http://img.nattawat.org/images/tds41xvqedddfubg300.gif

Advertise Here, RM 100/Month. Size 400x100. loveperak@yahoo.com

PKR Masuk "Gear Satu" Malam ini

Posted by Love Perak | Friday, March 26, 2010 | 0 comments »

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Mungkin ia diadakan secara kebetulan tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan program “Selamatkan Malaysia — Tolak Konspirasi Kedua” di bahagian Parlimen Hulu Selangor malam ini untuk “berkempen” sebelum kempen sebenar, dijangka bermula akhir bulan depan.

Program itu, sebahagian daripada kempen susulan kes liwat kedua dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya diadakan minggu lalu tetapi diubah ke hari ini dan akan berlangsung di Kuala Kubu Baru.

“Dan, ketika hendak adakan malam ini secara kebetulan Datuk Zainal telah meninggal dunia (malam tadi)... majlis ini akan diteruskan.

“Kami akan menjelaskan kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor apa yang telah dilakukan oleh PKR sejak 2008,” kata Pengarah Pilihan Raya Selangor Abdullah Sani ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

“Program ini sebenarnya sebahagian daripada usaha diambil oleh kami untuk mendekati pengundi-pengundi Hulu Selangor sejak selepas pilihan raya umum 2008,” kata beliau sambil menjelaskan, PKR sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan dengan mengambil kira Ahli Parlimennya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad uzur.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menambah, pihaknya telah menubuhkan sekretariat petugas khas untuk menyelia pusat khidmat Hulu Selangor PKR dengan mempertimbangkan situasi bahawa Zainal kurang sihat dan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke atas Hulu Selangor.

“Jadi kami sudah bergerak dan mengadakan gerak kerja dari awal-awal lagi. Oleh itu saya lihat tiada masalah untuk menghadapi pilihan raya kecil ini apabila diadakan,” kata beliau.

Anwar yang juga Penasihat PKR sendiri akan hadir pada majlis malam ini.

Zainal, 71, meninggal dunia di kediamannya di Batu 9½, Jalan Cheras, Kajang, kira-kira 9.27 malam tadi akibat barah otak.

Allahyarham memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket PKR dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam Umno.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan Exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas jentera pilihan raya Selangor untuk membincangkan strategi menghadapi pilihan raya kecil Ahad ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, mesyuarat khas itu tidak akan membincangkan soal bakal calon bagi kerusi itu.

“Soal calon kita serahkan kepada pucuk kepimpinan,” kata beliau di sebalik desas-desus Datuk Zaid Ibrahim kemungkinan diturunkan di sana.

Nama Zaid, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, disebarkan menerusi Internet sejak berita Zainal meninggal dunia muncul malam tadi. - TheMalaysianInsider

0 comments