketua Wira Perkasa  Arman Azhar berkata, 13 laporan itu dibuat terhadap Anwar secara  berasingan oleh wakil-wakil pertubuhan dari 13 negeri di seluruh negara.
Kira-kira  100 ahli Perkasa berarak dari Dewan Tun Razak I, PWTC, tempat  berlangsungnya mesyuarat ini, ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang jauhnya  kira-kira satu kilometer.Terdahulu mesyuarat agung tahunan Perkasa  dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika  ditemui pada sidang media di akhir mesyuarat agung tahunan Perkasa  petang tadi, Arman berkata mereka membuat laporan tersebut bagi  “mempertahankan institusi raja-raja Melayu.”
“Sebagaimana didakwa di Parlimen, Anwar menggunakan Yang  di-Pertuan Agong untuk merealisasikan rancangan 16 September,” kata  beliau.
Sehubungan itu beliau mempersoalkan mengapa  polis tidak mengambil tindakan terhadap Anwar sedangkan banyak laporan  telah dibuat terhadapnya.
“Biasanya dalam kes-kes macam ini, polis  akan bertindak dengan cepat, kita ada pengalaman. Tetapi apa bezanya  antara Anwar dan orang lain?” kata beliau.
Minggu lalu, Ahli  Parlimen PKR Datuk Seri Zahrain Hashim yang keluar PKR bulan lalu  mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa Anwar menggunakan nama Yang  di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia untuk merealisasikan  kerajaan Pakatan Rakyat di pusat.
Selain itu menurut Arman, Perkasa juga  membuat laporan terhadap penyebaran VCD ulama terkenal Dr Yusof Qardawi  yang mengulas isu tuduhan liwat terhadap Anwar.
“Kami  difahamkan wujudnya elemen menipu dalam rakaman ini...kononnya fatwa Dr  Yusof berhubung kes liwat, jadi kami minta polis siasat,” kata Arman.
Perkasa  juga membuat laporan meminta polis menyiasat penyebaran risalah yang  ditandatangai oleh Saifuddin yang menerangkan tuduhan terhadap Anwar  adalah fitnah.
Sambil berkata risalah itu menyertakan  laporan awal doktor bahawa tiada kesan tembusan ke atas Saiful Bukhari  Azlan, Arman memberitahu, tindakan tersebut mengganggu proses mahkamah  yang masih berlangsung.
“Ia satu bentuk subjudis... menghina  mahkamah kerana prosiding sedang berlangsung,” katanya.














Watak katak ni berjaya menarik perhatian khalayak sehinggakan bekas PM juga terpengaruh menjadi Pengurus Pemasaran persembahannya!